Gaya Hidup, Sejarah

Doa Rasulullah Terhadap Pemimpin & Kisah Gabenor Pada Zaman Saidina Umar

Oleh Fizah Lee  •  2 Nov 2020  •  5 min baca

Seorang pemimpin yang baik ialah pemimpin yang menjalankan amanah dan tanggungjawabnya dengan baik.

Mereka dilantik untuk menjadi tunjang utama kepada sesebuah pemerintahan agar tampuk pimpinannya tidak jatuh dan terkapai-kapai jika diabaikan.

Antara syarat untuk menjadi pemimpin adalah bersifat adil dan mempunyai kefahaman menyeluruh terhadap tampuk pimpinannya. Adil ialah apabila setiap sesuatu perkara dan undang-undang dijalankan dengan baik tanpa berat sebelah, manakala mempunyai kefahaman ialah apabila pimpinannya dipimpin berlandaskan ilmu.

Apabila kedua syarat ini mampu dipenuhi, maka ia secara tidak langsung boleh membantu urusan pimpinannya berjalan dengan baik dan memberi keharmonian kepada negara serta rakyat.

Perkara inilah yang ingin dicapai kerana keharmonian sesebuah negara membuktikan sesebuah pimpinan yang berjaya.

Bahkan, ada sebuah hadis yang menunjukkan mengenai doa Rasulullah SAW terhadap pemimpin yang memberi kebaikan kepada rakyatnya dan juga yang sebaliknya.

Ia diriwayatkan dari ‘Aisyah RA, Baginda SAW bersabda:

أللهم من ولي من أمر أمتي شيئًا فشق عليهم فاشقق علبه ومن ولي من أمر أمتي شيئا فرفق بهم فارفق بهم

Maksud: “Ya Allah, siapa yang mengurusi suatu perkara untuk umatku lalu dia menyusahkan urusan umatku, maka Engkau persulitkanlah ia. Dan siapa yang mengurusi perkara umatku, lalu ia mempermudahkannya, maka Engkau permudahkanlah ia.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1828)

Ulama berbahas bahawa ia adalah sebagai salah satu teguran untuk kita semua yang bergelar pemimpin, sama ada pemimpin kepada diri sendiri, kepada organisasi yang kecil mahupun yang besar; itu semua adalah bentuk amanah yang perlu dijalankan dengan baik.

Kita tidak boleh zalim atau tidak adil kepada mereka yang berada di bawah pimpinan kita sehingga ia menjadi suatu bentuk kesusahan yang perlu ditanggung.

Kisah Said Bin Amir Yang Dilantik Sebagai Gabenor Hims

Ada sebuah kisah pada zaman Saidina Umar RA ingin melantik seseorang untuk menjadi gabenor di negeri Hims (sebuah daerah di Syria). Kemudian, ia jatuh kepada Said bin Amir yang berasal dari suku Quraisy.

Beliau merupakan seorang ahli ibadah yang zuhud yang tidak memiliki apa-apa kecuali sebatang tongkat yang kecil sehelai pakaian dan beberapa lembaran untuk menulis.

Setelah itu, Saidina Umar berkata kepada Said: “Wahai Said, pergilah engkau ke negeri Hims untuk menjadi gabenor di sana.”

Tetapi, Said agak berat hati untuk menerima amanah tersebut, lalu beliau berkata: “Tidak, aku tidak boleh menerima jawatan dan amanah ini kerana ia amat sukar bagiku.”

Saidina Umar berkata: “Berangkatlah dan peganglah jawatan itu. Mengapa kamu menyerahkan amanah untuk menjadi khalifah kepadaku, sementara kamu membiarkan diriku sendirian kerana kamu enggan membantuku sebagai seorang gabenor?”

Said bin Amir kemudian akur dengan amanah yang diterimanya lalu beliau berangkat ke negeri Hims sambil berdoa kepada Allah agar dapat melaksanakan amanah yang berat itu dan mampu menjadi pemimpin yang baik.

Beliau telah berangkat dengan menaiki seekor keldai dan hanya membawa seketul daging sambil memakan lahapnya.

Apabila tiba di sana, penduduk negeri tersebut pun bertanya kepadanya: “Adakah kamu melihat seorang pemimpin baru untuk negeri ini ketika dalam perjalananmu?”

Said kemudian menjawab: “Aku adalah pemimpin kamu.”

Mereka kemudian tidak mempercayainya sehinggalah Said bersumpah demi Allah bahawa beliau adalah pemimpin yang dipilih untuk memimpin negeri tersebut. Maka, bermulalah tugas Said sebagai seorang gabenor.

Pada suatu ketika, Saidina Umar datang ke negeri itu bagi melihat adakah gabenor itu menjalankan amanah dengan baik. Kemudian, beliau mengumpulkan penduduk Hims lalu bertanya pandangan mengenai gabenor tersebut. Mereka menjawab:

“Kami tidak kecewa kepadanya kecuali hanya pada empat perkara, iaitu: Beliau tidak keluar kepada kami kecuali jika sudah siang hari. Kemudian, dalam seminggu, ada satu hari penuh di mana kami tidak dapat bertemu dengannya sama sekali. Beliau juga tidak mahu berurusan dengan kami jika waktu Isyak telah lewat (kadang-kadang kami mengetuk pintu pada waktu itu). Yang terakhir, kadang-kadang beliau akan jatuh pengsan semasa berada dalam majlis pengadilan ketika menjatuhkan hukuman kepada seseorang yang didakwa.”

Saidina Umar lantas bertanya kepada Said tentang kebenaran perihal tersebut. Said menjawab:

“Aku tidak keluar kepada mereka kecuali jika sudah tengah hari kerana aku tidak memiliki pembantu rumah sedangkan isteriku sedang dalam keadaan sakit. Maka, sebelum pulang ke rumah, aku menyiapkan terlebih dahulu makanan untukku dan untuk isteri serta anak-anakku, lalu aku makan pagi, berwuduk dan melaksanakan solat sunat dua rakaat. Setelah itu, barulah aku pergi meninggalkan rumah.

Kemudian, aku tidak keluar dari rumahku sehari dalam seminggu kerana aku tidak mempunyai pembantu. Jadi, aku perlukan masa sehari untuk mencuci pakaianku, pakaian isteriku serta pakaian anak-anakku.

Aku juga tidak keluar pada waktu malam kerana aku telah mengkhususkan waktu siang hari untuk mereka dalam malam hari untuk diri aku beribadah kepada Allah dengan mengerjakan solat malam, zikir dan membaca Al-Quran.

Aku pengsan kerana aku pernah menyaksikan kematian Khubaib bin Adi. Waktu itu beliau berkata: “Ya Allah, cerai-beraikanlah jumlah mereka, bunuhlah dan hancurkanlah mereka sehingga tiada seorang pun yang hidup dari mereka.” Maka, setiap kali aku teringat akan kejadian itu dan aku tidak mampu menolong orang yang sedang dijatuhi hukuman itu, aku akan jatuh pengsan.

Penerangan yang diberikan membuatkan Saidina Umar bertambah bangga dengan gabenornya itu. Beliau adalah bukti bahawa seorang pemimpin itu perlu melaksanakan amanahnya dengan baik dan berhati-hati.

Kesimpulan

Kita melihat, amanah sebagai pemimpin sangat berat. Apabila diri kita memilih untuk menggalasnya, maka ia perlu digalas dengan baik kerana setiap perkara yang dilakukan akan disoal di akhirat kelak.

Ambillah iktikbar daripada kisah-kisah terdahulu atau kisah para pemimpin yang diangkat menjadi tokoh ulung kerana tampuk pimpinannya yang bagus dan unik serta sentiasa menjaga kebajikan semua.

Sumber:
Bincang Syariah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami