Inspirasi

Doa Nabi Musa Agar Dimudahkan Urusan

Oleh Natirah Azira  •  6 Sep 2019  •  4 min baca

Ada banyak perkara yang akan kita hadapi setiap hari. Ada perkara yang kecil, dan ada perkara besar. Ada perkara yang ringan, ada yang berat yang menuntut fokus dan perhatian lebih.

Malah ada perkara yang akan menjadikan jiwa kita sesak dek tugasan dan tanggungjawab yang terasa sukar untuk dipikul. Sama seperti Nabi Musa, baginda juga pernah mengalami keadaan begitu saat Allah memerintahkan beliau menemui Firaun untuk berdakwah kepadanya. Nabi Musa berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusannya berjumpa dengan Firaun.

Doa ini terdapat pada firman Allah Taala:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

“Musa berkata: ‘Robbish rohlii shodrii, wa yassirlii amrii, wahlul ‘uqdatam mil lisaani yafqohu qoulii’ (Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku” (Surah Toha 20:25-28)

Selain itu, dalam ayat selanjutnya Allah turut mengingatkan Nabi Musa bahawa Allah telah memberikan nikmat yang banyak kepadanya sebelum dia diutus menjadi Rasul. Allah bercerita semula bahawa Allah telah menyelamatkannya daripada dibunuh ketika bayi dengan membiarkan Nabi Musa hanyut di dalam peti. Kemudian Allah juga menjadikan orang jatuh kasih dan sayang kepadanya hingga mahu memelihara, dan segala yang terjadi adalah dalam pengawasan Allah sahaja.

Kisah Doa Mustajab Imam Hassan al-Basri

Selain daripada kisah Nabi Musa, terdapat juga kisah imam-imam terkemudian berkenaan doa yang dikabulkan oleh Allah. Contohnya kisah Imam Hassan Al-Basri dan seorang gabenor yang zalim bernama Hajjaj.

Pada suatu masa, Imam Hassan Al-Basri dan beberapa orang penting di Baghdad pernah dijemput ke istana baru milik Hajjaj. Mereka yang datang diminta memberi komen tentang istana tersebut. Ramai yang memberi pujian, tetapi apabila tiba giliran Imam Hassan al-Basri, beliau memberi komen yang membuat Hajjaj tersinggung. Kata Imam Hassan al-Basri;

“Saya langsung tidak tertarik dengan semua ini. Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik daripada apa yang ada di sisi anda”

Hajjaj sangat marah lalu dia telah mengutuskan pengawal untuk menangkap Imam Hassan Al-Basri ketika dalam perjalanan pulang. Imam Hassan al-Basri dibawa semula ke istana. Setibanya di sana, Hajjaj tiba-tiba menyambutnya dengan keadaan penuh lemah lembut. Marahnya menjadi reda secara tiba-tiba sejurus melihat Imam Hassan Al-Basri.

Para pengawal yang diutus menangkap Imam Hassan al-Basri menjadi kehairanan dengan situasi tersebut. Mereka lantas bertanya apa yang sebenarnya berlaku.

Jawab Imam Hassan Al-Basri, dia sebenarnya telah berdoa di dalam hati agar hati Hajjaj menjadi lembut.

“Ya Robbi, engkaulah yang menggenggam hidupku, kepadamu lah aku berserah. Ya Robbi, padamkanlah amarah di hati Hajjaj sehingga aku selamat daripada kezalimannya sebagaimana engkau mendinginkan api kepada Nabi Ibrahim sehingga selamat”

Dan doa itu dikabulkan kerana hati Imam Hassan al-Basri benar-benar yakin. Hatinya bergantung kepada Allah seratus-peratus. Beliau tidak ragu kepada Allah. Sekalipun Hajjaj punya kuasa, namun Allah lebih besar dan berkuasa. Sekalipun Hajjaj itu kuat namun Allah lebih kuat.

Mengapa Kita Jarang Melihat Keajaiban?

Kita selalu sahaja mendengar kisah-kisah keajaiban oleh orang-orang soleh. Soalnya bukan kerana iman mereka lebih tinggi daripada kita. Persoalan yang sebenar adalah hati mereka lebih yakin dan percaya. Kata Ustaz Hannan Attaki, kita jarang sekali melihat keajaiban dalam hidup kerana kita apa yang kita minta di mulut belum selari dengan apa yang ada di dalam hati.

Kita berdoa tetapi dalam keadaan hati yang tidak yakin.

Kita berdoa tetapi dalam keadaan hati yang takut dan ragu.

Kita tidak percaya bahawa Allah mampu mengabulkan setiap permintaan. Kita masih belum benar-benar jujur dalam ucapan kita kepada Allah. Apabila kita percaya, barulah akan terjadi keajaiban dalam hidup.

Untuk menciptakan dunia ini dan seluruh yang ada di dalamnya juga terlalu mudah bagiNya. Allah juga berupaya memberikan apa sahaja kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.

إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa saja yang dikehendakiNya tanpa batas.” (Surah Ali ‘Imran 3: 37)

Kesimpulan

Ayuh kita sama-sama berdoa dan meminta kepada Allah dengan hati yang percaya. Jika hati masih ragu, maka mintalah kepada Allah agar mendidik hati kita menjadi yakin, walau dengan apa jua cara. Meskipun terlihat mustahil, namun tidak ada apa yang mustahil bagi Allah. Bahkan, untuk menjadikan hati kita yakin juga adalah mudah bagi Allah.

Rujukan: Doa Yang Memudahkan Urusan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami