Inspirasi

Ditimpa Ujian – Semakin Matang Atau Semakin Lemah

Oleh Fizah Lee  •  23 Sep 2020  •  3 min baca

Antara ungkapan yang sering didengar ialah ujian itu ditimpa ke atas setiap manusia. Jadi, kita tidak perlu merasa keseorangan saat diuji.

Namun, hakikat yang lebih besar yang perlu dihayati di sini adalah ujian itu bukan suatu yang sia-sia yang ditimpakan kepada manusia.

Setiap dugaan dan perkara yang terjadi, salah satu hikmahnya adalah untuk mematangkan manusia sendiri baik dari segi fizikal, emosi dan juga rohani.

Tidak dapat dinafikan, ada masanya kita rasa sangat lemah dengan ujian yang tertimpa. Rasa seolah-olah dunia tidak berpihak kepada kita dan terus-menerus ingin mempersoalkan mengapa Allah menimpakannya kepada diri anda.

Namun, apa yang boleh dilakukan waktu itu ialah bangkit dan terus berjalan. Jangan fokus terlampau lama dengan ujian tersebut kerana ia bukanlah perbuatan yang boleh menyelesaikan masalah.

Sebaliknya, lalui ia dengan hati yang tenang dan yakin bahawa Allah akan sentiasa menunjukkan jalan keluar di sebalik setiap perkara yang melanda.

Perumpamaan Antara Dua Lori

Kadang-kadang, hati kita yakin bahawa kita boleh melalui setiap ujian dengan berbekalkan kekuatan dan semangat yang ada dalam diri.

Mana taknya, kita yakin bahawa kita sudah banyak mengumpul semangat dan ketabahan dalam diri disebabkan ujian yang bertimpa-timpa datang kepada kita.

Namun, setiap kali ujian yang lain hadir, pasti akan luruh sedikit semangat itu dan kita mula merasa lemah.

Mengapa ia terjadi?

Sebelum itu saya nak bawakan kepada anda sebuah perumpamaan. Saya bawakan kepada anda dua jenis lori; satu lori balak dan sebuah lagi lori terbuka.

Lori terbuka digunakan untuk membawa barang-barang yang sesuai dengan muatannya dan biasanya orang akan menyewa lori tersebut untuk membantu urusan pindah rumah atau mengangkat batu-bata dan sebagainya.

Lori balak pula digunakan untuk mengangkut kayu-kayu balak dan kebiasaanya boleh digunakan untuk laluan denai bagi mengambil kayu balak. Ia adalah sebuah kenderaan bermotor besar dan tugasnya adalah membawa muatan yang besar.

lori yang terbuka tidak boleh membawa kayu balak sebab beban yang berat dan tak sesuai dengan tugas lori tersebut.

Lori balak pula boleh membawa muatan yang berat sebesar kayu balak sehingga beberapa tan mengikut jenisnya.

Dan harga kedua-duanya adalah berbeza. Lori balak tidak akan diupah untuk membawa barang-barang pindahan rumah kerana tidak berbaloi dengan tugas sebenarnya.

Begitulah manusia, semakin besar dan matang dirinya, maka semakin berat beban yang akan diberikan atau lebih tepat ujian.

Dan ujian itu adalah yang sesuai dengan kemampuan dirinya sendiri, bukan pada kemampuan orang lain kerana setiap manusia itu berbeza-beza tugas dan kekuatannya.

Bagaimana Ujian Boleh Mematangkan

Jadi, apabila ditimpa ujian, anda harus yakin bahawa anda mampu. Sentiasa niatkan dalam diri bahawa anda mampu untuk melaluinya agar apabila ujian itu berlalu, anda akan merasa puas.

Dan apabila anda diuji dengan perkara baru atau yang lebih kurang sama, nescaya anda boleh melaluinya dengan hati yang lapang dan lebih kuat.

Yang paling penting, ujian itu seharusnya yang boleh mendekatkan diri dengan Yang Maha Kuasa.

Jangan jauh dan jangan lari dariNya kerana itu tanda bahawa anda tidak yakin dengan diri sendiri.

Apabila jatuh, sakit dan kecewa, memintalah kepadaNya untuk diberi kekuatan agar dapat melalui setiap perkara yang terjadi dengan penuh ketenangan.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami