Ibadah

Disangka Ahli Syurga, Rupanya Ahli Neraka!

Oleh Fazli Abdullah  •  3 Jul 2018  •  6 min baca

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan orang yang disangka ahli syurga, dan dia rupanya masuk neraka? Siapakah golongan tersebut?

Mari sama-sama kita renungi hadis dibawah ini. Kisah yang akan berlaku dan pasti terjadi di padang mahsyar nanti. Daripada Abu Hurairah R.A, ia berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Orang yang akan diadili paling awal ialah seorang yang mati syahid. Allah memperlihatkan kurniaan yang diberikan kepadanya.

Allah bertanya: ‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?’

‘Aku berperang di jalan-Mu sehingga aku gugur sebagai syahid.’

‘Kamu tipu! Kamu berperang supaya dipanggil sebagai seorang perwira(berani). Dan gelaran itu telah diberikan.’

Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka.

Kemudiannya, seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.
‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?’

‘Aku belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran keranaMu.’

‘Kamu tipu! Kamu belajar ilmu supaya dipanggil orang alim dan kamu membaca a-Quran kerana ingin dipanggil qari. Dan gelaran itu telah diberikan.’

Lalu Allah perintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampai-lah dia dilemparkan ke dalam neraka.

Selepas itu, datanglah pula seorang yang Allah berikan kemewahan. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.

‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat itu?’

‘Tidak ada satu jalan(kebaikan) pun yang Engkau sukai melainkan aku sedekahkan harta pada jalan tersebut.’

‘Kamu penipu! Kamu melakukannya kerana mahu dipanggil dermawan. Dan gelaran itu sudah diberikan.’

Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret hingga sampai ke dalam neraka.”
Riwayat Imam Muslim

Hadis di atas menceritakan 3 golongan pertama yang dihisab oleh Allah S.W.T di hari akhirat nanti. 3 golongan tersebut adalah:

#1- Orang yang mati syahid
#2- Orang yang menuntut ilmu, mengajarkan ilmu dan membaca al-Quran
#3- Orang kaya yang dermawan

Sungguh menakutkan sekali ketika membaca kisah dari hadis di atas. Amalan baik yang dilakukan di dunia rupanya membawa diri ke dalam lembah neraka.

Kelihatan banyak membuat kebaikan, mati syahid, dan rajin bersedekah tetapi semuanya tertolak dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.

“Kamu tipu!”

Allah menolak amalan baik tersebut. Hanya berpunca daripada niat yang tidak betul dan bukan kerana Allah S.W.T.

Buatlah sehebat dan sebanyak mana sekalipun ibadat di dunia, jika niat terpesong, ia hanya sia-sia belaka. Tidak ada manfaat sedikitpun pada diri, apatah lagi memenatkan diri sahaja.

Betulkan niat kita kerana Allah, itulah antara pengajaran dalam hadis Rasulullah tersebut. Apa gunanya kita beribadah kerana manusia? Manusia itukah yang memberi pahala kepada kita?

Tidak. Allah yang lebih berkuasa daripada manusia. Allah menciptakan mereka seperti kita. Apa guna berbuat ibadah kerana manusia, yang sifatnya juga lemah.

Mahukan gelaran dan pujian? Kita tidak layak dipuji kerana kita hanya hamba Allah yang penuh hina dan kekurangan.

Kita dimuliakan oleh manusia pun kerana Allah menutup keaiban kita. Jika dibuka, seorang manusia pun tidak ingin mendekati kita!

Berhentilah daripada meminta pujian manusia, kerana tidak selamanya mereka memuji kita. Lama kelamaan akan berakhir dan hilang juga pujian itu.

Mereka juga mati dan kita juga akan mati. Buatlah ibadah untuk yang Maha Kekal iaitu Allah S.W.T yang tidak akan mati.

Dalam hadis tersebut, ia membawa kita ke lembah keinsafan. Menyelusuri perjalanan yang masih tersisa. Agar ibadat yang dilakukan tidak sia-sia.

Jika sebelum ini, kita buat kerana inginkan nikmat dunia yang sementara, maka berubahlah. Padamkan niat yang tidak benar itu. Teguhkan hati dengan niat yang suci. Suci daripada tempias tipuan dunia yang sebentar cuma.

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku keranaMu, Ya Allah.”

Moga ikrar itu bukan ikrar palsu. Dibaca dalam solat sepanjang hari bukan sekadar bacaan kosong. Doa yang dibaca bukan sekadar merdu didengar tetapi ada penghayatan dan roh pada diri sendiri. Ada kesan pada hati.

Ambillah iktibar daripada hadis di atas. Sesiapa pun kita, kita tidak akan terlepas. Berpangkat, berharta dan berilmu tidak boleh lari. Pasti akan disoal setiap perbuatan di dunia. Bersediakah kita?

Kita semua mesti ada niat. Iaitu niat yang benar dan ikhlas kerana Allah S.W.T. Bila dibuat pekerjaan dunia tetapi kerana Allah, ia akan memperoleh pahala.

Namun, jika perbuatan akhirat dilakukan dan hatinya bukan kerana Allah, ia memperoleh kerugian yang amat besar. Kerugian di dunia dan di akhirat. Astaghfirullah.Disangka ahli syurga, rupanya masuk neraka. Nauzubillah minzalik.

Kisah Di Sebalik Hadis

Hadis ini menyebabkan Abu Hurairah pengsan apabila ingin menyampaikan kepada seorang penduduk Syam yang bertemu dengannya (Diceritakan Abu Hurairah pengsan sebanyak tiga kali ketika mahu mengungkapkan hadis ini).

Betapa dahsyat dan dalamnya penghayatan beliau kepada maksud hadis ini. Merasa diri yang termasuk dalam golongan tersebut. Benarkah aku beramal kerana Allah atau semata-mata untuk dipanggil mulia dan dilihat manusia.

Turut dikisahkan juga Muawiyah R.A, apabila beliau mendengar hadis ini beliau berkata;

“Hukuman ini telah berlaku atas mereka, bagaimana dengan orang-orang yang akan datang?”

Kemudian beliau menangis teresak-esak hingga pengsan. Setelah tersedar, beliau berkata: Benarlah Allah dan RasulNya, Allah berfirman yang bermaksud:

“Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat kecuali neraka. Lenyaplah di akhirat itu di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.”
Surah Hud 15-16

Kita patut sama-sama mengambil berat tentang peringatan dalam hadis di atas. Para sahabat turut merasa kesannya. Kita juga seharusnya begitu. Jangan dipandang remeh dengan hadis ini.

Jangan Salah Anggap!

Untuk makluman kita bersama, semasa penulis sedang menulis artikel ini penulis juga menyemak beberapa tulisan dan komen berkenaan dengan hadis ini.

Ada yang salah anggap dan mengatakan hadis ini seperti mengajak untuk tidak melakukan amal soleh. Berhenti untuk tidak melakukan ibadah. Sebenarnya bukan begitu maksudnya.

Penjelasan ringkas yang dapat penulis buat untuk pemahaman semua, hadis ini menceritakan 3 golongan pertama yang dihisab di akhirat. Kesemuanya melakukan kebaikan (pada segi luarannya). Tetapi pada hatinya inginkan dipanggil dengan gelaran yang baik, dan melakukan kerana dunia.

Hadis ini menyentuh tentang keikhlasan hati. Ia bukan menyatakan salah untuk berbuat baik. Kita tahu yang mati syahid itu baik. Baca al-Quran itu baik. Bersedekah itu amalan yang baik. Malah, Allah suka perbuatan tersebut.

Ditekankan disini, tujuan kita berbuat baik itu kerana apa? Itu yang ingin disampaikan dalam hadis di atas. Bukan menyalahkan orang yang berbuat baik. Bukan menyatakan amalan baik itu yang membawa ke neraka.

Tidak. Sebenarnya, niat yang salah menyebabkan diri ke neraka. Jadi, isunya adalah niat. Niat mesti betul dan kerana Allah. Jika niat tidak betul, kebaikan apa pun tidak berguna pada kita.

Semoga artikel ini dapat memberi peringatan kepada kita semua. Setiap yang lemah dan kurang daripada diri penulis sendiri dan yang baik adalah daripada Allah S.W.T. Waallahualam.

Rujukan:
1. Majalah Solusi
2. Ceramah Dr Asri Zainal Abidin berkaitan hadis (3 golongan pertama yang dihisab-hadis di atas)
3. https://www.google.com/amp/s/wnorizman.wordpress.com/2011/05/30/3-golongan-yang-akan-dicampakkan-ke-dalam-neraka-kerana-riya/amp/


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami