Remaja

Dilema Orang Muda, Bila Mahu Menikah?

Oleh Siti Rahmah  •  14 Jan 2015  •  4 min baca

Apabila usia mencecah 20-an, ramai orang muda didatangi dan mendatangi dilema serupa mengenai kehidupan. Selesai dengan hal kerjaya, isu lain yang pasti tidak sunyi daripada fikiran adalah perihal jodoh.

Seringkali, orang muda dan bujang dihidangkan dengan soalan cepu emas yang tidak pernah surut, “Bila kamu mahu menikah?” atau “Kamu, bila lagi?”

Perkahwinan

Isu lain yang pasti tidak sunyi daripada fikiran adalah perihal jodoh. [ThinkTank]

Walaupun digenggam kuat, andai ia bukan milik kita, ia akan terlepas jua. Walau ditolak ke tepi, andai ia untuk kita, ia mendatang jua. Itulah namanya jodoh. Ashadi Zain

Kisah Wanita Yang Resah Mengenai Jodoh

Dhia termenung di tepi jendela. Tiupan angin yang menerobos lubang tingkap mengibar-ngibarkan hujung tudungnya. Sekalipun bayu lembut itu mendamaikan, wajah Dhia terus berduka sehinggalah ayahnya mengetuk pintu.

“Kenapa kamu berduka, wahai anakku?”

Dhia membalas dengan raut yang belum bebas dari resah, “Keluarga mereka sudah pulang?”

Si ayah mengangguk dan berkata, “Alhamdulillah, urusan pertunangan adikmu sudah selesai.”

Kian muram wajah Dhia, sejurus mendengarkan ucapan ayahnya itu. Lantas, sang ayah tersenyum dan membawa anaknya ke sisi katil. Sesudah anak itu didudukkan dengan selesa, dia menyebutkan, “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya dengan teguh….”

Dhia terdongak dengan dahi yang berkerut-kerut, “Apa maksudnya?”

Bahu Dhia dipeluk dan ayah membalas, “Ia pesanan kasih yang disampaikan oleh Tuhan, dalam ayat 92 surah an-Nahl supaya kita tidak membuat sesuatu hal yang sia-sia seperti Rithah al-Hamqa, dari Bani Ma’zhum.”

“Siapa dia?”

“Seorang rupawan kaya di kota Mekah yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya hanya untuk gusar mengenai urusan jodoh.”

Angguk, Dhia menumpukan perhatian kepada setiap kata yang terlahir dari mulut ayahnya.

Sambung si ayah kemudiannya, “Semakin usianya lanjut, Rithah semakin keliru dalam urusan cinta. Akibat tidak tertahan dengan soalan yang didatangkan sendiri, dia bertanya pula kepada ibunya,

“Wahai ibu, usiaku sudah semakin lanjut. Tetapi, mengapa masih belum ada sesiapa meminang aku?”

Jeda, ayahnya berdehem sambil menelan liur buat membasahkan tekak. Tidak sabar, Dhia bertanya, “Selepas itu, apa yang berlaku?”

Senyum ayahnya tersungging dan dia menyambung, “Lalu, berusahalah si ibu tua mendapatkan jodoh buat si anak. Mana-mana bomoh dan dukun yang difikirkan boleh membantu, dia kunjungi walaupun terpaksa menghabiskan banyak wang.”

Dhia ternganga. Desisnya, ‘Sampai begitu sekali? Adakah saya tidak cukup usaha?’

Namun, sambungan ayahnya membuatkan Dhia langsung tidak dapat mengerdipkan mata. Terkejut!

“Tetapi, sehingga tua Rithah masih belum bertemu jodoh dan dia terus risau. Dia masih tertanya-tanya, “Mengapa sampai hari ini belum ada sesiapa yang mahu mengahwini aku?”

Jodoh Itu Rahsia Tuhan

Dhia benar-benar terdiam selepas mendengar cerita ayahnya itu.

‘Adakah orang yang ditakdirkan tidak berjodoh sampai tua? Mengapa ayah beritakan cerita itu kepada saya?’

Tetapi, riak Dhia kembali tenang apabila ayahnya menyebutkan,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri.” Surah Ar-Rum: 21

Apabila kerutan di dahi Dhia beransur hilang, si ayah menambah lagi, “Sebagai orang Mukmin, kita wajib percaya dengan hati, lidah dan perbuatan setiap ayat-ayat Allah. Itu rahsia ketenangan Hasan al-Banna. Dia meyakini bahawa Allah sudah mentakdirkan rezeki, jodoh dan ajalnya. Maka, dia tidak pernah takut hilang rezeki.”

Perlahan Dhia berbisik, ‘Ya, Tuhan sudah kata yang Dia mencipta setiap manusia berpasang-pasangan.”

“Dan Kami menciptakan kalian berpasang-pasangan.” Surah An-Naba’: 8

Tetapi, Dhia kembali tidak keruan apabila ayah memberitahu yang Rithah akhirnya bernikah dengan seorang pemuda tampan tetapi hanya berniat menghabiskan hartanya yang banyak. Apabila harta Rithah sudah habis dibelanjakan, pemuda itu pergi tanpa sebarang khabar menyebabkan Rithah murung.

Akibat cinta yang terlalu banyak kepada si pemuda, Rithah menghabiskan hari tua dengan memintal beratus-ratus benang. Sesudah tenunan itu siap, dia menguraikan semuanya sebelum menyulam semula benang yang sudah bercerai-cerai itu.

‘Aduh, teruknya hidup Rithah!‘

Sabar dan Berdoa

“Sebab itu, bersabarlah dan terus berdoa sehingga waktu itu tiba. Walaupun kita benar-benar mahu, tetapi jika masih belum ditakdirkan oleh Tuhan, bersabarlah.”

Isu yang tidak pernah sunyi dari fikiran remaja ialah jodoh. [Yuliang]

Jika masih belum ditakdirkan oleh Tuhan, bersabarlah. [Yuliang]

Dhia mengangguk-angguk.

Sambung ayah lagi, “Apabila diuji, Tuhan tidak menyuruh kita mencari jalan keluar melainkan bersabar dan berusaha mendekatkan diri dan berharap hanya kepada Dia. Rithah berbuat kesilapan apabila dia berharap kepada cinta makhluk dan bukan Tuhan.”

Mata Dhia bersinar-sinar. Dia segera mencelah, “Ya, sebab itu kita kena berdoa, supaya Tuhan rezekikan kita dengan segala kebaikan di dunia dan di akhirat serta dijauhkan daripada azab neraka.”

“Betul, dan salah satu kebaikan dunia itu adalah mendapat isteri/suami soleh.”

* * *

Di samping doa istikharah, ini antara doa yang pernah diajarkan oleh seorang sahabat saya, seperti yang diajarkan oleh gurunya bagi dilazimi setiap kali selepas solat fardhu dan pada waktu-waktu mustajab,

“Ya Allah, kurniakan aku suami soleh, yang meminang aku, menikahi aku dan menjadi sahabatku di dunia dan di syurga.”

Berdoalah dengan yakin, bahawa Allah akan menjawab setiap doa kita kerana Dia amat malu untuk tidak menjawab permintaan hamba-Nya. Semoga rezeki jodoh itu dipermudahkan, insya-Allah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Siti Rahmah

Beliau merupakan kolumnis Ruangan Cerpen Majalah Usrati dan usahawan sepenuh masa. Mengusahakan bisnes aksesori sulam secara online sejak 2008 di laman blog ini. Penulis turut aktif menghasilkan karya fiksyen yang diterbitkan di majalah dan antologi cerpen.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami