Keluarga

Didikan Kepada Anak Lelaki – Anda Bapa Yang Bagaimana?

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  13 Jul 2019  •  3 min baca

Peranan seorang ayah bukan sahaja bekerja dan berusaha mencari rezeki dan memberi nafkah untuk keluarga. Ini hanyalah salah satu daripada banyak lagi peranan yang sama penting.

Kita sering bercakap tentang peri pentingnya figura ayah kepada anak perempuan, seolah-olah ayah itu tidak penting untuk anak lelaki. Seolah-olah ayah tidak perlu beri tumpuan kepada anak lelaki dan ayah tidak perlu berlemah lembut kepada anak lelaki.

Walaupun anak lelaki manja dengan ibu, mungkin kerana sifat seorang ibu yang lebih membelai dan menyentuh emosi anak, sering mengalirkan air mata kerana anak dan tertawa bersama anak, tetapi anak lelaki amat memerlukan figura ayah untuk mengajar mereka bagaimana caranya untuk menjadi seorang lelaki.

Ini adalah peranan yang tidak dapat dimainkan oleh ibu kerana ibu hanya boleh bercakap tentang teori tetapi tidak dapat tunjukkan caranya untuk diteladani anak lelaki.

Menjadi lelaki bukan hanya kelihatan maskulin, sado, dan bergaya macho. Ia adalah lebih dari itu.

#1- Ayah yang lebih suka melepak dengan kawan hingga ke jauh malam dan ketika cuti, termasuklah ketagih melayan whatsapp grup.

Bukanlah teladan yang baik untuk anak lelaki menjadi pemimpin yang meletakkan keluarga sebagai prioriti satu hari nanti.

#2- Ayah yang sering berlagak sombong, menghina dan berkasar dengan orang bawahan, pekedai, pekerja asing, penjaja, isteri dan mereka yang berada di bawah.

Bukanlah teladan yang baik untuk anak lelaki belajar hormat-menghormati sesama manusia.

#3- Ayah yang gemar bergurau tentang seks, bergurau tentang poligami dan perkara lucah sehinggakan semua perkara diseksual dan dilucahkan tanpa rasa jijik dan bersalah.

Bukanlah teladan yang baik untuk anak lelaki membesar menghormati kaum wanita dan melindungi wanita.

#4- Ayah yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dengan sengaja, mengambil sesuatu yang bukan haknya atau bukan hak keluarga atau anak-anak, menipu pembayaran, tidak membayar saman, membuang sampah keluar kereta.

Bukanlah teladan yang baik untuk anak lelaki menjadi individu yang berakhlak dan berintegriti dalam masyarakat kelak.

#5- Ayah yang sering tiada kerana kesibukan dan tidak cuba mencuri masa ketika anak dan isteri memerlukan.

Bukanlah teladan yang baik untuk anak lelaki menjadi individu yang peduli dan prihatin tentang isu dan masalah keluarga.

#6- Ayah yang malas membantu kerja-kerja rumah, tidak sama-sama menguruskan anak-anak dan merasakan semuanya harus dipikul oleh isteri atau ibu.

Bukanlah teladan yang baik untuk anak lelaki menjadi seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab.

#7- Ayah yang tidak pernah mengajak anak lelaki solat berjemaah bersama, tidak memberi penekanan kepada soal aqidah dan ibadah.

Bukanlah teladan yang baik untuk anak lelaki menjadi pemimpin keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.

Peranan seorang ayah kepada anak lelaki lebih dari mencari nafkah dan menjadi simbol gagah dan sado. Anak lelaki belajar erti kelelakian dan menterjemahkan erti maskuliniti melalui apa yang dilihat, ditunjukkan dan dinasihati oleh seorang ayah. 

Ia akan meninggalkan kesan yang lebih kekal dan berpanjangan dalam diri seorang anak lelaki berbanding pengaruh rakan-rakan. Kita berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakkal.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami