Keluarga

Didik Anak Anda Cintakan Ilmu – Antara Perpustakaan Yang Boleh Dikunjungi

Oleh Fizah Lee  •  23 Sep 2019  •  5 min baca

Buat anda yang mungkin rungsing atau masih mencari-cari aktiviti yang sesuai dilakukan bersama anak-anak apabila tiba hujung minggu, anda boleh mula mendidik mereka dengan aktviti membaca.

Membaca bersama keluarga atau ibu bapa merupakan antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama untuk menanam rasa cinta kepada anak anda terhadap buku.

Ia sekali gus mampu menambahkan ilmu baru kepada mereka dan secara tidak langsung dapat membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan antara anda dan anak-anak anda.

Ibu bapa yang seharian bekerja, keluar apabila matahari belum sempat memancarkan cahayanya dan pulang apabila anak-anak telah tidur pasti sedikit sebanyak merenggangkan hubungan kekeluargaan.

Oleh itu, hujung minggu merupakan antara waktu yang sesuai untuk membaiki hubungan yang renggang. Selain boleh beriadah bersama-sama atau menonton televisyen, anda juga boleh mengajak mereka untuk membaca.

Jika anak anda sudah mula bosan untuk membaca di dalam rumah, anda mungkin boleh wujudkan sebuah bilik bacaan kecil atau mini library untuk mereka. Buku-buku dan ditambah dengan sedikit dekorasi menarik yang mampu menambah keseronokan mereka secara tidak langsung boleh menarik perhatian mereka.

Ini merupakan antara salah satu strategi pihak perpustakaan bagi menarik minat kanak-kanak agar menyukai ilmu sekali gus boleh menarik kedatangan mereka.

Buat anda yang mencari-cari perpustakaan yang sesuai untuk dikunjungi bagi menghabiskan masa bersama anak-anak anda, berikut merupakan antara perpustakaan terkenal di Malaysia dan sesuai untuk kanak-kanak.

#1 – Perpustakaan Negara Malaysia

Ia merupakan sebuah perpustakaan yang mempunyai ruang khas untuk kanak-kanak belajar dan terletak di Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, perpustakaan ini juga menawarkan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti program membaca secara berkumpulan, sesi bercerita, program cuti sekolah dan pusat Hypermedia yang menyediakan komputer untuk kanak-kanak bermain sambil belajar.

Ia dibuka pada pukul 10 pagi sehingga 7 malam pada hari Selasa hingga Sabu dan 10 pagi hingga 6 petang untuk hari Ahad. Manakala, ia ditutup pada setiap hari Isnin dan juga cuti-cuti am.

Buat anda yang ingin mengetahui lebih lanjut, boleh terus layari laman Perpustakaan Negara Malaysia.

#2 – Perpustakaan Kanak-Kanak Kuala Lumpur

Perpustakaan ini beroperasi di Perpustakaan Kuala Lumpur dan terletak di Dataran Merdeka yang bertentangan dengan Kelab Diraja Selangor.

Waktu operasinya adalah pada hari Selasa hingga Sabtu, iaitu pukul 10.00 pagi sehingga 7.00 malam dan Ahad pada pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Manakala, untuk hari Isnin dan cuti umum adalah ditutup sepenuhnya.

Antara ruangan yang disediakan ialah ruangan televisyen, bilik tayangan, bilik komputer dan juga bilik teater.

Pelbagai buku kanak-kanak disediakan dan anda pasti rambang mata untuk memilihnya serta boleh membuatkan anak anda menghayati sepenuhnya keseronokan berada di situ.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari secara terus di Perpustakaan Kuala Lumpur .

#3 – Perpustakaan Awam Terengganu

Perpustakaan ini merupakan salah satu perpustakaan Awam Terengganu yang mempunyai ruang khusus untuk kanak-kanak.

Ruang ini telah dinaik taraf dan menawarkan lebih keseronokan dan bahan bacaan yang menarik kepada kanak-kanak.

Ia terletak di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan beroperasi pada Sabtu hingga Rabu, iaitu pukul 9.30 pagi sehingga 6.00 petang dan Khamis pada 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Manakala, pada hari Jumaat dan Pelepasan Am, ia akan ditutup sepenuhnya.

Bukan itu sahaja, pihak Perbadanan Perpustakaan Awam ini turut menubuhkan beberapa perpustakaan Desa di bawahnya seperti Perpustakaan Desa Seberang Takir, Perpustakaan Desa Wakaf Tengah, Perpustakaan Desa Atas Tol dan pelbagai lagi untuk menarik warga kampung berkunjung ke perpustakaan.

Ia mempunyai kemudahan yang hampir sama seperti ruang kanak-kanak dan kemudahan Wifi untuk pengguna.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari secara terus Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu .

#4 – Perpustakaan Raja Uda

Perpustakaan Raja Tuan Uda yang terletak di Shah Alam telah dibina khusus untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Terdapat pelbagai buku yang sentiasa dikemas kini untuk rujukan kanak-kanak dan ia disusun mengikut warna dan kedudukan pelekat di label tetulang.

Terdapat juga pelbagai kemudahan yang disediakan di setiap sudut seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Interaktif dan Zon Siber yang menawarkan pelbagai aktivit minda kepada mereka.

Buat anda yang berminat untuk meluangkan masa bersama anak-anak di sini, boleh kunjunginya pada Isnin, 10.00 pagi hingga 7.00 malam, Selasa hingga Jumaat pada pukul 9.30 pagi hingga 7.00 malam dan Sabtu dan Ahad pada 9.30 pagi hingga 9.00 malam atau boleh layari Perpustakaan Raja Uda

#5 – Perpustakaan Bestari Samsung

Perpustakaan Bestari Samsung atau dikenali juga dengan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang terletak di Jalan Penjara, Kangar Perlis merupakan antara perpustakaan unik dan menarik yang boleh dikunjungi kanak-kanak.

Perpustakaan yang telah dirasmikan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 12 Januari 2015 ini bertujuan untuk memberi pengalaman digital kepada orang ramai dengan menggunakan peranti elektronik untuk membaca dan belajar.

Ia mempunyai ruang khusus kepada kanak-kanak yang sesuai antara umur 5 hingga 9 tahun dengan kandungan dan perisian yang direka untuk mereka.

Perpustakaan ini dibuka pada setiap Isnin hingga Khamis, iaitu dari pukul 2.00 sehingga 6.00 petang, Jumaat pada 2.45 sehingga 6.00 petang dan Sabtu pada pukul 9.00 pagi sehingga 6.00 petang manakala ia akan ditutup sepenuhnya pada hari Ahad dan cuti umum.

Buat anda yang berminat untuk mengajak anak anda merasai sendiri pengalaman pembelajaran secara interaktif ini, boleh layari Perpustakaan Bestari Samsung untuk lebih banyak maklumat menarik.

Kesimpulan

Melentur buluh, biar dari rebungnya. Pepatah ini mungkin sering kita dengar namun sejauh mana kita mengamalkannya dalam pendidikan awal anak-anak.

Membaca merupakan salah satu didikan yang perlu dipupuk sejak dari kecil agar anak-anak anda tidak kekok dan malas untuk menggali ilmu suatu hari nanti.

Wujud pelbagai perpustakaan dan ruang khusus kepada kanak-kanak merupakan salah satu inisiatif oleh kerajaan bagi mengajar mereka untuk mencintai ilmu agar budaya membaca tidak hilang ditelan zaman.

Justeru, bergantung kepada orang tua sendiri untuk mengajar anak anda mengenai budaya ini. Untuk lebih banyak maklumat mengenai perpustakaan di Malaysia, anda boleh layari Perpustakaan Awam secara terus.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami