Tokoh

Dialah Sebaik-Baik Lelaki

Oleh Rasyidah Rahmat  •  6 Dec 2018  •  4 min baca

Di dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsi tentang salah seorang pemuda pada zaman Rasulullah S.A.W yang sungguh hebat keperibadiannya sehingga menjadi contoh dan teladan buat kita.

Selalu kita dengar kisah-kisah pemuda hebat seperti Usamah Bin Zaid, Mus’ab Bin Umair, Muaz Bin Jabal, Sultan Muhammad Al-Fateh dan sebagainya.

Mereka ini pemuda yang sungguh hebat jiwa dan akalnya. Begitulah hammasah seorang pemuda yang mampu membina perubahan.

Namun begitu, pada penulisan kali ini saya ingin berkongsi mengenai seorang pemuda yang mungkin kita jarang mendengar kisahnya.

Betapa hebatnya keperibadian pemuda ini sehingga Rasulullah S.A.W mengakui bahawa pemuda ini adalah sebaik-baik lelaki. Subhanallah! Marilah kita telusuri kisah beliau.

Ideal Sewaktu Jahiliyah, Hebat Di Saat Islam

Usaid Bin Hudhair R.A adalah salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W dan merupakan seseorang yang dihormati dalam kalangan Kabilah Aus di Madinah baik sewaktu zaman jahiliyahnya dan sesudah beliau memeluk Islam.

Usaid merupakan seorang yang berkeperibadian lurus, teguh dan memiliki pandangan yang tajam.

Pada zaman jahiliyah, beliau digelar al-kamil kerana sikapnya sehingga mendapat julukan sebegitu rupa. Subhanallah!

*Istilah al-kamil menurut bangsa arab di masa jahiliyah dan awal islam adalah sebutan untuk seseorang yang mampu menulis tulisan arab, pandai berenang, dan mahir memanah. Di kala itu, buta huruf adalah keadaan yang mendominasi mereka.

Karamah Usaid Bin Hudhair

Pada suatu malam yang amat gelap, Usaid Bin Hudhair R.A dan temannya yang bernama ‘Abbad bin Bisyr berbincang bersama Rasulullah S.A.W tentang sesuatu urusan.

Kemudian, di saat mereka bangkit dan keluar dari tempat tersebut, maka bercahayalah salah satu tongkat dari mereka berdua sehingga dapat menerangi jalan mereka.

Tatkala jalan memisahkan mereka, bercahayalah tongkat masing-masing dari mereka hingga menerangi jalannya.

Dicintai Malaikat

Usaid adalah salah seorang sahabat Nabi yang memiliki suara yang indah dalam membaca Al-Quran.

Pada suatu malam, Usaid sedang membaca Surah Al-Baqarah sementara kuda miliknya berada dekat dengannya dalam keadaan terikat, dan anak lelakinya yang bernama Yahya berada di sampingnya dalam keadaan tidur.

Tiba-tiba, kudanya berkelakuan aneh dan berputar-putar ketika beliau membaca ayat Al-Quran. Usaid pun memberhentikan bacaannya lalu kuda tersebut diam dan tenang kembali.

Kemudian, Usaid kembali menyambung bacaannya dan sekali lagi kuda itu berputar-putar dan hal ini telah berkali-kali terjadi.

Kemudian, Usaid mengangkat pandangannya ke langit dan mendapati sesuatu seperti awan yang terdapat padanya cahaya seperti lampu-lampu semakin mendekat dari arah langit. Maka, Usaid berasa takut dan menghentikan bacaannya.

Keesokan harinya, Usaid bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan menceritakan apa yang telah berlaku. Kemudian, Rasulullah S.A.W mengatakan;

“Itu adalah para malaikat. Mereka mendekat untuk mendengar suara bacaanmu. Seandainya engkau terus membaca nescaya orang-orang akan melihat mereka. Pemandangannya itu tidak akan tertutup dari mereka.” HR Bukhari-Muslim

Si Kaya Yang Zuhud

Usaid Bin Hudhair hidup sebagai seorang ahli ibadah. Harta benda dan jiwa raga yang dimilikinya diserahkan sepenuhnya untuk perjuangan Islam.

Bagi Usaid tidak ada puncak keindahan dan kemenangan dalam perjalanan hidupnya selain apabila cahaya Islam terus bersinar.

Pandangan hidup yang seperti itulah yang mengantarnya memperoleh julukan sebagai “sebaik-baik lelaki” oleh Rasulullah S.A.W. Maha Suci Allah!

Hikmah Buat Ummah

Subhanallah! Andai ada 100 Usaid Bin Hudhair di saat ini pasti hebat generasi muda yang akan memimpin negara pada masa depan.

Wahai pemuda! inilah hikmahnya apabila kita selalu mengkaji sirah. Sentiasa menelusuri kisah-kisah pemuda hebat zaman Nabawiyah.

Hikmah buat ummah, sungguh sirah itu salah satu tentera Allah yang tidak kelihatan. Ia sangat membangunkan jiwa dan semangat di dalam diri. Sebab itulah kita jangan sesekali mengantuk dan tidur apabila membaca tentang sejarah Islam ataupun sirah Nabawi.

Rebutlah peluang itu untuk mendengar kisah-kisah pembangunan jiwa dan rohani ini. Salah satu bekal buat hati yang selalu lalai. Wallahualam.

Moga Allah S.W.T memberikan kita nikmat rajin membaca supaya dapat menambah ilmu dan meluaskan pengetahuan. Barulah boleh jadi pemuda hebat di akhir zaman!

Rujukan;
Majalah Qudwah Edisi 52 Vol. 05 1439H


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami