Inspirasi

Di Sebalik Rahsia Arafah Pada Bulan Zulhijah

Oleh Nur Ismalina Haris  •  13 Jun 2017  •  4 min baca

Kisah Kasih Nabi Adam a.s Dan Hawa Di Arafah

Kedatangan bulan Zulhijjah adalah merupakan bulan yang sangat dinanti-nanti oleh para jemaah Haji. Bulan untuk pergi bermujahadah menunaikan perintah Allah bagi yang mampu. Juga merupakan bulan untuk mengenang kembali kisah terindah para Anbiya’ Allah yang telah bertamu di Arafah.

Kisah pertama merupakan pertemuan semula dua hati yang telah jauh terpisah sekian lamanya iaitu Nabi Adam a.s dan cinta hatinya iaitu Hawa. Pertemuan yang telah ditetapkan oleh Allah ini terjadi di suatu tempat yang kemudiannya telah dikenali sebagai ‘Arafa (dalam bahasa Arab bermaksud perkenalan). Jabbal Rahmah telah menjadi saksi pertemuan di antara mereka.

Nabi Adam a.s dan Hawa bersungguh-sungguh memohon keampunan daripada Allah dan menyesali dosa mereka dengan berdoa seperti mana yang terukir dalam Surah Al-A’raaf ayat 23:

“Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”

Mereka tidak menyalahkan iblis dalam hal ini tetapi mengakui kesalahan diri sendiri. Bahkan mereka tidak pernah jemu memohon dan mengharapkan keampunan daripada Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Begitulah halnya bagi para jemaah haji yang melaksanakan rukun haji yang paling utama iaitu wukuf di Arafah.

Para jemaah disyariatkan untuk mengenang kembali kesalahan diri di samping melazimi istighfar kepada-Nya, memperbanyakkan amalan zikir, berdoa, membaca Al-Quran juga mentadabbur. Rasullullah SAW bersabda:

“Haji adalah Arafah, barangsiapa datang pada malam perkumpulan sebelum terbitnya fajar, maka sesungguhnya dia telah menemukan Haji.”(HR Ahmad dan Ashabus Sunan)

Kesabaran Nabi Kekasih Allah (Al-Khalil)

Arafah juga menjadi saksi bahawa pada tanggal 9 Zulhijjah, Nabi Ibrahim Al-Khalil mengetahui (Arifah) bahawa mimpi malamnya itu adalah merupakan perintah daripada Allah. Maka berlakulah kisah sayu di antara Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail seperti mana yang telah dinukilkan dalam Surah As-Saaffaat:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”

Anaknya menjawab:

“Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”(Ayat 102)

Hati ayah nan rebah menjadi tabah tatkala mendengar ucapan daripada anaknya, Ismail. Tiada langsung bantahan bahkan bersabar dengan ujian daripada Allah.

“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata.”(As-Saffat: 106)

Nabi Ibrahim a.s serta anaknya berjaya melalui dugaan Allah ini dengan iman dan sabar. Dan Allah telah membalas kesungguhan kedua-dua mereka dengan Rahmah-Nya.

“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:”(As-Saffat: 107 dan 108)

Sinopsis Dua Kisah Terindah Di Arafah

1. Nabi Adam a.s dan Hawa tidak pernah berhenti bertaubat kepada Allah bahkan mereka menyalahkan diri mereka sendiri yang telah termakan tipu daya iblis Azazil. Tidak seperti iblis yang tidak mahu mengaku salah bahkan bersikap angkuh dan sombong.

Istiqamah dalam bertaubat kepada Allah dan mohonlah perlindungan daripada-Nya kerana syaitan itu telah berjanji untuk menyesatkan hamba-hamba Allah supaya tersasar jauh daripada jalan-Nya.

“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus;
“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakkan mereka bersyukur.”(Surah Al-A’raaf: 16-17)

2. Setiap hamba Allah pasti akan diuji seperti mana kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”(Surah Al-Ankabuut: 2)

3. Bersabarlah dan bertawakallah kepada Allah apabila kita diuji. Jangan prejudis kepada-Nya. Dia tidak pernah memungkiri janji-Nya untuk membalas setiap amalan kebaikan itu dengan pahala berlipat kali ganda.

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”(Surah Al-Baqarah: 216

4. Tidak lalai dan mengambil berat akan perintah Allah seperti mana Nabi Ibrahim a.s tetap melaksanakan apa yang dipinta oleh Allah walaupun hatinya begitu kasihkan anaknya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”(Surah Al-Munaafiqun: 9)

5. Allah telah menyempurnakan janji-Nya kepada Nabi Ulul Azmi ini dengan kesejahteraan dan Rahmah-Nya.

“Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”(Surah As-Saaffaat: 109)

Bahkan, setiap umat Nabi Muhammad SAW mendoakan kesejahteraan kepada Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya paling kurang lima kali setiap hari secara khusus dalam tahiyat.

Sesungguhnya inilah antara kisah terindah yang telah difirmankan oleh Allah agar kita mengambil iktibar daripadanya. Doakan agar kita mendapat manfaat daripadanya dalam mencari keredhaan dan kasih Ilahi.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nur Ismalina Haris

Nur Ismalina Haris merupakan seorang Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis. Beliau seorang yang sangat meminati bidang penulisan dan telah menulis beberapa buah buku dalam bidang akademik. Beliau juga aktif menulis artikel yang telah diterbitkan di majalah berbentuk islamik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami