Inspirasi

Dendam Akan Mengikat Diri Pada Masa Lalu

Oleh Zulfikar Egar  •  9 Jul 2019  •  2 min baca

Bila baca dua kalimah ini, banyak hikmah yang boleh difikirkan.

“Dendam akan buat kita sakit hati”.

“Memaafkan dan melupakan, menyejukkan hati”.

Kata orang, “Move on” lah. Jalan terus, lupakan kesengsaraan yang lalu. Bersabarlah dengan ujian yang menimpa. Ya benar, disakiti hingga mengguris hati serta emosi juga adalah satu ujian.

Ujian yang menguji kita sebagai mukmin adakah hatinya sentiasa keluh kesah, jiwa yang selalu meronta dan terseksa tatkala diuji. Adakah hatinya selepas itu sentiasa dipenuhi perasaan hasad dengki, kemarahan dan memberontak akibat tidak redha dengan apa yang berlaku?

Dan apa yang paling penting adalah, adakah dia mengingati Allah pada ketika itu?

Membenci, sakit hati dan berdendam akan mengikat diri pada masa lalu dengan belenggu yang menyakitkan. Lantas menyukarkan kita melangkah menuju masa hadapan kerana kaki masih terikat dengan kepedihan masa lalu.

Fikiran bercelaru, emosi terganggu dan stres dek kerana hati yang sakit. Sungguh, ia boleh memberi tekanan pada diri sendiri, mental dan fizikal. Silap haribulan, keluarga sendiri pun terkena bebanan yang kita alami. Mudah-mudahan ianya dijauhkan.

Minta maaf dan memaafkan, adalah dua perkara yang ramai orang susah nak lafazkan. Andai ada dua perkara ini, InsyaAllah akan berbahagialah hidup kita semua.

Memaafkan bukan maksud melupakan, tetapi mampu membuat hati lebih tenang.

Ya, memang sukar untuk dilakukan. Tetapi ia mampu mengurangkan beban dan membantu jiwa kita agar tetap hidup dengan subur.
Ketahuilah sesungguhnya, ubat hati yang paling mujarab adalah redha. Tetapi berapa ramai daripada kita sanggup melakukannya? Redha dengan apa yang berlaku atas musibah yang menimpa.

Fikir-fikirkanlah. Adakah kita ingin hidup pada “masa lalu” atau bangkit menuju ke “masa hadapan” dengan gemilang?

Andai susah melakukannya, bangunlah sepertiga akhir malam. Mohon ampun serta berdoa meminta pada Allah Azza Wajalla untuk membantu diri yang lemah ini.

Ingatlah bahawa setiap mukmin itu akan sentiasa mendapat kebaikan dalam urusannya sekiranya dia sentiasa bersyukur. Manakala apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia bersabar dengan ujian tersebut.

Disebabkan kesabarannya itu, maka naiklah kedudukannya serta dianugerahkan pahala tanpa batasan daripada Allah Subhana Wa Ta’ala.

Daripada Shuhaib R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” [Hadith Riwayat Muslim]

Wallahualam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Zulfikar Egar

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pembangunan Keusahawanan di Kuala Lumpur Metropolitan University College. Pernah bertugas sebagai Penolong Eksekutif di Pusat Pengajian Islam Yayasan Ta’lim TTDI KL. Kini bertugas di SmartStuday & Consultant Sdn. Bhd. sebagai Eksekutif Jualan SmartStudy.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami