Ibadah

Dalam Syurga Pun Ada Pasar?

Oleh Fizah Lee  •  13 Jun 2020  •  3 min baca

Pernah anda terfikir bagaimana keadaan syurga? Bagaimana agaknya seseorang itu dilayan di dalam syurga dan bagaimana kita akan bertemu dengan kawan-kawan atau saudara mara di syurga kelak? Bagaimana pula cara ahli syurga bakal berkumpul di syurga kelak.

Kalau di dunia, kita biasanya akan berkumpul atau berjumpa saudara seislam kita di masjid. Kaum lelaki selalunya akan bertegur sapa dan mengeratkan ukhwah terutamanya apabila solat Jumaat. Kadang-kadang walaupun tidak saling mengenali, namun pasti akan disapa walau hanya dengan senyuman atau memberi salam.

Situasi kedua yang selalu menjadi titik pertemuan atau ‘jejak kasih’ ialah ketika menjejakkan kaki di pasar malam. Pasti akan bertentang mata dan bertukar senyuman dengan orang yang dikenali.

Terutamanya ketika anda menjejakkan kaki ke pasar malam atau pasar pagi itu saat jarang-jarang sekali pulang ke kampung halaman. Pasti akan berjumpa dengan kawan sekolah rendah atau jiran lama.

Waktu itulah sekurang-kurangnya memori lama akan bertapak kembali dan mulalah masa untuk merapatkan lagi ukhwah. Walaupun dengan melemparkan senyuman, namun itu juga sudah cukup untuk menjalankan hak kita sebagai sesama muslim.

Tahukah anda, di syurga juga terdapatnya tempat perkumpulan sesama ahli syurga? Dikhabarkan bahawa ia digelar sebagai pasar, sebuah tempat yang akan berkumpulnya ahli syurga pada setiap hari Jumaat.

Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW berkata:

إِنَّ فِى الْجَنَّةِ لَسُوقًا يَأْتُونَهَا كُلَّ جُمُعَةٍ فَتَهُبُّ رِيحُ الشَّمَالِ فَتَحْثُو فِي وُجُوهِهِمْ وَثِيَابِهِمْ فَيَزْدَادُونَ حُسْنًا وَجَمَالاً فَيَرْجِعُونَ إِلَى أَهْلِيهِمْ وَقَدِ ازْدَادُوا حُسْنًا وَجَمَالاً فَيَقُولُ لَهُمْ أَهْلُوهُمْ: وَاللهِ، لَقَدِ ازْدَدْتُمْ بَعْدَنَا حُسْنًا وَجَمَالاً. فَيَقُولُونَ: وَأَنْتُمْ وَاللهِ، لَقَدِ ازْدَدْتُمْ بَعْدَنَا حُسْنًا وَجَمَالاً

Maksud: “Sungguh di syurga ada pasar yang didatangi penghuni syurga setiap hari Jumaat. bertiuplah angin dari utara mengenai wajah dan pakaian mereka hingga mereka semakin indah dan tampan. Mereka pulang kepada isteri-isteri mereka dalam keadaan telah bertambah indah dan tampan. Keluarga mereka berkata: “Demi Allah, engkau semakin bertambah indah dan tampan.” Mereka pun berkata: “Kalian pun semakin bertambah indah dan cantik.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 7342)

Yang Dimaksudkan Dengan Pasar

Pasar di sini bukanlah bermaksud tempat untuk berjual beli kerana di syurga sudah pastinya seseorang itu mampu mendapatkan apa sahaja tanpa memerlukan wang.

Ia juga bukanlah seperti pasar pagi yang kita lihat hari ini, kadang-kadang tidak terjaga akan kebersihannya dan dipenuhi dengan haiwan liar seperti lalat atau tikus.

Ia juga tidaklah sempit dan berbau bauan yang tidak menyenangkan seperti hanyir dan sebagainya. Tuntasnya, keadaannya adalah berbeza sekali dengan seperti apa yang kita lihat di dunia.

Ia diumpamakan seperti pasar kerana ia adalah simbolik kepada tempat perkumpulan umat manusia dan tempat yang digemari untuk dikunjungi kerana di samping boleh membeli-belah, anda juga boleh berjumpa dengan sahabat handai.

‘Pasar’ di syurga nanti merupakan sebuah tempat yang indah yang akan dikunjungi setiap hari Jumaat oleh penduduk lelaki di syurga dari semua peringkat.

Di situlah mereka boleh berjumpa dengan teman-teman atau sesiapa sahaja yang mereka impikan untuk berjumpa. Mereka boleh bergelak ketawa, bertanya khabar dan beristirehat.

Imam Nawawi RA ada menyebutkan – “Pasar di syurga adalah tempat bertemunya kaum muslimin satu sama lain supaya bertambah kenikmatan. Merasa kelazatan, saling berbincang dan saling mengenang apa yang terjadi serta nikmat yang diperoleh di akhirat. Mereka akan berkumpul setiap hari Jumaat di antara satu sama lain.” (Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah, 54/214)

Kesimpulan

Itulah antara nikmat yang diperoleh oleh ahli syurga. Di syurga kelak dipenuhi dengan kedamaian dan saling tumpahnya perasaan kasih sayang.

Disebabkan itu, simbolik pasar menjadikan ia sebagai sebuah tempat perkumpulan ahli syurga untuk melihat lagi keindahannya.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Muslim.or.id.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami