Sejarah

Contohi Kecekalan Rasulullah Dalam Berdakwah

Oleh Fieyzah Lee  •  2 Jan 2020  •  3 min baca

Uqbah bin Mu’aith merupakan seorang pemuda Quraisy yang pernah terbuka hati untuk memeluk Islam. Walau bagaimanapun, keislaman beliau telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan para pembesar Quraisy kerana dikatakan beliau merupakan seorang yang sangat berani.

Disebabkan itu, beberapa riwayat mengatakan bahawa Abu Jahal telah berjaya menghasut Uqbah untuk kembali kafir dan meninggalkan Islam. Dalam sebuah riwayat lain mengatakan pembesar Quraisy telah menghantar seorang pemuda yang bernama Ubay untuk menghasutnya.

Disebabkan itu, Uqbah telah meninggalkan Islam dan kembali kepada dirinya yang asal, iaitu seorang yang pernah menghina Islam dan juga Rasulullah SAW sendiri.

Justeru, turunnya kalam Allah melalui surah Al-Furqan yang berbunyi:

يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
لَّقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي ۗ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنسَانِ خَذُولًا

Mafhum: “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! “Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya.” (Surah Al-Furqan, 25:28-29)

Uqbah Yang Menghina Dakwah Baginda SAW

Uqbah merupakan salah seorang yang selalu menghina Baginda SAW sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan. Banyak perbuatan yang telah beliau lakukan sama ada sebelum dan selepas Islam.

Antara hinaan dan perlakuan yang telah dilakukan terhadap Baginda SAW ialah dengan melemparkan najis unta ke atas badan Baginda SAW ketika sedang solat.

Ibnu Ishak berkata: “Mereka yang mengganggu Rasulullah SAW dan keluarganya adalah Abu Lahab, Al-Hakam bin Al-‘Ash bin Umayyah, Uqbah bin Abi Mu’aith, ‘Adi bin Hamra dan Ibnu Al-Ashda’ Al-Hudzaili. Mereka adalah jiran Rasulullah SAW dengan isi perut unta ketika sedang solat dan ada juga di antara mereka yang membuang isi perut tersebut kepada Rasulullah ketika Baginda sedang solat.”

Dalam sebuah riwayat lain juga ada menyebut, iaitu hadis riwayat Bukhari dari Abdullah bin Mas’ud berkata:

“Rasulullah SAW pada waktu itu sedang solat di hadapan Kaabah. Dalam masa yang sama, Abu Jahal dan beberapa orang pemuda Quraisy berada di situ. Tiba-tiba, salah seorang di antara mereka berkata: “Siapa yang berani untuk mengambil isi perut unta di pemotongan Bani Fulan kemudian meletakkannya di atas punggung Muhammad ketika sujud?”

Kemudian, Uqbah bin Abi Mu’aith berdiri dan dia telah membawa kotoran tersebut, menunggu sehingga Baginda SAW sujud lalu meletakkannya di atas punggung Baginda. Mereka yang melihatnya tertawa, manakala Rasulullah tetap sujud dan tidak bangun sehinggalah datang puteri Baginda, iaitu Fatimah RA untuk membersihkan kotoran tersebut. Kemudian, Baginda bangkit dari sujudnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 240)

Rasulullah SAW telah berdoa kepada Allah agar kezaliman dan penghinaan itu dibalas sendiri oleh Allah. Doa orang yang terzalimi merupakan salah satu doa yang akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Uqbah telah meninggal dalam Perang Badar akibat dipancung.

Kesimpulan

Kisah yang dinukilkan di atas hanyalah sedikit berbanding dengan pelbagai lagi ujian dan cabaran yang dihadapi oleh Baginda SAW dan para sahabat yang lain dalam menyebarkan agama Islam.

Dalam berdakwah dan menyampaikan kebenaran, seseorang itu akan berjumpa dengan pelbagai jenis manusia, sama ada yang menyokong dari awal atau yang akan berpaling keimanannya dan mungkin juga mereka yang sentiasa berusaha untuk menjatuhkan penyebar agama Allah itu.

Oleh itu, contohilah ketabahan dan kecekalan hati Baginda SAW untuk sentiasa berada di atas jalan dakwah tersebut.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Perkongsian oleh: Da’i Wan Dazrin


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami