Gaya Hidup

Cinta Kepada Allah Tidak Bertepian

Oleh Fazli Abdullah  •  21 Feb 2019  •  4 min baca

Mencari dan memburu cinta manusia itulah yang terlalu diutamakan pada zaman ini. Sehingga alpa dengan satu cinta yang tidak pernah pudar dan hilang. Cinta itu adalah cinta kepada Allah. CintaNya adalah suci dan murni.

Sesiapa yang cinta kepada Allah pasti hatinya tenang dan damai. Ketika musibah menjengah, lidah lembut menyebut nama Allah.

Tiada kata seindah menyebut kalamNya(al-Quran) dan namaNya(zikir). Itulah perasaan orang yang sedang bercinta.

Cinta Allah Tulus Suci

Sesetengah manusia yang bercinta hanya memilih rupa dan harta. Jika tidak berharta, rupa segak yang dicari. Namun, itu cinta manusia bukan cinta Allah.

Allah tidak memilih rupa. Biar rupanya tidak disukai manusia tetapi iman dan taqwa di dada itu yang paling utama.

Cinta Allah tidak dinodai. CintaNya tidak akan mengecewakan sesiapa yang mendambakanNya. Siapa yang tulus cinta kepadaNya pasti akan dibalas baik dan tidak akan rugi sama sekali.

Beza pula cinta manusia, kadang kala dikhianati, ditinggalkan, berlaku perbuatan curang dan bermacam lagi. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula sangat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”Surah Al-Baqarah 2:207

Percayalah dan yakinlah bahawa cinta Allah adalah cinta sejati. Membawa bahagia di dunia dan di akhirat nanti. Dicintai pula oleh penduduk langit (para malaikat). Cinta yang Agung dan lagi diberkati.

Kurniaan Allah Yang Tidak Ternilai

Jika dicatat dan dikira segala nikmat yang diberi Allah, maka pasti kita akan tertunduk lemah. Hal ini kerana, nikmat Allah cukup banyak dan terlampau banyak.

Dari badan kita sekecil bayi sehingga ke saat ini, renung sejenak berapa banyak nikmat pemberianNya.

Kita sebagai hamba yang kerdil sepatutnya menyedari bahawa kasih sayang Allah Maha Luas. Walau kita kadang sibuk mengejar dunia, Allah masih memberi nikmat kepada kita.

Kenanglah kembali nikmatNya agar hati tidak mudah mengeluh dan kecewa. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Sesungguhnya kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha Mengasihani”Surah At-Tur 52:28

Kita yang akan beruntung apabila kita ikhlas mencintaiNya. Allah tidak pernah rugi jika ada hambaNya tidak menyembah dan mengikut perintahNya. Kekuasaan dan kerajaanNya tetap megah dan tinggi.

Cinta Allah Melebihi Cinta Seorang Ibu

Seorang ibu sanggup berkorban dan menanggung beban untuk mendidik serta menjaga anak-anaknya. Ketika si anak demam, dia tidak melelapkan mata dan berjaga malam.

Ketika anak kelaparan, ibu pasti akan segera menjamukan makanan. Itulah cinta dan kasih seorang ibu.

Cinta Allah pula melebihi cinta seorang ibu dan seorang ayah. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya walaupun hambaNya banyak melakukan dosa dan maksiat.

Selain itu, perbuatan baik Allah gandakan kepada 10 pahala. Allah memberi peluang untuk kita bertaubat walau ‘sejuta’ kali kita bermaksiat.

Tidak mampu dibilang dengan jari sudah berapa banyak peluang Allah beri untuk kita kembali. Dosa yang dilakukan mengunung tinggi, Allah tutup keaiban dan menanti taubat kita. Rahsia hanya kita dengan Allah.

Meskipun kita bergelumang dengan dosa yang banyak, kasih Allah tidak berkurangan apabila kita kembali bertaubat kepadaNya. Allah menerima taubat kita jika ia sebenar-benar taubat. Subhanaallah.

Mereka Yang Dicintai Allah

Tiada siapa yang tidak mahu dirinya dicintai. Dicintai pula oleh orang yang kita suka. Itulah fitrah manusia. Ada perasaan cinta di dalam jiwa.

Siapakah pula orang yang Allah cintai? Siapakah mereka yang beruntung itu? Mereka itulah hamba Allah yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Mereka yang mengikut perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Mereka sanggup berjuang semata-mata kerana Allah bukan kerana habuan sementara di dunia. Rela berpenat-lelah mempertahankan segala perintah Allah.

Subhanaallah, mereka hanya susah di dunia, namun akhirat mereka diibarat raja dan hidup penuh bahagia.

“Tanda cinta kepada Allah adalah banyak mengingat (menyebut)Nya, kerana tidaklah engkau menyukai sesuatu kecuali engkau akan mengingatnya.”Ar Rabi’ bin Anas(Jami’ al ulum wal Hikam, Ibnu Rajab

Kesimpulan

Janganlah terlalu mendambakan cinta manusia. Takut nanti kecewa merana. Burulah cinta Allah yang kekal abadi.

CintaNya tidak pernah terpadam walaupun sekali. Utamakan cinta Allah daripada cinta kepada makhluk. Reda Allah itulah tunjangnya.

“Dan Ia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Ia menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.”Surah Ash-Shura 42:26

Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Al-Quran dan Terjemahan
2. Kata Mutiara


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami