Gaya Hidup

Cinta Hanya Merimaskan!

Oleh Bahauddin Hamizan  •  12 Jul 2019  •  7 min baca

Pernah merasa yang anda sudah lesu untuk ambil tahu tentang percintaan? Kalau nampak sahaja tulisan atau lagu tentang cinta anda terus berikan komentar seolah-olah perkara seperti cinta ini sesuatu yang tidak matang dan tidak perlu menyibukkan diri dengannya.

Jika anda pernah merasa begitu, bermakna anda sudah terpalit dengan satu fenomena pemikiran ‘burnout’ yang mana akal pada tahap ini sudah mula meremehkan hal-hal ini serta lesu untuk bercakap mengenai cinta.

Dahulu sebelum saya terjunkan diri secara serius ke dalam ilmu perhubungan, saya juga adalah seorang yang skeptikal sehinggalah satu ketika saya telah diuji dengan masalah perhubungan.

Alhamdulillah, waktu itu saya memang suka membaca bahan-bahan yang boleh memberikan pengetahuan dan tips mengenai perhubungan. Pada saya bacaan itu matang dan kritikal sehinggakan memberikan saya satu bentuk ‘turning point’ dalam melihat sudut terhadap isu perhubungan.

Mengapa Kita Letih Dalam Hubungan?

Pada tahun 1970, seorang ahli psikologi dari Amerika bernama Herbert Freudenberger memberi istilah ‘burnout’ untuk situasi dalam bidang kerjaya doktor dan jururawat pada waktu tersebut.

Staf yang berkerja dalam bidang perkhidmatan awam selalu terkait dengan masalah kelesuan emosi dan fizikal disebabkan beberapa faktor seperti tekanan kerja yang melampau sehingga kita buat kerja di luar dari kemampuan diri.

Itulah asal usul perkataan burnout tadi yang mana asalnya berkait dalam kerjaya sahaja namun pada masa kini istilah itu disebar luaskan pada perhubungan juga.

Seorang penulis perhubungan yang bertauliah bernama Kira Asatryan dalam satu artikel beliau bertajuk 5 Signs of Relationship Exhaustion dalam Psychology Today turut menyenaraikan lima ciri-ciri seseorang itu lesu dalam perhubungan cinta, seperti berikut:

#1- Kita Fikir Temujanji Itu Kedengaran Begitu Teruk

Jika diambil dari sudut budaya Barat, saya boleh bersetuju jika kita berfikir demikian. Kerana selalu temujanji itu dikaitkan dengan percintaan bebas tanpa arah pada pernikahan.

Tetapi dalam konteks budaya ketimuran, temujanji boleh kita ubahsuai bercirikan budaya dan etika di sini.

Orang yang skeptik dan letih akan hubungan cinta tidak mahu bertemujanji atau pun berkenalan dahulu. Mereka lebih gemar terus bernikah dan mahu berkenalan dalam fasa selepas nikah.

Pada saya itu tidaklah salah seratus peratus walaupun saya percaya kepada konsep berkenalan dahulu, kerana jika seseorang mahu melakukan cara tersebut dia perlulah bercakap atau berbincang hal-hal serius sebelum nikah yang mana boleh membantu dia memilih insan yang betul dan mengelakkan menyesal di kemudian hari.

#2- Kita Stress Dalam Mencari Pasangan Hidup

Sebelum ini sewaktu kita masih solo, kita akan rasa sedikit teruja atau seronok apabila berjumpa dengan insan yang berpotensi menjadi pasangan kita. Tetapi orang yang lesu terhadap cinta berasa seolah-olah kosong.

Insan ini hanya memikirkan soal kerja dan soal rutin sahaja tanpa ada memikirkan ingin mencari jodoh. Apabila mendapat cadangan daripada keluarga atau rakan-rakan untuk berkenalan dengan orang yang dicadangkan itu, insan yang lesu itu hanya mengiyakan sahaja tanpa ada tindakan susulan.

Jadi pada saya jika anda adalah begini, usah memasuki mana-mana hubungan jika anda masih belum pulih kerana perkara itu akan merosakkan hubungan tersebut dan menyakitkan orang lain.

#3- Emosi Sangat Meletihkan Selepas Gagal

Apabila melalui fasa kegagalan bercinta, kita akan rasa tenaga emosi menjadi berkurangan. Antara tanda-tanya adalah kurangnya bercakap, reaksi terhadap sesuatu yang lucu berkurangan dan malas hendak bersosial dengan orang lain. Lebih gemar untuk menyendiri dan meluahkan perasaan pada orang-orang yang dipercayai sahaja.

Dalam fasa ini sebaiknya kita bermuhasabah diri dan semakin dekatkan diri kepada Allah. Banyakkan melakukan solat malam, sentiasa berdoa dan laksanakan amal kebaikan setiap hari. Kerana dengan meminta pertolongan-Nya, barulah hati kita menjadi tenteram dan pulih sihat dengan normal.

#4- Selalu Tergambarkan Ingatan Perkara Buruk Waktu Dahulu

Ada sebuah kata-kata yang berbunyi begini;

“People will forget what you said, people will forget what you did, but people will never forget how you made them feel”

Begitulah fitrah hidup ini, kita akan teringatkan perkara yang memberikan kesan pada keadaan emosi kita. Sukar untuk kita ingat pada kata-kata seseorang melainkan perkataan tersebut memberikan kita satu perasaan yang berbekas dalam hati.

Individu yang letih akan hubungan hanya lebih mengingati kejadian buruk bagaimana dirinya dilayan sebelum ini. Sebab itulah perlunya mengambil masa untuk pulih kerana kita merasakan trauma dan takut untuk perkara itu berulang kembali..

Seorang penulis psikologi perhubungan yang bernama Stephen Hussey dalam laman sesawangnya GetTheGuy turut mengemukakan dua tapak asas mengapa seseorang itu boleh burnout dalam perhubungan.

Dua asas itu ialah tidak realistik dalam mengimpikan pasangan dan sentiasa habiskan masa dengan perkara yang salah apabila kita berada dalam satu hubungan. Jadi kebanyakan dari mereka ini sebenarnya begitu memaksa diri untuk dapatkan seseorang dengan cara yang salah, malah hal ini sering terjadi bermula dari gaya berfikir (mindset) yang salah juga.

Merawat Hati Dan Meraih Jiwa Yang Tenteram

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ. ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau reda lagi diredai.”Surah al-Fajr: 27-28

Ayat di atas menunjukkan betapa untuk meraih jiwa yang tenang itu ialah dengan mendakap keredaan pada ketentuan Allah.

Reda itu perlu diraih dari Allah, bukannya mencari-cari pada orang lain. Punca berlakunya kekecewaan yang mendalam adalah disebabkan percaya apabila mencari reda manusia, hati kita akan tenang.

Hati akan gembira dan bahagia apabila kita usaha untuk cari reda dari sisi manusia, padahal itu salah. Orang Barat menyebutnya sebagai ‘validation’.

Kita begitu obses supaya orang lain ‘validate’ diri kita, sepertimana di dalam sebuah filem bertajuk Black Mirror: Nosedive apabila watak utamanya, Lacie, gigih hidup di dalam masyarakat yang menjadikan ‘validation’ itu sebagai satu cara hidup.

Pada akhirnya masyarakat hanya memandang mereka yang mempunyai validasi yang tinggi sahaja berbanding orang yang kurang validasi. Manakala cara untuk mendapatkan validasi itu pula adalah dengan cara yang keji dan jijik serta perlu berpura-pura sepanjang hidup.

مَنِ التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى النَّاسِ
“Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.”Riwayat Tirmizi

Jika kita tergolong dalam mereka yang memandang sinis terhadap hubungan, lakukanlah refleksi diri. Ramai orang yang kecewa dengan cinta menjadi ‘bitter’ dan tidak mampu untuk bersikap matang dalam perhubungan baru.

Ada yang terus sahaja ingin kahwin dan hidup bersama walhal langsung tidak kenal perwatakan dan ‘worldview’ pasangannya itu, cuma berharap akan kenal selepas nikah nanti.

Sedangkan apabila kita amati kisah Rasulullah bersama Khadijah, mereka berdua telah kenal lama dan faham antara satu sama lain. Itulah sebabnya Aisyah begitu cemburu dengan Khadijah meskipun Khadijah telah lama meninggal dunia tetapi Nabi tetap merinduinya.

Sebabnya adalah persefahaman hasil daripada perkenalan yang ikhlas dan Khadijah sangat menyokong Rasulullah sewaktu permulaan dakwah menerima wahyu yang pertama di saat tiada siapa yang beriman pada Allah.

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ خَدِيجَةَ أَثْنَى عَلَيْهَا فَأَحْسَنَ الثَّنَاءَ قَالَتْ فَغِرْتُ يَوْمًا فَقُلْتُ مَا أَكْثَرَ مَا تَذْكُرُهَا حَمْرَاءَ الشِّدْقِ قَدْ أَبْدَلَكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا خَيْرًا مِنْهَا قَالَ مَا أَبْدَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا مِنْهَا قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ وَرَزَقَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ
“Ketika Rasulullah menyebut-nyebut kebaikan Khadijah, timbullah kecemburuan di hati Aisyah. Aisyah menceritakan, “Apabila Nabi Sallallahu ’alaihiwasallam mengingat Khadijah, beliau selalu memujinya dengan pujian yang bagus. Maka pada suatu hari saya merasa cemburu hingga saya berkata kepada beliau; ‘Alangkah sering engkau mengingat wanita yang hujung bibirnya telah merah, padahal Allah telah menggantikan untuk engkau yang lebih baik darinya. Serta merta Rasulullah bersabda: “Allah AzzaWaJalla tidak pernah mengganti untukku yang lebih baik darinya, dia adalah wanita yang beriman kepadaku di saat manusia kafir kepadaku, dan dia membenarkanku di saat manusia mendustakan diriku, dan dia juga menopangku dengan hartanya di saat manusia menutup diri mereka dariku, dan Allah AzzaWaJalla telah mengurniakan anak kepadaku dengannya ketika Allah tidak mengurniakan anak kepadaku dengan isteri-isteri yang lain.”Riwayat Ahmad

Justeru itu, saya percaya bahawa percintaan itu bermula dengan perkenalan. Dalam perkenalan itulah kita ketahui perwatakan, kelemahan, kekuatan, sokongan dan berbagai lagi sifat kemanusiaan seseorang yang terpulang pada kita sama ada kita boleh hidup bersama atau pun tidak.

Janganlah disebabkan baru dikecewakan oleh seseorang, kita terus menyeksa diri sendiri dengan memaksa untuk berkahwin sekali lalu tanpa benar kenal, atau pun dalam hal lain terus membuatkan diri kita menjadi benci dan mual berkaitan perhubungan cinta. Seperti mana satu kata-kata di dalam filem Equilibrium (2002);

“Without love my breath is just a clock ticking”

Cumanya kita mesti belajar bagaimana menyifatkan sesuatu itu ialah cinta, atau sekadar permainan seseorang terhadap kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Bahauddin Hamizan

Bahauddin Hamizan

Graduan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM. Meminati aktiviti sukarelawan dan sukan . Penulis buku Pematah Hati Yang Dirindukan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami