Inspirasi

Cerita Palsu Tentang Imam Ahmad bin Hanbal Dan Penjual Roti

Oleh Natirah Azira  •  2 Sep 2020  •  3 min baca

“Ikutilah kebenaran, bukan mengikuti orang”

Kata-kata ini saya jumpa di laman web yang kerap dirujuk untuk mencari kesahihan suatu hadis, Rumaysho.com. Ia ringkas tetapi mengandungi makna yang sangat mendalam.

Di zaman informasi bergerak dengan sangat laju, dan ramai yang terlupa untuk memeriksa dahulu kesahihan suatu berita, maka nasihat ringkas di atas sangat penting untuk dipegang.

Kata orang, perkara yang biasa dilakukan tidak semestinya benar, dan perkara yang aneh dan asing tidak semestinya salah. Ikutilah kebenaran meskipun saat itu hanya tinggal kita seorang yang berpegang dengannya.

Nasihat ini juga membawa saya berjumpa dengan sebuah perkara yang selama ini saya percaya bahawa ia benar, iaitu kisah Imam Ahmad bin Hanbal yang menemui seorang penjual roti yang sering beramal dengan istighfar.

Diceritakan bahawa doanya sering dikabulkan kerana amalan istighfar dan akhirnya dia juga mampu bertemu dengan Imam Ahmad yang ‘kebetulan’ melalui kedainya berkat istighfar.

Cerita ini saya dapati daripada satu video milik sebuah platform yang turut menghasilkan kandungan-kandungan Islamik. Namun, saya percaya bahawa seseorang tidak lari daripada membuat kesilapan.

Dan tugas saya adalah memperbetulkan semula fakta ini kepada para pembaca Tzkrh. Setelah memeriksa di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, kisah Imam Ahmad bersama penjual roti itu tidak ada diceritakan dalam Kitab Manaqib Al Imam Ahmad oleh Imam Ibn Al-Jauzi. Ia juga tidak ada dalam kitab-kitab muktabar yang lain.

Malah Prof Dr Umar bin Abdullah Al-Muqbil, seorang yang mahir dalam bidang ilmu hadis mengatakan bahawa kisah ini tidak diketahui asalnya daripada mana-mana kitab Al-Tarajum dan Al-Manaqib.

Yang ada hanyalah kisah yang hampir sama, tetapi kisah itu bukan dengan penjual roti tetapi dengan seorang lelaki bernama Ishak bin Rahawayh, dan tidak disebutkan pula dalam kisah ini tentang amalan istighfar.

Walaupun kisah antara Imam Ahmad dan penjual roti adalah kisah yang palsu, namun ia tidak menafikan kelebihan istighfar yang sememangnya banyak. Contohnya dalam Surah Nuh, ayat 10 hingga 12 Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”(Surah Nuh 71:10-12)

Manakala dalam hadis lain, dari ‘Abdullah bin ‘Abbas Rasulullah SAW memberitahu kita bahawa,

“Barangsiapa yang melazimi membaca istighfar, Allah akan menjadikan dari setiap kesedihan, kelonggaran dan dari setiap kesempitan jalan keluar dan memberi rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3809)

Apa yang saya sendiri pelajari dalam perkara ini adalah kepentingan untuk sentiasa setia dengan kebenaran. Mungkin pada satu masa lain, maklumat kita terhad dan usaha pula tidak cukup, sehingga kita mempercayai perkara yang salah, tetapi setelah kita mengetahui hal yang benar, maka berpalinglah daripada kesilapan ke arah kebenaran.

Ikutilah kebenaran dan bukan mengikuti orang.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami