Kesihatan

Cegah Mungkar Hapus Denggi

Oleh Abdullah Bukhari  •  26 Jul 2019  •  5 min baca

“Siapa sangka, ia cuma seekor makhluk halus yang tidak bernilai. Kitaran hidupnya tak panjang. Beratnya pun tak sampai beberapa milligram, namun kesan buruknya mampu menggetar badan dan menggugat nyawa. Itulah bahaya seekor makhluk Allah bernama nyamuk.”

Nyamuk kelihatan remeh dan kecil, namun ia miliki impak luar biasa pada kehidupan manusia. Jika tidak masakan Allah menyebut namanya dalam al-Quran ketika menyindir kebebalan golongan bukan Islam yang tak mahu memahami perumpamaan yang dibawa al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلًا يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang yang beriman, maka mereka tahu bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang yang fasik Surah al-Baqarah 2:26

Baru-baru ini Allah uji saya dan keluarga dengan jentikan keras demam denggi. Pada mulanya ia menggugat 2 anak saya Asma dan Adna. Langsung mereka terlentang tidak bermaya selama seminggu.

Selepas mereka melepasi ancaman makhluk Allah ini, saya pula disapa kejam demam yang sama. Seminggu demam ini menumpang jasad, berat badan susut mendadak.

Habis lenguh dan ‘bisa’ seluruh badan. Bahkan selepas ia berlalu pergi, tubuh masih lesu menahan kesan. Sebut sahaja perihal demam, ingatlah pesan nabi S.A.W ini:

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم دَخَلَ عَلَى أُمِّ السَّائِبِ (أَوْ: أُمِّ الْمُسَيَّبِ)، فَقَالَ: مَا لَكِ يَا أُمَّ السَّائِبِ (أَوْ: يَا أُمَّ الْمُسَيَّبِ) تُزَفْزِفِيْنَ؟ قَالَتْ: اَلْحُمَّى، لاَ بَارَكَ اللهُ فِيْهَا. فَقَالَ: لاَ تَسُبِّي الْحُمَّى، فَإِنَّهَا تُذْهِبُ خَطَايَا بَنِيْ آدَمَ كَمَا يُذْهِبُ الْكِيْرُ خَبَثَ الْحَدِيْدِ.
Rasulullah S.A.W pernah menjenguk Ummu al Saib (atau Ummu al-Musayyib), kemudian baginda bertanya: “Apa yang terjadi denganmu wahai Ummu al-Sa’ib (atau wahai Ummu al-Musayyib), kenapa kamu menggigil?” Beliau menjawab: “Sakit demam yang tidak ada keberkatan Allah padanya.” Maka baginda bersabda: “Janganlah kamu mencela demam kerana ia menghilangkan dosa anak Adam, sebagaimana alat pemanas besi mampu menghilangkan karat.”Sahih Muslim

Hebat sekali penangan si demam denggi. Lalu terfikir di benak fikiran mengapa perlu Allah cipta makhluk yang sangat bahaya ini? Bukankah mudah jika nyamuk dipupuskan terus dari bumi agar manusia selamat dari ancamannya?

Sukar untuk menjawab soalan itu secara terus dalam kerangka jawapan soalan objektif, cuma apa yang pasti semua perbuatan Allah bersebab dan berhikmah. Tinggal lagi manusia perlu mencari sebab dan hikmah tersebut dengan galian ilmu. Firman Allah yang bermaksud:

Dan tidaklah Kami cipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main; Tidaklah Kami cipta keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu) Surah al-Dukhan 44:38-39

Sebenarnya banyak sebab penciptaan nyamuk yang berguna untuk manusia seperti penemuan ubat serta rawatan bagi sebarang penyakit yang berpunca daripada nyamuk.

Manusia juga menjadi lebih cakna alam dengan berusaha menjaga kebersihan bagi mengelakkan menularnya sebarang penyakit berpunca daripada nyamuk. Ia seumpama wujudnya racun bagi mencetus usaha mencari penawar bagi racun tersebut.

Setiap kali demam denggi mengganas merobek ketenteraman awam, saya segera mengingat aspek pencegahan perkara mungkar dan maksiat yang menjadi tunggak utama agama kita. Firman Allah:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya Surah Ali ‘Imran 3:104

Sebut sahaja operasi cegah mungkar atau maksiat, biasanya kita beranggapan ia suatu langkah mencegah “jenayah seksual” yang bersarang di sesebuah tempat tersembunyi. Tarikan cegah mungkar dan maksiat dalam kerangka berfikir sebegini sangat luar biasa.

Ramai yang bersemangat secara sukarela mahu ikut serta mencegah yang mungkar lagi maksiat, tetapi apabila diadakan operasi membersih kawasan bagi mencegah pandemic denggi ada yang berdalih mengatakan sibuk.

Sebenarnya operasi cegah denggi turut termasuk dalam proses cegah mungkar dan maksiat yang sangat dituntut agama. Sikap pengotor sesetengah anggota masyarakat yang tak peduli kebersihan menternak nyamuk aedes akan memangsakan orang lain yang tak bersalah.

Apabila musibah datang melanda dek kecuaian sesetengah pihak, bahayanya tidak hanya menyakiti si zalim penternak nyamuk tetapi turut membaham yang lain. Hayatilah firman Allah ini:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan jagalah diri kamu daripada (melakukan atau berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim antara kamu secara khusus (tetapi turut menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya Surah al-Anfal 8:25

Untuk menambah keberkesanan kempen cegah denggi, aspek cegah mungkar dan maksiat bersama ayat di atas perlu digunakan pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia kerana sentuhan agama dalam apa sahaja kempen lebih memberi bekas kepada hati orang Islam.

Kepada semua anggota masyarakat, amalkan hidup bersih dan sihat. Kita tidak tahu bagaimana nasib kita suatu hari nanti. Hari ini mungkin orang lain disapa denggi kerana sedikit kecuaian kita, namun siapa sangka suatu hari nanti giliran kita pula sampai.

Pastinya giliran merana dirobek demam denggi bukanlah suatu pengalaman yang mahu dirasai walau seketika.

Niatkan usaha menjaga kebersihan sebagai suatu sedekah yang berguna untuk semua. Luaskan dimensi sedekah dan jangan hanya terkurung dalam definisi sedekah yang biasa kita dengar.

Cukuplah hadith nabi ini menjadi pedoman kita semua untuk menjamin kehidupan sejahtera dalam masyarakat, lebih-lebih ketika berhadapan dengan pandemic denggi. Sabda Rasulullah S.A.W:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَأَمْرُكَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيُكَ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَإِرْشَادُكَ الرَّجُلَ فِي أَرْضِ الضَّلَالِ لَكَ صَدَقَةٌ وَبَصَرُكَ لِلرَّجُلِ الرَّدِيءِ الْبَصَرِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِمَاطَتُكَ الْحَجَرَ وَالشَّوْكَةَ وَالْعَظْمَ عَنْ الطَّرِيقِ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِفْرَاغُكَ مِنْ دَلْوِكَ فِي دَلْوِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
Abu Dhar R.A berkata Rasulullah S.A.W bersabda; “Senyumanmu pada wajah saudaramu adalah suatu sedekah untukmu, menyuruh yang baik serta mencegah yang mungkar juga sedekah untukmu, menunjuk jalan kepada lelaki yang tersesat juga sedekah untukmu, engkau melihat (memimpin) bagi pihak orang yang rabun (buta) juga sedekah untukmu, engkau membuang batu, duri dan tulang di jalanan juga sedekah untukmu, engkau menuang air dari timbamu ke dalam timba saudaramu juga sedekah untukmuSunan al-Tirmidhi, Sahih Ibn Hibban

Perhatikan sabda nabi itu, usaha membuang batu, duri dan apa sahaja di jalanan yang boleh mengundang mudarat pada orang lain turut diiktiraf sedekah menurut Islam.

Apa yang pasti takungan air yang menjadi sarang si nyamuk aedes jauh lebih bahaya daripada cerucuk duri atau batu di tengah jalan.

Jika orang tercucuk duri, darahnya nampak jelas di mata dan senang dirawat, tapi demam denggi darahnya menyusut secara diam dalam tubuh dengan kehilangan angka platlet. Itu jauh lebih bahaya. Semoga Allah selamatkan kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami