Inspirasi

Cara Allah Memberikan Peluang Bersedekah Kepada Lelaki Ini

Oleh Natirah Azira  •  29 May 2020

(Perkongsian dalam video ini telah disampaikan oleh Asim Khan, diterbitkan oleh ILuvUAllah Production)

Seorang lelaki berkongsi tentang sebuah cerita yang membuatkan dia menitiskan air mata.

Suatu hari, apabila dia baru keluar dari masjid, dia telah didatangi seorang peminta sedekah. Hatinya menggerutu dan jengkel melihat si peminta sedekah yang menunggunya. Dalam keadaan terpaksa dia berikan juga sedekah. Apabila melihat ke dalam dompetnya dan mendapati hanya terdapat wang dengan nilai besar sahaja, dia tetap memberi untuk si peminta sedekah tersebut membeli makanan namun berpesan supaya memulangkan baki.

Si peminta sedekah masuk ke dalam sebuah restoran untuk membeli makanan dan lelaki tersebut menunggu di luar. Lama dia menunggu dan si peminta sedekah masih belum keluar. Hatinya jengkel dan menyangka bahawa wangnya sudah dihabiskan, dan dia terpaksa pula menunggu.

Dia lantas masuk ke dalam untuk memarahi si peminta sedekah. Namun apa yang dilihat, peminta sedekah sedang makan dan di atas meja penuh dengan makananan yang pelbagai jenis. Lelaki itu mendekati lalu memarahinya, kerana telah meminta duitnya kemudian membuatnya menunggu.

Tiba-tiba, peminta sedekah tersebut menghulurkan kembali duit yang diberi.

“Ini duitmu, aku langsung tidak menggunakannya. Pemuda di belakang kaunter itu yang merupakan pemilik restoran yang telah membelanjaku dan membenarkan aku mengambil apa yang aku kehendaki”

Lelaki tersebut lega kerana mendapat duitnya kembali. Lalu dia pulang menceritakan hal tersebut kepada isterinya. Dia berpandangan itulah cara Allah memulangkan kembali duitnya kerana dia sudah memberikan sedekah.

Walaubagaimanapun, isterinya memberi buah fikiran yang berlainan.

“Saya tidak berpendapat sebegitu. Bukan kamu mendapat kembali apa yang telah kamu sedekahkan, tetapi Allah telah menarik peluang sedekah yang diberikan dan memberikan kepada pemilik kedai itu”

Menyedari kebenaran kata-kata isterinya, lelaki itu menangis kerana telah terlepas peluang bersedekah kerana sejak dari awal lagi perbuatannya tidak ikhlas dan dipenuhi prasangka.

Peluang bersedekah mungkin datang tanpa kita sedari.

Ada kalanya kita bersangka pula tentang niat yang dimiliki oleh seseorang, adakah dia menipu atau tidak, jujur atau tidak sebelum memberikan sedekah. Namun sedekah bukan hanya untuk orang yang kononnya kita nilai baik sahaja. Sedekah adalah sedekah yang perlu diberikan seikhlas hati, tanpa sangka.


Kongsikan Video Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan video ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami