Gaya Hidup

Buntu? Istisyarahlah

Oleh Hafizah Ramli  •  5 Mar 2019  •  4 min baca

Seingkali kita mendengar, lakukanlah solat sunat istikharah jika ingin membuat sesuatu keputusan sama ada yang kecil atau besar agar pertunjuk yang kita dapat itu sentiasa dalam redha Allah. Tidak dapat dinafikan, fadilat solat sunat ini adalah untuk meminta agar Allah memudahkan segala perjalanan hidup kita. Ia juga merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW.

Namun, tahukah anda bahawa sunnah Rasulullah SAW yang lain dalam membuat keputusan adalah dengan melakukan istisyarah. Syura, musyawarah atau istisyarah merupakan perbuatan yang sama dalam membuat keputusan malah ia perlu berseiringan dengan perbuatan istikharah.

Istisyarah berasal daripada perkataan Arab yang merupakan fe’il ‘amar, satu kata kerja dalam bahasa Arab yang membawa maksud ayat suruhan. Istisyarah bermaksud berbincanglah. Ia selalunya digunakan untuk mendapatkan maklumat dan juga membuat keputusan. Melalui firman Allah dalam surah Al-Baqarah, (2:233) yang bermaksud:

“…kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya)”

Firman Allah ini jelas membuktikan bahawa konsep syura itu sangatlah penting dalam kehidupan harian dan merupakan salah satu usaha untuk mendapatkan keputusan yang jelas dan tepat.

Rasulullah Bermusyawarah Sebelum Perang

Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin yang bersikap terbuka dalam menerima pandangan daripada para sahabat ketika ingin melakukan apa jua keputusan. Baginda akan menitik beratkan pandangan yang diberikan oleh para sahabat.

Seperti sirah baginda dalam perang Khandaq, baginda meminta pandangan daripada para sahabat sama ada hendak berdamai dengan golongan yang bersekutu, iaitu dengan memberikan sepertiga daripada hasil buah-buahan Madinah pada tahun itu.

Namun, cadangan baginda ditolak oleh para sahabat dan baginda menuruti pendapat itu. Kisah ini diceritakan melalui tafsir Ibnu Kathir. Melalui firman Allah yang bermaksud:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu, kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Surah Ali-Imran, 3:159)

Rasulullah SAW tidak pernah malu untuk meminta pendapat daripada sesiapa sahaja walaupun baginda merupakan seorang pemimpin hatta kekasih Allah sendiri. Hal ini dapat dijadikan contoh teladan kepada kita semua bahawa jangan malu untuk berbincang demi mendapatkan keputusan.

Pemimpin Juga Beristisyarah

Banyak sahabat, ulama’ mahupun mufti yang mengamalkan konsep syura demi menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Hal ini kerana, mereka juga beranggapan bahawa tidak semua pandangan diri sendiri dianggap betul, jadi kita perlulah meminta dan mendengar pandangan orang lain juga untuk membandingkan dengan pandangan kita dan berusaha menyelesaikannya dengan baik.

Setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza di setiap benak masing-masing. Setiap pandangan ini perlulah ditikberatkan demi membuat keputusan yang terbaik.

Anda Boleh Beristisyarah Dengan Tiga Tips Ini

Sebenarnya, terdapat pelbagai cara untuk berbincang. Anda boleh mengamalkan tiga tips mudah ini untuk membuat keputusan sama ada dalam memilih pasangan, keliru untuk sambung belajar ataupun dalam pemilihan urusan muamalat dan banyak lagi.

#1 – Berbincanglah Dengan Saudara Terdekat

Ahli keluarga, sanak saudara mahupun sahabat handai boleh dijadikan tempat rujukan untuk membuat perbincangan. Kadang-kadang, mereka lebih memahami diri kita dan boleh memberi pandangan yang dalam membuat keputusan.

#2 – Carilah Orang Yang Matang

Berpada-pada dalam meminta pendapat dan pandangan daripada seseorang. Tidak semua orang boleh dijadikan tempat rujukan. Carilah seseorang yang matang fikirannya dan ahli dalam sesuatu perkara. Senior usrah, ustaz mahupun sahabat yang matang boleh dijadikan tempat untuk dirujuk.

Kawan-kawan yang kurang matang percakapan dan pemikirannya kadang-kadang boleh mempengaruhi keputusan yang bakal dilakukan dan dianggap tidak serius dalam memberikan pandangan.

#3 – Rujuklah Bahan Bacaan

Membaca sebenarnya banyak manfaat dan boleh membantu kita dalam segenap aspek. Untuk membuat keputusan yang tepat, lakukanlah beberapa rujukan melalui internet, buku, majalah dan kajian-kajian lain.

Tidak rugi membaca, malah banyak manfaatnya. Sumber dari media sosial seperti perkongsian yang dilakukan di Instagram, Twitter mahupun facebook yang boleh dipercayai juga boleh dijadikan sumber rujukan.

Lakukanlah istisyarah setiap kali beristikharah. Ia merupakan pasangan yang beriringan. InsyaAllah, dengan izin Allah, kita akan berpuas hati dan merasa tenang dengan setiap keputusan yang telah dan bakal dilakukan.

Sumber Rujukan: muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Hafizah Ramli

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami