Ibadah

Bulan Syaaban, Pecutan Akhir Buat Wanita Untuk Qada’ Puasa

Oleh Marina  •  1 May 2017  •  3 min baca

Tidak lama lagi, kita akan memasuki bulan Syaaban. Selepas habis bulan Syaaban, kita akan menempuhi pula bulan Ramadan, iaitu bulan yang disyariatkan buat semua umat Islam untuk berpuasa.

Bagi kaum wanita, inilah masa-masa akhir yang patut diambil peluang untuk mengqada’ atau menggantikan puasa yang ditinggalkan ketika bulan Ramadan yang lepas atas sebab-sebab yang tertentu. Ini kerana, ia adalah suatu kewajipan yang patut dilaksanakan.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. Puasa itu adalah dalam beberapa hari tertentu. Maka, siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan lalu ia berbuka, wajib baginya menggantikan puasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.

Dan, wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (tidak terdaya kerana uzur syarie) wajib ke atas mereka membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada fakir miskin. Siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu adalah lebih baik baginya dan berpuasa itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”(Surah al-Baqarah : 183-184)

Berikut adalah golongan wanita yang diberikan keringanan untuk meninggalkan kewajipan berpuasa ketika bulan Ramadan;

#1 – Wanita yang sedang haid atau nifas.

#2 – Wanita yang sakit sama ada mempunyai harapan untuk sembuh atau tidak.

#3 – Wanita yang sedang bermusafir ketika bulan Ramadan.

#4 – Wanita yang terlalu lapar dan dahaga. Jika dia tidak berbuka akan memudaratkannya.

#5 – Ibu yang menyusukan anak dan bimbang akan kesihatan dirinya sahaja atau diri berserta anaknya.

#6 – Wanita hamil yang khuatir akan kesihatan dirinya sahaja atau diri berserta anaknya.

#7 – Wanita tua yang sangat uzur.

#8 – Wanita yang mengalami penyakit kritikal dan tidak ada harapan untuk sembuh.

#9 – Wanita yang tidak mampu berpuasa kerana terpaksa bekerja berat setiap hari bagi menyara kehidupan sendiri.

Wanita yang termasuk dalam kelompok ini diharuskan berbuka dan wajib menggantikan puasa pada hari yang lain. Namun begitu, dalam situasi tertentu, ada juga golongan wanita ini diberikan keringanan lain iaitu dengan hanya membayar fidyah; iaitu pemberian sedekah kepada fakir miskin mengikut bilangan hari yang ditinggalkan, seperti golongan wanita pada nombor 7, 8 dan 9.

Adapun, bagi wanita yang perlu menggantikan puasa, mereka perlulah melaksanakannya sebelum tiba bulan Ramadan pada tahun berikutnya. Mereka diberikan pilihan sama ada ingin menggantikannya secara berturut-turut atau berselang-seli, asalkan puasa tersebut bukannya dilakukan pada hari-hari yang diharamkan berpuasa.

Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, puasa ganti itu perlu dibawa ke tahun berikutnya dengan dikenakan denda fidyah gandaan bagi setiap tahun yang ditinggalkannya.

Kadar fidyah itu pula bergantung pada setiap negeri dan ada juga negeri yang tidak mengenakan fidyah gandaan seperti Selangor.

Apapun, cuba ingat kembali, berapakah bilangan hari yang telah ditinggalkan pada Ramadan yang lepas dan adakah kita telah menggantikannya atau belum. Jika belum, bertindaklah segera. Usah melengah-lengahkan kewajipan ini kerana ia adalah satu perintah dari Allah SWT yang termaktub dalam kitabullah. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami