Ulasan Buku

Buku ‘Panduan Muslim Sehari-Hari’ – 5 Hikmah Tersirat Berpuasa

Oleh Fizah Lee  •  20 May 2020  •  4 min baca

Berpuasa merupakan rukun Islam yang keempat. Setiap umat Islam yang cukup syarat adalah diwajibkan untuk menunaikan puasa, sama seperti anda diwajibkan untuk solat lima waktu sehari semalam.

Kita mengetahui maksud puasa adalah dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Namun, hakikat yang sebenarnya adalah lebih lagi daripada itu.

Puasa yang sebenar adalah untuk melatih diri kita untuk menjadi seorang hamba yang bertaqwa dan lebih sabar. Sabar dalam menghadapi ujian dan sabar daripada melakukan dosa.

Disebabkan itu, bulan Ramadan dikenali sebagai madrasah buat umat Islam untuk menjadi lebih baik sama ada dengan memperbaiki kekurangan diri dan juga menambah amalan-amalan kebaikan.

Semoga, apabila keluarnya seseorang muslim daripada Madrasah Ramadan ini, mereka akan menjadi mukmin yang lebih baik daripada semalam.

Melalui buku yang ditulis oleh Dr. KH. M. Hamdan Rasyid, MA dan juga Ustaz Saiful Hadi El-Sutra, mereka ada mengulas dengan lebih terperinci apa sebenarnya hakikat puasa yang akan diperoleh oleh seseorang muslim. Antaranya ialah;

#1 – Puasa Sebagai Terapi JIwa

Mengapa ia dikatakan sebagai terapi jiwa? Selalunya kita dengar puasa sebagai kesihatan diri dan jasmani. Namun, kali ini ia ada mengulas mengenai terapi jiwa.

Hal ini kerana dengan berpuasa, ia dapat menambah kemampuan seseorang mengawal hawa nafsu dan keinginan diri sendiri daripada sesuatu perkara.

Bayangkan, di siang hari ketika anda berpuasa – anda tidak dapat makan atau minum dan perlu menahan lapar dan dahaga. Begitu juga, suami isteri tidak boleh melakukan hubungan badan. Semuanya perlu dikawal. Jika tidak, puasa anda akan terbatal.

Maksud: “Puasa itu benteng. Jika kalian semua berpuasa, hendaklah tidak berkata keji dan berteriak. Jika dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaknya ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Justeru, dalam 29 hari manusia berpuasa dalam Madrasah Ramadan, ia sepatutnya menjadi salah satu titik tolak untuk melatih hawa nafsu dan diri sendiri agar mampu menjadi yang terbaik.

#2 – Untuk Pembentukan Peribadi Yang Amanah

Amanah atau seerti dengan setia, lurus dan jujur merupakan salah satu sikap mahmudah yang ada pada peribadi Rasulullah SAW sehinggakan Baginda disenangi ramai orang Arab dalam perniagaannya.

Baginda berjaya mendapatkan kepercayaan golongan Arab ketika itu sehinggakan Siti Khadijah juga tertarik kepada Baginda.

Mengapa puasa dikatakan dapat melatih diri seseorang muslim untuk lebih bersikap amanah? Hal ini kerana, dengan berpuasa, anda tidak dapat makan atau minum.

Walaupun tiada orang yang melihat, semuanya bergantung kepada diri anda. Jika anda makan secara senyap-senyap, puasa anda yang akan batal.

Namun, jika anda berjaya menahan nafsu tersebut, maka anda sudah berjaya membuktikan bahawa anda seorang yang amanah dengan diri sendiri.

Amanah ini perkara yang sangat besar. Kita lihat dunia hari ini. Berapa ramai manusia yang terkesan akibat mereka yang tidak menjalankan amanah dengan baik atau yang melakukan pecah amanah.

Disebabkan itu, ia perlu dilatih sedikit demi sedikit dalam Madrasah Ramadan ini agar muslim yang keluar daripada madrasah ini mampu menjadi seorang yang menjaga amanah dengan baik.

#3 – Membentuk Peribadi Yang Bertaqwa

Seperti yang Allah telah nyatakan melalui kalamNya, salah satu tujuan berpuasa adalah untuk menjadikan manusia itu bertaqwa.

Taqwa dengan mendekatkan diri kepada Allah dan mengelakkan daripada melakukan maksiat, ia adalah untuk menjadikan anda seorang mukmin yang sejati.

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, 2:183)

#4 – Sebagai Penghapus Dosa

Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu dan yang terakhir akan diampuni Allah.” (Hadis Riwayat al-Khatib)

#5 – Menjadikan Manusia Lebih Berani Dan Yakin

Dalam bulan Ramadan, umat Islam bukan sahaja dituntut untuk berpuasa, bahkan terdapat beberapa lagi amalan sunat dan wajib yang perlu dilakukan.

Antaranya ialah kewajipan mengeluarkan zakat fitrah, sunnah bersedekah dan melaksanakan solat sunat Tarawih serta banyak lagi.

Orang yang menghayati nilai puasa, maka ia tidak akan takut untuk menghadapi kesempitan hidup, bahkan akan sanggup berkorban demi membantu orang lain.

Dari awal kita sudah tahu bahawa hikmah puasa adalah untuk mengajar diri kita supaya berkorban dengan meninggalkan makan dan minum di siang hari. Maka, ia adalah perkara yang sama supaya manusia berani dan yakin untuk memberi dan melakukan amal ibadah lain.

Tidak takut untuk bersedekah, yakin dengan rezeki yang Allah akan berikan apabila kita memilih untuk mengeluarkan zakat dan banyak lagi hikmah lain merupakan salah satu asbab kita diajar berpuasa.

Kesimpulan

Kita sering melihat hikmah puasa daripada mata kasar sahaja. Apa kata, kali ini kita melihat hakikat yang sebenarnya dalam berpuasa melalui mata hati kita sendiri.

Setiap amal ibadah yang kita lakukan mempunyai maksud yang tersurat dan tersiratnya yang tersendiri. Menjadi tugas kita untuk menghayatinya agar dapat menggapai makna sebenar di sebaliknya.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Buku Panduan Muslim Sehari-Hari – Dari Lahir Sampai Mati oleh Dr. KH. M. Hamdan Rasyid, MA & Ustaz Saiful HAdi El-Sutha Bab Puasa

Sumber Gambar – Coursera


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami