Hukum, Wanita

Bolehkah Wanita Membaca Khutbah Hari Raya

Oleh Fizah Lee  •  21 May 2020  •  2 min baca

Solat sunat hari raya adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut dilakukan kerana Baginda SAW tidak pernah meninggalkannya sejak ia mula-mula disyariatkan sehingga Baginda SAW wafat.

Hukum membaca khutbah hari raya pula adalah sunat. Menurut Imam As-Syaukani – “Aku tidak menemui sebarang pandangan mewajibkannya.”

Justeru, sah solat sunat hari raya walaupun ia dilakukan tanpa khutbah. Namun, menurut Mazhab Syafi’e, hukumnya adalah makruh – “Seorang yang menghadiri solat sunat hari raya tetapi tidak mendengar khutbah hari raya atau bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan atau meninggalkan majlis tanpa menunggu khutbah.”

Apabila ditatal di laman-laman sosial, ramai dalam kalangan kaum Adam yang sudah mempersiapkan diri untuk membaca khutbah hari raya.

Disebabkan sambutan hari raya tahun ini sedikit berbeza dek wabak COVID-19 ini, solat sunat hari raya Aidilfitri perlulah dilakukan di rumah. Begitu juga dengan bacaan khutbah.

Walaupun hukumnya adalah sunat, namun tidak salah untuk mencuba. Bukan mudah untuk mendapat peluang membaca khutbah hari raya, bukan?

Namun begitu, timbul persoalan terhadap kaum wanita yang tinggal berjauhan daripada keluarga dan terpaksa beraya bersama-sama kawan serumah mereka – adakah mereka boleh membaca khutbah sama seperti kaum lelaki?

Wanita yang tidak dapat pulang beraya bersama kaum keluarga dan terpaksa menyambutnya di perantauan bersama teman-temannya yang lain boleh melakukan solat sunat hari raya sesama mereka. Hukumnya adalah sunat.

Berkaitan dengan bacaan khutbah oleh wanita, tidak disunatkan ke atas mereka untuk membacanya. Hal ini ada diterangkan melalui kitab Busyra al-Karim;

(ثم) إذا أتم الصلاة .. (خطب) ندباً ولو لاثنين .. ولو مسافرين وإن خرج الوقت، وصلوا فرادى لا لواحد ولا لجماعة النساء إلا أن يخطب لهن ذكر

Maksud: “Kemudian, apabila selesai menunaikan solat hari raya, maka sunat dilakukan khutbah walaupun hanya untuk dua orang dan walaupun untuk musafir yang solat dalam perjalanan dan walaupun waktunya sudah tamat. Walaupun mereka solat bersendirian (tidak berjemaah). Namun, tidak sunat berkhutbah apabila solat bersendirian. Tidak juga disunatkan ke atas jemaah wanita melainkan khutbah itu dilakukan oleh lelaki.” (Busyra al-Karim, 246, Darul Minhaj)

Jumhur ulama juga berpendapat bahawa tidak disunatkan ke atas jemaah wanita untuk membaca khutbah sesama mereka.

Adapun, jika mereka ingin membaca tazkirah ringkas sebagai menggantikan khutbah tersebut, itu adalah dibolehkan.

Mereka juga boleh memasang khutbah melalui kaca-kaca televisyen atau radio yang disediakan pada pagi hari raya selepas menunaikan solat sunat.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Ustaz Hazri Hashim Al-Bindany


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami