Ibadah, Wanita

Bolehkah Menziarahi Orang Sakit Yang Berlainan Jantina

Oleh Fizah Lee  •  7 Apr 2020  •  3 min baca

Setiap hari kita dikhabarkan dengan berita orang yang sakit. Sama ada sakit itu adalah penyakit yang kecil ataupun yang besar sehingga seseorang itu terlantar di hospital, ia adalah ujian yang diturunkan Allah kepadanya.

Apabila mendengar perkhabaran ini, seseorang itu perlu mengucapkan lafaz istirja’, iaitu Inna lillahi wa innaa ilaihi raaji’un. Ia merupakan kalimah tauhid dan pengakuan kita sebagai hamba terhadap kekuasaan Allah.

Adapun, menziarahi mereka yang sakit adalah sunnah yang perlu dilakukan dan dikira telah menjalankan hak ke atas muslim tersebut.

Maksud: “Hak seorang Islam ke atas seorang Islam yang lain ada enam. Sahabat bertanya: “Apakah perkara tersebut wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam. Apabila dia menjemput kamu, maka terimalah jemputan tersebut. Apabila dia meminta nasihat, maka berilah kepadanya nasihat. Apabila dia bersin, maka ucapkanlah rahmat ke atasnya. Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia dan apabila dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya sehingga ke kuburnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2162)

Walau bagaimanapun, adakah dibolehkan untuk berlainan jantina melawat rakan mereka yang sedang sakit? Dalam hal ini, terdapat beberapa situasi yang boleh menyebabkan timbulnya persoalan berkenaan hukum untuk menziarahi mereka yang berlainan jantina. Antaranya adalah disebabkan oleh faktor yang boleh mendatangkan fitnah.

Berdasarkan beberapa dalil yang pernah berlaku pada zaman Baginda SAW, terdapat kisah-kisah yang menunjukkan wanita yang pernah menziarahi lelaki yang sakit dan juga Baginda SAW sendiri yang pernah menziarah wanita yang sakit.

Imam Bukhari melalui kitabnya Al-Mardha menyebut – “Sesungguhnya Ummu Darda’ telah menziarahi seorang lelaki Ansar daripada ahli masjid yang sakit.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5654)

Abu Daud meriwayatkan daripada Ummu ‘Ala – “Rasulullah SAW telah menziarahiku ketika aku sedang sakit dan Baginda berkata, “Bergembiralah wahai Ummu ‘Ala.” (Imam Abu Daud, Kitab Al-Janaiz)

Menerusi pendapat jumhur ulama seperti dari kalangan Mazhab Syafi’e dan Imam Nawawi, mereka bersepakat bahawa dibolehkan untuk mereka yang berlainan jantina menziarahi kawan atau saudara mereka yang sakit. Hukumnya harus jika si pelawat mengikuti adab dan syarak yang diajar.

Adalah lebih baik jika lawatan itu dilakukan secara berkumpulan atau sekurang-kurangnya melebihi dua orang. Hal ini adalah untuk mengelakkan fitnah dan juga menjaga kehormatan kedua-dua pihak. Bawalah teman untuk menemani anda seperti rakan sejawat yang lain atau adik-beradik sendiri.

Dalam masa yang sama, wanita juga perlu mengikut syarak yang ditetapkan seperti memakai pakaian dan perhiasan yang tidak keterlaluan.

Tuntasnya, dapat kita lihat di sini bahawa tidak menjadi suatu kesalahan untuk melawat kenalan yang sakit dan yang berlainan jantina bagi menunaikan hak-hak ke atas sesama muslim. Namun, ia perlu dilakukan dengan mengikut syarak dan adab-adab yang telah ditekankan.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami