Hukum

Bolehkah Menyebarkan Jika Mengetahui Lailatul Qadar Sudah Berlaku

Oleh Fieyzah Lee  •  22 May 2020  •  3 min baca

Kenapa setiap perkara dalam kehidupan kita ini penuh dengan rahsia? Bilakah tarikh kita akan mati, dengan siapakah kita akan berkahwin, bagaimana dengan rezeki kita pada masa depan dan pelbagai lagi.

Bayangkan, jika semuanya tidak dijadikan rahsia dan sudah diberitahu siap-siap, kehidupan manusia ini sudah tidak seronok lagi dan yang paling menyedihkan ialah, mereka akan menghadapi hari-hari mereka dengan penuh sambil lewa.

Sudah tahu akan meninggal pada umur 30 tahun. Jadi, sebelum umur itu manusia akan berfoya-foya terlebih dahulu dan menghabiskan sisa hidupnya untuk dunia semata-mata. Apabila sudah menginjak ke umur 29 atau 30 tahun, barulah mereka akan bertaubat dan beribadah dengan sepenuh hati.

Kan rugi kalau kehidupan itu dijadikan sedemikian rupa. Banyak perkara yang telah Allah berikan tip dan panduan kepada manusia. Sebagai contoh, bagaimana untuk meraih syurga, bagaimana untuk menjadi anak yang soleh dan banyak lagi. Itupun, masih ramai yang memandangnya sambil lewa dan ada juga yang mengingkarinya.

Sama juga dengan rahsia disembunyikan malam al-Qadar. Ia adalah untuk memberikan semangat dan pendorong kepada manusia untuk mencarinya, bukan menunggu tarikh ia hadir.

Adapun, apabila berbicara mengenai malam al-Qadar, ramai yang sudah sedia tahu akan tanda-tanda dan bila ia dijangka berlaku.

Melalui dalil-dalil yang dinyatakan, ia berlaku pada sepuluh malam akhir Ramadan dan ada yang menyebut ia berlaku pada malam-malam ganjil daripada 10 malam akhir tersebut.

Sebahagian ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan tanda-tandanya yang mungkin boleh dilihat dan dirasai oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkan bertemunya. Antaranya;

Ubadah bin Al-Somit RA berkata – “Sesungguhnya malam tersebut bersih dan terang seolah-olah bulan yang menerangi tenang. Nyaman dan tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiada tempat bagi bintang untuk melihatnya hingga ke pagi.

Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.” (Umdah al-Qari, 11/134)

Namun, buat mereka yang bertuah dan diberi keizinan oleh Allah untuk berjumpa dengan Lailatul Qadar, adakah boleh bagi mereka memberitahu akan tarikh tersebut kepada orang lain?

Melalui hal ini, jumhur ulama ada menjelaskan melalui beberapa perbahasan dan menyebut bahawa sunat bagi seseorang yang mengetahui malam tersebut adalah Lailatul Qadar untuk menyembunyikannya.

Dalam Al-Halabiyyat, Imam al-Subki telah mengeluarkan hukum bahawa menyembunyikan perkhabaran Lailatul Qadar adalah sunat.

Dalilnya adalah Allah SWT telah mentaqdirkan kepada nabinya untuk tidak memberitahu akan hal ini.

Imam Ibnu Hajar juga ada menukilkan melalui kitab beliau yang berbunyi;

“Bahawa ia merupakan karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam qadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Qadar) dan memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat. Lebih besar daripada itu akan berlaku riak kepada ahli Tariq. Dari segi adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah, iaitu pertemuan malam Qadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad.”

Kesimpulan

Kita sering melihat dalil mengenai tanda-tanda Lailatul Qadar dan tips yang Baginda SAW tinggalkan untuk mencarinya pada 10 malam akhir Ramadan.

Namun, tiada dalil yang sahih yang menceritakan tarikh tepat berlakunya malam Qadar oleh Baginda. Hal ini adalah bagi menjaga amal ibadah umat Islam dan para sahabat agar nikmat beribadahnya tidak luntur.

Justeru, dapat kita faham di sini bahawa, hukum menyembunyikan malam Qadar adalah sunat bagi mengelakkan timbulnya hasad dengki daripada orang sekeliling dan juga untuk menjaga amal ibadah orang lain agar tidak luntur dalam meraikan hari-hari akhir Ramadan.

Boleh untuk menceritakan tanda-tanda yang dirasai atau dilihat, namun sebaiknya jangan diceritakan secara terperinci akan tarikh kejadiannya.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami