Ibadah

Bolehkah Menunaikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid Walaupun Telah Duduk

Oleh Natirah Azira  •  4 Dec 2019  •  2 min baca

Solat sunat tahiyatul masjid adalah solat sunat yang khusus dilakukan sebaik sahaja masuk ke dalam masjid. Solat ini ditunaikan bagi menghormati masjid sebagai tempat ibadah.

Pentingnya solat ini apabila sewaktu Rasulullah SAW menyampaikan khutbah pun, baginda menegur seorang lelaki yang masuk ke masjid tanpa menunaikan solat sunat tahiyatul masjid.

Diceritakan pada suatu hari (pada hari Jumaat), Sulaik Al-Ghatafani datang ke masjid dan pada ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Beliau masuk lalu terus duduk.

Rasulullah SAW lantas bersabda: “Wahai Sulaik, bangunlah dan solatlah dua rakaat serta segerakan solat tersebut. Setelah itu baginda bersabda lagi,

“Jika salah seorang dari kalian datang ke masjid pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.”

Namun, jika iqamah sudah dilaungkan, tidak ada lagi solat sunat yang boleh dilakukan melainkan solat fardhu.

Bagaimana pula jika seseorang masuk lalu terus duduk kerana terlupa menunaikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid? Beberapa ketika selepas itu, dia teringat semula. Adakah masih boleh menunaikannya?

Di sini disenaraikan beberapa keadaan yang berkaitan.

1. Jika terlupa dalam tempoh yang sekejap, kemudian ingat semula, maka masih boleh dilakukan solat sunat tahiyatul masjid.

2. Jika terlupa dalam tempoh yang lama, kira-kira dalam jangka masa boleh menunaikan solat lebih dari dua rakaat, maka sudah tidak boleh menunaikan solat sunat tahiyatul masjid.

3. Jika duduk kerana hendak minum, masih boleh menunaikan solat sunat tahiyatul masjid kerana minum secara berdiri dikira makruh. Ini merupakan pendapat Ibnu Hajar rahimahullah.

Secara kesimpulannya, solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah. Imam Nawawi menyebutkan bahawa para ulama bersepakat bahawa solat ini adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum melakukan solat dua rakaat. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/52)

Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami