Gaya Hidup, Hukum

Hati-Hati Bawa Rakan Yang Tidak Diundang Ke Majlis

Oleh Fieyzah Lee  •  12 Jul 2019  •  5 min baca

Walimatul urus bermaksud berkumpul atau berhimpun. Ia diambil daripada perkataan Arab, iaitu الولْم. Menurut kitab Al-Fekh al-Manhaji, ia merupakan majlis yang dilakukan untuk meraikan kedua pasangan suami isteri dan para tetamu yang berkumpul pada hari tersebut.

Walimatul urus akan dilakukan sebagai kenduri kesyukuran dan untuk mengumumkan perkahwinan yang telah dibina oleh kedua mempelai, sama ada di pihak lelaki atau perempuan.

Ada sesetengah ulama’, iaitu Imam Ahmad, Ibn Aqil dan sebahagian imam Mazhab Syafi’e mewajibkan walimah ini bagi memberitahu perkahwinan yang telah sah dan untuk mengelakkan daripada timbulnya fitnah. Namun, ada sesetengah ulama’ meletakkan hukum sunat muakkad.

أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ.

“Lakukanlah walimah meski dengan hanya menyembelih seekor kambing.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walimah ini perlulah dilakukan secara sederhana dan tidak membazir atau dengan tujuan menunjuk-nunjuk. Hal ini kerana, ia bimbang akan mengakibatkan kepada fitnah dan juga dilanda musibah lain seperti hutang dan sebagainya.

Kata pepatah Melayu – “ukur baju di badan sendiri”

Perkara paling penting dalam walimah ini ialah untuk mengumumkan perkahwinan dan juga memberi makan. Muslim yang ingin mengadakan walimah perlu diingat untuk tidak mengikut budaya yang bercanggah dengan hukum Islam dan keterlaluan.

Sebagai contoh, melakukan tarian yang tidak sopan, pengantin atau keluarganya memakai pakaian yang mencolok mata atau menghidangkan makanan serta minuman yang tidak halal.

Undangan juga perlu dilakukan secara adil dan tidak memilih sama ada untuk orang kaya sahaja atau untuk golongan berada. Sesiapa yang menerima undangan, wajib ke atasnya untuk menghadiri undangan tersebut.

Walau bagaimanapun, jika dirasakan tidak dapat menghadiri undangan, maka perlu menolak dengan cara yang baik agar tidak menyinggung mana-mana pihak.

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيْمَةِ، يُدْعَى إِلَيْهَا اْلأَغْنِيَاءُ ويُتْرَكُ الْمَسَاكِيْنُ، فَمَنْ لَمْ يَأْتِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللهَ وَرَسُوْلَهُ

Maksud: “Makanan paling buruk adalah makanan dalam walimah yang hanya mengundang orang-orang kaya sahaja untuk makan, sedangkan orang-orang miskin tidak diundang. Barangsiapa yang tidak menghadiri undangan walimah, maka ia telah derhaka kepada Allah dan RasulNya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, berdasarkan pendapat Imam Syafi’e dan beberapa orang jumhur ulama’, mereka mengatakan bahawa, tidak wajib menghadiri majlis yang di dalamnya terhidang minuman dan makanan yang haram serta hiburan yang melalaikan.

Manakala, hukum bagi menghadiri perkahwinan orang bukan Islam ialah sunat. Jika jemputan itu datang daripada keluarga atau jiran tetangga dan dirasakan dengan kehadiran kita mampu memberi manfaat kepada dakwah Islam, maka dibolehkan.

Walau bagaimanapun, jika dirasakan dengan kedatangan kita boleh mendatangkan fitnah, maka seeloknya dielakkan. Jika terdapat hidangan yang tidak halal, maka cukuplah sekadar datang untuk mengucapkan tahniah dan memenuhi undangan tersebut.

Makan Di Dalam Walimah Yang Tidak Dijemput

Walau bagaimanapun, baru-baru ini wujud satu isu yang menjadi perbualan hangat oleh rata-rata netizen di laman sosial mengenai hukum menghadiri undangan yang tidak dijemput.

Hal ini timbul apabila seorang yang dianggap pempengaruh di media sosial telah menceritakan kisahnya semasa mengendalikan majlis perkahwinannya sendiri.

Oleh itu, apakah hukum menghadiri walimah urus yang tidak diundang oleh tuan rumah? Adakah halal makanan yang telah dimakan? Bagaimana pula jika tidak halal, perlukah mengganti semula makanan tersebut?

Menurut pendapat jumhur ulama’ seperti Imam al-Baijuri RA dan Mazhab Syafi’e, haram hukumnya memakan dari kenduri yang tidak dijemput oleh tuan rumah. Walau bagaimanapun, jika dia mengetahui tuan rumah berniat sedekah terhadap makanan tersebut atau reda dengan kehadirannya, maka ia adalah tidak mengapa.

Menurut Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’, adab untuk menghadiri jamuan adalah dia hadir dengan tidak membawa kawan atau saudaranya yang tidak dijemput oleh tuan rumah.

Jika tuan rumah mengatakan kepada undangannya; “Panggillah dan jemputlah sesiapa yang kamu mahu atau sesiapa yang kamu temui”, maka adalah tidak mengapa untuk menjemput orang lain yang tidak diundang.

Secara jelasnya, sangat penting untuk mendapatkan keizinan dan kebenaran dari tuan punya majlis untuk hadir. Ia adalah kerana untuk memastikan agar makanan serta tempat yang disediakan mencukupi dan tidak akan memberi kesan kepada tetamu yang lain.

Hal ini juga ada diceritakan dalam sebuah kisah Nabi SAW yang telah diundang untuk makan di sebuah rumah sahabatnya dengan bilangan sahabat yang telah dinyatakan.

Walau bagaimanapun, bilangan yang datang adalah melebihi seorang, iaitu merupakan tetamu yang tidak mendapat undangan. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang ini ikut (datang) bersama kami, jadi terserahlah kepadamu, apakah engkau memberinya izin (untuk masuk) atau kalau engkau mahu, dia harus pulang.” Maka, tuan rumah itu menjawab: “Tidak, bahkan aku memberinya izin wahai Rasulullah SAW!” (Hadis Riwayat Muslim)

Jadi, bagaimana dengan keadaan mereka yang telah menghadiri walimah dan makan hidangan yang disediakan tanpa mendapat undangan daripada tuan rumah?

Jumhur ulama’ telah berpendapat bahawa, golongan ini perlu meminta maaf kepada tuan rumah. Jika tuan rumah menghendaki untuk membayar semula jumlah makanan yang telah dimakan, maka wajib ke atasnya untuk membuat pembayaran.

Hal ini kerana, mereka telah berpegang kepada sebuah hadis yang telah ditafsirkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani yang berpendapat bahawa, perkara yang dicuri perlu digantikan semula atau diminta untuk dihalalkan oleh pemiliknya.

Maksud: “Dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan dalam majlis, di mana orang yang seharusnya datang tidak diundang, sedangkan orang orang yang tidak diundang yang datang. Dan sesiapa yang tidak memenuhi suatu undangan, sesungguhnya dia derhaka kepada Allah dan rasulNya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Jika anda seorang yang menerima undangan perkahwinan, maka anda wajib untuk menghadirinya. Jika anda seorang yang memerlukan mahram atau teman ke sana, maka anda perlu meminta izin terlebih dahulu dengan tuan rumah sebelum membuat keputusan mengajak sesiapa sahaja ke majlis tanpa undangan.

Hal ini adalah untuk memudahkan atur cara majlis agar tidak diganggu dengan perkara yang tidak diingini seperti makanan yang tidak mencukupi atau tempat yang sempit.

Jika kita mengamalkan toleransi dan memikirkan situasi tuan rumah, pasti kita akan membuat keputusan yang baik tanpa memikirkan diri sendiri.

Wallahu a’lam.

Rujukan: Ustaz Muhammad Yusran Ansar: Hukum Hadir Walimah Tanpa Diundang


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami