Ibadah

Bolehkah Memotong Dan Mematahkan Tulang Binatang Aqiqah

Oleh Natirah Azira  •  13 Aug 2019  •  2 min baca

Aqiqah berasal daripada perkataan al-‘Aqqu (العق) dan dari segi bahasa, bererti potong. Menurut pendapat dan keterangan Imam ‘Ubaid, Asymui’ dan Zamakhsyari, aqiqah bermaksud rambut bayi ketika ia lahir. Ia dinamakan sedemikian kerana rambut tersebut akan dipotong.

Menurut istilah, ‘aqiqah bermaksud binatang yang disembelih sempena rambut bayi dicukur.

Terdapat sebuah hadis daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya” – (Riwayat Abu Daud, no. 2842)

Sabda Nabi SAW yang menyebutkan:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.

Binatang yang boleh disembelih untuk tujuan aqiqah ialah kambing, lembu, kerbau dan juga unta. Manakala seekor kambing boleh disamakan dengan satu daripada tujuh bahagian lembu atau unta. Maka, selain kambing, boleh juga diambil bahagian lembu korban untuk tujuan aqiqah.

Hikmah Menunaikan Aqiqah Serta Sunat Untuk Tidak Mematahkan Tulang

Imam Syafi’e berpandangan bahawa melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Kebanyakan daripada kita tahu bahawa daging binatang aqiqah yang disembelih sunat dimasak dahulu dengan masakan yang manis barulah dibahagi-bahagikan atau dijamu kepada orang ramai.

Namun ada perkara lain yang mungkin boleh diambil perhatian juga dalam pengurusan binatang aqiqah iaitu tulang bahagian binatang aqiqah sunat tidak dikerat-kerat. Seperti keterangan dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji (2/343), ia perlu dipotong pada sendi-sendinya sahaja.

Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, iaitu ketika Fatimah binti Muhammad SAW. mengadakan aqiqah anaknya, maka Rasulullah SAW. bersabda; “Makan dan jamulah seleramu tetapi janganlah kamu memecahkan tulangnya”.

Aqiqah boleh diibaratkan sebagai hak seorang anak daripada kedua orang tuanya. Jika tidak berpeluang uuntuk mengaqiqahkan anak dalam tempoh yang disarankan, maka aqiqah masih boleh dilakukan pada bila-bila masa.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami