Hukum

Bolehkah Masuk Islam Kerana Ingin Berkahwin Dengan Seorang Muslim

Oleh Natirah Azira  •  12 Feb 2020  •  2 min baca

Islam bermaksud keamanan dan kesejahteraan. Sesiapa sahaja dialu-alukan untuk mengenali dan memahami Islam. Ada yang jatuh cinta kepada Islam kerana mesej yang disampaikan melalui ayat-ayat Al-Quran, hadis dan cara hidup Nabi SAW. Ada yang sukakan Islam kerana amalan serta gaya hidup para penganutnya. Ada pula yang ingin masuk Islam kerana jatuh cinta kepada lelaki atau perempuan Muslim.

Persoalannya, adakah boleh jika masuk Islam kerana ingin berkahwin dengan seorang Muslim?

Kisah Keislaman Sahabat Pada Zaman Nabi SAW

Terdapat beberapa kisah pada zaman Rasulullah SAW yang mempunyai persamaan dengan isu di atas.

Diceritakan bahawa ibu kepada Anas bin Malik, Ummu Sulaim pernah dipinang oleh seorang lelaki bukan Islam yang bernama Abu Thalhah. Walau bagaimanapun, Ummu Sulaim tidak mahu kerana dia bukan seorang Islam. Setiap tawaran barang dan juga harta ditolaknya.

Kerana Abu Thalhah tetap ingin berkahwin dengannya, akhirnya Ummu Sulaim meletakkan syarat bahawa dia perlu masuk Islam, maka mahar yang diletakkan oleh Ummu Sulaim adalah keislaman Abu Thalhah sendiri.

Dalam hadis lain, Wahab bin Munabbih RA pernah bertanya kepada Jabir tentang bagaimana kaum Thaqif berbaiah semasa masuk Islam.

Lalu Jabir memberitahu bahawa mereka meletakkan syarat bahawa mereka tidak wajib membayar zakat dan tidak wajib berjihad. Namun Jabir mendengar bahawa Nabi SAW berkata, “Mereka akan membayar zakat dan berjihad apabila memeluk Islam”

Hal ini kerana, ketika itu mereka tidak perlu serta merta terlibat dengan kewajipan zakat dan jihad. Zakat perlu dibayar hanya apabila cukup tempoh tertentu (haul). Manakala kewajipan untuk berjihad pula ada apabila perintah berperang turun daripada Allah.

Hukum Masuk Islam Dengan Syarat

Justeru, menurut Imam Syaukani, keislaman seseorang itu sah sekalipun syarat yang diletakkan ketika masuk Islam itu tidak kukuh dan bukan kerana keazamannya ingin mengenali Islam. Contohnya kerana ingin berkahwin, kerana ingin mendapatkan perlindungan dan sebagainya.

Kita perlu memahami, bukan mudah untuk seseorang menukar agama, lebih-lebih lagi jika agama asal mereka telah dianuti selama berpuluh tahun, ditambah lagi dengan faktor penerimaan ibu bapa atau ahli keluarga.

Jika dipersoalkan niat mereka untuk masuk Islam dalam keadaan masih belum memahami, para sahabat pada zaman nabi juga masuk Islam dalam keadaan tidak sepenuhnya memahami. Apa yang penting adalah keinginan serta hati mereka yang terbuka untuk sentiasa belajar.

Seorang bakal suami atau isteri yang sudah Islam juga tidak patut melepaskan tanggungjawab dalam memberi tunjuk ajar tentang Islam, atau setidak-tidaknya mereka perlu diberitahu tentang kewujudan pusat agama atau pihak-pihak yang boleh membantu.

Rujukan:

Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami