Hukum

Bolehkah Makan Makanan Yang Dimasak Bukan Islam

Oleh Fieyzah Lee  •  13 Jan 2020  •  3 min baca

Makanan yang akan masuk ke dalam badan kita menjadi darah daging yang akan mengalir dalam diri dan itulah yang akan tumbuh sehingga mempengaruhi hati manusia.

Saya teringat akan pesanan dan nasihat yang pernah diberikan oleh seorang ulama – Jika ingin makan sesuatu, adalah lebih baik untuk menjaga dan mengetahui sumber makanan tersebut dan siapa yang memasaknya.

Malah, sebelum ini juga tular mengenai isu masakan yang dimasak oleh golongan bukan Islam dan ramai yang memberikan pendapat bahawa ia tidak boleh dimakan kerana perlu menjaga status makanan tersebut.

Tambahnya lagi, bukan bahan yang digunakan untuk memasak sahaja yang mempengaruhi halal atau tidak makanan tersebut, malah tukang masak juga boleh merubah statusnya.

Dari sisi lain juga, ramai yang mengatakan bahawa, perlu dilihat sama ada tukang masak tersebut menutup aurat dengan sempurna atau tidak, adakah dia seorang pelaku maksiat atau tidak, malah jika diketahui tentang keburukannya maka perlu dielakkan daripada membelinya.

Isu ini bukanlah sebuah isu yang baru malah sudah menjadi permasalahan sehingga ke hari ini. Jadi, entri kali ini akan menghuraikan apakah hukum sebenarnya memakan makanan yang dimasak oleh bukan Islam dan juga pelaku maksiat.

Boleh Dimakan Selagi Halal

Menurut tafsir al-Thabari yang dinukilkan oleh Ibn Jarir al-Thabari (3/300) berkata – “Makanlah daripada makanan yang halal dan baik, iaitu makanan yang suci dan bersih dari najis serta keharaman yang telah dinyatakan.”

Banyak lagi dalil sama ada melalui kalam Allah dan juga kata-kata Baginda SAW yang menyebut mengenai kewajipan manusia untuk mencari makanan yang halal dan sihat kepada diri sendiri.

Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada jumhur ulama yang menyebut bahawa selagi bahan makanan yang digunakan itu halal dan tidak bercampur dengan yang haram, tempat dan tukang masaknya bersih serta menjaga khasiat makanan tersebut, maka adalah dibenarkan dan halal untuk dimakan.

Ini adalah berdasarkan beberapa dalil yang dikemukakan termasuklah daripada Imam Al-Qurtubi RA:

وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ

Maksud: “Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan golongan penyembah berhala, orang majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar selama mana ia (makanan) bukan dari sembelihan mereka.” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (6/77)

Maka, memakan makanan daripada bukan Islam adalah dihalalkan kecuali sembelihan mereka (jika tidak dilakukan dengan cara yang betul).

Begitu juga jika anda melihat seseorang itu tidak menutup aurat dengan sempurna atau merupakan orang yang fasiq, maka masakannya halal selagi mana menepati syarak dan halal.

Walau bagaimanapun, jika anda seorang yang memilih dan betul-betul menjaga (warak dan menjaga keperibadian diri), maka tiada masalah jika anda memilih untuk meninggalkannya.

Namun, perlu diingat bahawa anda tidak boleh melarang orang lain daripada berbuat demikian bagi mengelakkan fitnah dan salah faham terhadap peniaga dan makanan tersebut. Selagi mana tempatnya bersih, sumber juga tidak diragui dan menepati garis panduan yang telah ditetapkan oleh jabatan agama, maka ianya dibolehkan.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami