Gaya Hidup

Bolehkah Bertemu Dengan Orang Yang Telah Meninggal Dunia Dalam Mimpi

Oleh Natirah Azira  •  16 Oct 2019  •  4 min baca

Setiap orang pasti pernah bermimpi sama ada bermimpi pergi ke tempat-tempat yang pernah dikunjungi, tempat-tempat pelik, bertemu kenalan lama, kenalan sekarang mahupun mimpi bertemu orang yang telah meninggal dunia.

Tapi kata orang mimpi adalah mainan tidur. Sejauh mana apa yang kita mimpikan boleh dipercayai?

Menurut para ulama, tidak semua mimpi adalah mainan tidur. Mimpi yang benar juga boleh berlaku kepada Nabi dan Rasul serta orang soleh yang dipilih oleh Allah.

Menurut hadis riwayat Bukhari, mimpi boleh dibahagikan kepada tiga jenis.

الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ حَدِيثُ النَّفْسِ ، وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ ، وَبُشْرَى مِنَ اللَّهِ

“Mimpi itu ada tiga macam: bisikan hati, ditakuti syaitan, dan khabar gembira dari Allah.” (HR. Bukhari – 7017)

Boleh Bermimpi Bertemu Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Kadang kala, kita boleh bertemu dengan orang yang telah meninggal dunia dalam mimpi. Pendapat ini wujud berdasarkan firman Allah dalam Quran.

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)”
(Surah Al-Zumar 39:42)

Beberapa orang ahli tafsir telah mengemukakan pendapat berkenaan ayat di atas. Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya ‘Al-Ruh’ mengatakan bahawa roh yang ditahan adalah roh orang yang meninggal. Mereka tidak dibenarkan kembali ke jasadnya di dunia, sedangkan roh yang dilepaskan kembali ke dalam badan adalah roh orang tidur yang masih belum meninggal.

Ibn Abbas R.Anhuma pula menjelaskan tafsir ayat tersebut sebagaimana berikut:

إِنَّ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ وَالْأَمْوَاتِ تَلْتَقِي فِي الْمَنَامِ فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ مِنْهَا، فَإِذَا أَرَادَ جَمِيعُهَا الرُّجُوعَ إِلَى الْأَجْسَادِ أَمْسَكَ اللَّهُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ عِنْدَهُ، وَأَرْسَلَ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِلَى أَجْسَادِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya roh orang yang hidup dan roh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan roh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan roh orang yang masih hidup ke jasadnya. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, 21/298; al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/260; Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 4/56 dan Zad al-Masir oleh Ibn al-Jauzi 4/20)

Said bin Jubair Rahimahullah pula berkata:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبِضُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ إِذَا مَاتُوا، وَأَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِذَا نَامُوا، فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَتَعَارَفَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menahan roh-roh orang mati apabila mereka mati dan roh-roh orang hidup apabila mereka tidur. Mereka akan bertemu dan berkenalan mengikut kehendak Allah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/260)

Kisah Sahabat Bertemu Tsabit Bin Qais Dalam Mimpi

Hal ini juga berlaku kepada seorang sahabat yang bernama Tsabit bin Qais yang terbunuh dalam Perang Yamamah. Ketika perang itu, Tsabit membawa baju besi yang bagus dan mahal harganya. Ketika seorang lelaki melewati jenazahnya, dia telah mengambil baju besi milik Tsabit.

Setelah kejadian itu berlalu, ada seorang Muslim yang lain telah bermimpi bertemu Tsabit. Di dalam mimpi tersebut, Tsabit telah menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya – bahawa ada seorang lelaki yang telah mencuri baju besinya.

“Aku menyampaikan wasiat kepadamu. Janganlah engkau mengatakan bahawa ini hanyalah sekadar mimpi lalu engkau melalaikannya begitu sahaja. Waktu aku terbunuh, ada seorang Muslim yang lalu dekat denganku dan mengambil baju besiku. Posisi orang itu ada di bahagian hujung pasukan. Di dalam khemah orang itu ada seekor kuda yang digembalakan dan diikat dengan tali. Orang itu menyimpan baju di dalam periuk dari batu dan periuk itu diduduki oleh seseorang.

Temuilah Khalid dan suruhlah ia untuk mengambil baju perangku itu! Jika engkau sudah kembali ke Madinah dan menghadap kepada Khalifah Rasulullah, Abu Bakar As Siddiq, katakanlah kepadanya bahawa aku masih mempunyai hutang sekian dan sekian. Fulan yang sebelumnya sebagai budakku statusnya menjadi merdeka, begitu juga dengan si fulan.”

Orang yang bermimpi berjumpa dengan Tsabit kemudiannya menyampaikan pesan yang didengarnya melalui mimpi kepada Khalid bin Walid. Baju besi tersebut juga diperoleh kembali dengan mengikut arahan lokasi seperti dalam mimpi lalu diserahkan kepada Abu Bakar. Abu Bakar turut menunaikan wasiat Tsabit sambil berkata: “Kami tidak mengenal seorang pun yang wasiatnya dilaksanakan setelah ia meninggal dunia selain Tsabit bin Qais.” Demikian cerita yang disebutkan oleh Abu Amr.

Kesimpulan

Justeru, ada mimpi yang boleh dipercayai. Tidak mustahil bagi Allah untuk menghadirkan roh orang yang telah meninggal dunia ke dalam mimpi orang yang masih hidup. Yang kita ketahui ini pasti sedikit sahaja daripada rahsia mimpi yang disimpan oleh Allah. Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mengetahui hikmah di sebalik sesuatu yang terjadi. Wallahua’lam.

Rujukan: Kitab Hakikat Ruh Oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami