Gaya Hidup

Bolehkah Anda Menjadi Awet Muda Dengan Hanya Berjalan Kaki?

Oleh Saodah Lasim  •  22 Nov 2017  •  5 min baca

Sesiapa sahaja yang mengenali saya sejak kecil, memang mengetahui saya tidak akan terlibat dengan aktiviti fizikal walaupun hanya berjalan kaki.

Kalau berlari, saya corot. Kalau bermain bola jaring, saya akan lari daripada bola.

Kalau terpaksa bermain hoki kerana pemain tidak datang, saya lebih suka menjadi penjaga gol, itupun hanya mampu bertahan selama lima minit kerana saya takut kepada bola hoki, kayu hoki dan para pemain!

Pendek kata, perkataan bersenam tiada dalam kamus hidup saya.

Sehinggalah pada suatu hari, saya menonton tv dan terlihat seorang nyonya yang menyertai maraton.

Saya jangkakan dia berumur di penghujung 50-an atau awal 60-an; tetapi rupa-rupanya umurnya ialah di awal 70-an! Saya kagum!

Ya, saya kagum, dan hidup saya berterusan seperti biasa. Pada suatu hari, saya bangun dari tidur dengan kesakitan di seluruh tapak kaki. Sakit untuk memijak lantai.

Tapak kaki rasa pedih. Seksa itu saya tanggung selama hampir setahun. Saya sukar hendak bekerja, sukar hendak berjalan dan sentiasa mahu duduk. Apatah lagi mahu menunaikan solat, sakitnya hanya Allah yang tahu.

Apapun, kehidupan saya berjalan seperti biasa sehinggalah pada suatu pagi saya dapati buku lali saya bengkak.

Kata doktor (tanpa memeriksa lebih lanjut kerana saya hanya mahu meminta cuti sakit), itu adalah ciri-ciri penyakit gout. Kata-katanya umpama racun di hati saya.

“Buku lali bengkak. Sakit tapak kaki. Selalu ketinggalan kalau berjalan dengan keluarga. Perasaan rendah diri. Argh…!”

Saya mula mencari penawar iaitu penawar semulajadi kerana saya tidak mampu hendak mendapatkan rawatan.

Penawar yang sering saya temui dalam carian di internet untuk mengatasi masalah yang saya hadapi adalah bersenam. Bersenam? Bolehkah saya?

Untuk itu, saya memilih aktiviti berjalan kaki. Jadi, bagaimanakah berjalan kaki menjadi salah satu jenis senaman yang dapat menolong seseorang untuk awet muda?

#1 – Awet Muda Itu Bonus

Soalnya di sini, tubuh badan yang sihat dan selesa agar kita dapat beribadah mengesakan Ilahi dengan lebih selesa fizikal dan mental.

#2 – Menghadirkan Perasaan Gembira

Kajian mendapati aktiviti bersenam yang dilakukan secara berterusan akan mengurangkan kemurungan, kemarahan atau baran di dalam diri seseorang.

Berjalan kaki akan menggembirakan hati kita kerana aktiviti berjalan kaki iaitu sejenis senaman ini merembeskan hormon endorfin.

Apabila hos rancangan Biggest Looser bercakap-cakap tentang endorfin, saya berasa pelik. Tubuh manusia ada endorfin? Ya, betul. Apa itu endorfin?

Benda pelik ini ialah satu hormon yang memberikan rasa bahagia kepada tubuh seseorang. Apabila seseorang bahagia, dia akan tersenyum, ketawa, tidak mudah marah, tenang dan tidak mudah melatah.

Sudah tentu, ada banyak lagi ciri-ciri bahagia yang Tuhan berikan kepada manusia tanpa saya senaraikan semuanya di sini.

Apapun, perkara-perkara di atas, penting untuk awet muda tu!

Pengeluaran endorfin perlu dirangsang. Antara jalan termudah adalah dengan bersenam.

#3 – Menghadirkan Rasa Ketenangan

Selain daripada itu, bagi individu yang berasa sukar hendak menyelesaikan sesuatu masalah, mereka digalakkan berjalan.

Ini kerana aktiviti ini merupakan pemangkin untuk seseorang bertenang dan hasilnya dapat berfikir secara lebih kreatif.

#4 – Pembakaran Kalori

Apa yang pasti, tubuh anda akan membakar kalori, ukuran pinggang dan pinggul anda akan mengecil juga kaki anda akan terbentuk dengan lebih cantik.

Tubuh anda akan menjauhi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan lebihan kalori dan kolesterol.

#5 – Menjadi Individu Yang Berdisiplin Tinggi

Apabila anda sudah menjadikan aktiviti ini rutin iaitu anda melakukannya secara istiqamah, anda akan menjadi individu yang bermatlamat dan berdisiplin.

Anda tidak pernah terlewat untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam. Bukankah semua itu menyumbangkan kepada… awet muda?

Muda bermaksud bertenaga, berdikari dan dapat berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dengan lebih selesa. Apatah lagi kemudaan yang didapati dengan jalan bersusah payah (bersenam).

Tip Berjalan Kaki Yang Betul

Jadi, bagaimanakah seseorang itu harus berjalan kaki agar mendapat impak yang dikehendaki? Mudah saja.

#1- Tubuh yang tegak, mata yang memandang ke hadapan. Kedudukan bahu, leher dan tulang belakang dalam keadaan rehat dan bertenang.

#2- Pastikan perut ditarik ke dalam. Hayunkan tangan dengan siku yang dibengkokkan sedikit saat melangkah. Seterusnya, melangkahlah dengan tenang.

#3- Hayunkan tangan dengan lebih bersemangat untuk meningkatkan kadar degupan jantung. Dengan cara ini, jantung juga melakukan senaman.

#4- Pastikan anda minum air secukupnya ketika dan selepas bersenam untuk menggantikan air dalam tubuh yang keluar melalui proses perpeluhan.

#5- Apabila bersenam, seringkali kita diingatkan agar memulakan dengan pemanasan badan dahulu. Pentingkah aktiviti pemanasan badan ini?

Sudah semestinya kerana kita perlu memanaskan badan untuk menyediakan anggota dalaman dan luaran tubuh kepada aktiviti fizikal.

Panaskan badan kira-kira 10 minit dengan berjalan perlahan-lahan. Selepas itu bolehlah memulakan aktiviti berjalan kaki seperti mengelilingi tasik sebanyak tiga pusingan atau mengelilingi rumah pangsa di taman perumahan sebanyak lima pusingan.

#6- Sudahi aktiviti ini dengan menyejukkan badan iaitu aktiviti regangan.

Antara yang boleh dilakukan ialah bengkokkan pinggang ke kiri dan ke kanan, kilas pinggang ke belakang, kiri dan kanan dan mencapai tumit dengan jari telunjuk.

Buat dalam kiraan lapan ke 10. Usah paksa diri, lakukan mengikut kesediaan tubuh.

INFO : Masa yang paling sesuai untuk melakukan aktiviti berjalan kaki ini adalah selepas jam 6.00 petang. Sekiranya di waktu lain, anda disarankan untuk melakukannya di sebelah pagi, sebelum bersarapan.

Berbalik kepada diri saya, jangan terkejut kerana saya berjaya mengurangkan 5 kg dalam masa 6 bulan! Memang perlahan.

Tidak perlu terburu-buru. Biarkan tubuh berubah sedikit demi sedikit. Bukan tindakan drastik. Paling penting, tiada bantuan pil.

Seterusnya, saya memujuk tubuh saya (terpaksa pujuk, bukankah saya tidak suka bersenam) untuk berjoging, melakukan aktiviti aerobik dan menyertai maraton.

Alah, janganlah cari nama saya di kalangan pemenang, saya masih antara yang corot, tapi saya berjaya habiskan 10 km dalam kategori veteran, tanpa membenci peluh yang mengalir.

Saya sudahi dengan berjalan kaki boleh memberikan kesan positif kepada diri anda dari segi fizikal dan mental, (psst… terutamanya bab-bab awet muda) TETAPI hanya jika anda melakukannya.

Rujukan:
https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/fitness/in-depth/walking/art-20046261
https://www.verywell.com/the-best-time-of-day-to-walk-and-exercise-3432463


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saodah Lasim

Bermula dengan menulis novel kanak-kanak dan novel bercorak thriller, kini Saodah adalah seorang editor bebas, penulis dan juga penulis upahan (ghostwriter). Telah mengedit buku-buku daripada pelbagai genre antaranya novel am, novel kanak-kanak, biografi, motivasi, panduan, sejarah, keagamaan dan kisah hidup. Juga merupakan seorang penyelaras penerbitan dan telah membantu menerbitkan beberapa buah buku untuk penulis swaterbit.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami