Ibadah

Boleh Ke Niat Tinggalkan Maksiat Kerana Manusia

Oleh Fizah Lee  •  9 Jun 2020  •  3 min baca

Apabila terdetik di hati anda untuk melakukan kebaikan, pasti sedikit sebanyak akan wujud juga perasaan serba salah dengan dosa dan maksiat yang anda lakukan.

Namun, bukan mudah untuk meninggalkan maksiat dan gaya hidup yang penuh dengan noda itu. Pasti, kebanyakan daripada kita memerlukan asbab dan juga faktor yang jelas untuk meninggalkan kehidupan lama tersebut.

Kita melihat kisah-kisah masyhur di sebalik penghijrahan insan-insan ini adalah disebabkan faktor sekeliling yang telah mampu menjentik hidayah di hati mereka.

Ada yang disebabkan tersentuh dengan bacaan ayat Al-Quran, ada yang terkesan apabila melihat gaya hidup umat Islam yang mengamalkan kebaikan dalam setiap perbuatan mereka dan ada juga yang diberi hidayah apabila kehilangan orang-orang tersayang.

Pendek kata, walau apa pun sebabnya, ia adalah bukti bahawa Allah telah menjentik hati anda untuk kembali kepadaNya.

Walau bagaimanapun, bagaimana jika seseorang itu berniat untuk meninggalkan maksiat bukanlah kerana Allah, namun disebabkan oleh faktor-faktor keduniaan lain. Sebagai contoh, disebabkan untuk menarik perhatian teman wanitanya atau untuk mendapat jawatan yang tinggi.

Dalam hal ini, pertamanya kita perlu melihat bahawa setiap amalan adalah bergantung kepada niatnya. Jika anda berniat untuk melakukan ibadah kerana manusia, adakah manusia yang akan memberikan pahala kepada anda?

Bahkan, jika ibadah anda itu adalah untuk meraih pandangan manusia, maka hanya itu sahaja yang anda akan dapat. Namun, jika niat anda itu kerana Allah, maka Allah akan mengganjarkan lebih lagi daripada itu.

Jumhur ulama juga mengeluarkan pendapat bahawa ibadah yang dilakukan untuk mendapat pujian daripada manusia, maka ia adalah sama dengan melakukan dosa. Bahkan, ibadah tersebut tidak diterima.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah RA berkata – “Meninggalkan maksiat kerana selain Allah dan bukan kerana Allah semata-mata, maka ia berdosa. Kerana ia ditinggalkan bukan kerana Allah. Sebagaimana mereka yang mengerjakan suatu ibadah bukan kerana Allah, ia adalah berdosa. Oleh sebab perbuatan meninggalkan sesuatu dan menjauhinya adalah tergolong amalan hati, maka apabila ia mengerjakan suatu ibadah selain untuk Allah, maka ia berhak mendapatkan dosa.” (Syifa’ul ‘Aliil, 170)

Ibadah yang diterima oleh Allah itu perlulah mematuhi dua syarat, iaitu ikhlas kerana Allah dan mematuhi syariat yang diperintahkan Allah.

Kesimpulan

Adapun, penulis berpendapat bahawa jika ia seseorang menjadi asbab untuk membantu anda menjadi baik dan meninggalkan maksiat, secara perlahan-lahan dapat membantu anda berubah, maka teruskanlah.

Mungkin keihklasan itu tidak timbul pada awal ibadah yang anda lakukan. Atau mungkin juga anda melakukannya kerana terpaksa.

Namun, siapa tahu lama-kelamaan ibadah itu akan sebati dalam hati anda dan akhirnya keihklasan itu akan muncul sendiri.

Daripada tidak melakukannya kerana tidak muncul keikhlasan, sampai bila harus menunggunya. Lebih baik mula dari sekarang walau secara terpaksa andai itu boleh menjadi titik tolak kepada perubahan anda.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami