Hukum

Bisikan Menyuruh Untuk Melafazkan Kekufuran, Adakah Iman Terbatal?

Oleh Natirah Azira  •  11 Aug 2020  •  2 min baca

Hal-hal yang berkaitan otak dan fikiran adalah sangat kompleks dan kadang-kadang mengelirukan. Ada memori yang terlalu kuat kita ingat sekalipun ia sudah berlaku lama dahulu. Ada juga yang baru berlaku namun susah untuk kita ingat semula.

Ada pula keadaan di mana sesetengah orang merasakan seperti ada gangguan suara-suara asing yang menyuruh melakukan sesuatu. Di dalam ilmu perubatan, ia dipanggil halusinasi yang seringkali dikaitkan dengan gangguan mental.

Bagaimana pula jika suara-suara tersebut menyuruh melafazkan ayat-ayat yang boleh membawa kekufuran. Contohnya “Biarlah aku kafir pun” atau “Aku memang kafir” dan lain-lain. Adakah iman seseorang dikira telah terbatal dan perlu mengucap dua kalimah syahadah semula?

Daripada sudut agama Islam pula, kewujudan syaitan itu termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang wajib dipercayai. Syaitan telah berjanji untuk menggoda dan menyesatkan umat manusia walau dengan apa jua cara.

Dengan jelas Allah menyebutkan tentang kegiatan syaitan yang akan melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.

Hal ini seperti firman Allah SWT:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ

Maksudnya: “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.” (Surah al-Nas 114:5)

Para ulama tafsir menerangkan dengan lebih lanjut bahawa bisikan-bisikan ini boleh jadi tidak didengari secara jelas, namun maknanya itu sampai ke dalam hati lalu menimbulkan rasa was-was.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ : مَنْ خَلَقَ كَذَا ؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا ؟ حَتَّى يَقُولَ : مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: Syaitan datang kepada seseorang dalam kalangan kamu dan berkata, “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?”, sehinggalah dia berkata, “Siapakah yang menciptakan Tuhan kamu?” Jika sekiranya ia telah sampai kepada tahap itu, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT dan menghentikannya. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no.3276 dan Muslim, no.213)

Kesimpulan awal yang boleh dibuat berdasarkan situasi di atas, orang yang mengalami gangguan suara-suara tersebut dikira sebagai orang yang mengalami masalah atau gangguan yang bukan kerana kehendak dirinya sendiri, sama ada ia berkait dengan masalah kesihatan mental atau benar-benar berpunca daripada gangguan syaitan. Bermakna dia bukan melakukannya secara sengaja atau dengan niat.

Justeru, dalam hal ini, orang yang menyebutkan perkataan kekufuran seperti dalam contoh awal, dia tidak dikira murtad, kafir atau terbatal imannya. Dia juga tidak perlu mengucapkan kalimah syahadah kembali, tetapi jika untuk lebih yakin dan menenangkan hati, ia adalah digalakkan.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami