Inspirasi

Bimaristan – Hospital Serba Lengkap Yang Dibina Semasa Pemerintahan Islam

Oleh Natirah Azira  •  6 Aug 2019  •  4 min baca

Bimaristan berasal daripada perkataan Parsi. Bimar bermaksud ‘penyakit’ dan stan bermaksud ‘tempat’. Maka bimaristan bermaksud tempat bagi penyakit ataupun di dunia moden sekarang, kita menyebutnya pusat perubatan atau hospital.

Hospital pertama dalam Islam dibina di Baghdad di bawah pemerintahan Harun al-Rashid (Kerajaan Abbasiyyah). Ada kisah yang unik di sebalik pembinaan hospital ini.

Khalifah Harun al-Rashid menyuruh seorang lelaki bernama Al-Razi agar mencari lokasi yang terbaik untuk pembinaan hospital. Al-Razi kemudiannya menggunakan daging lalu digantungkan di beberapa tempat di kota. Daging yang paling lambat rosak menunjukkan bahawa udara di tempat tersebut bagus dan bersih, lalu tempat tersebut dipilih.

Hospital yang diberi nama Mansuri pula selesai dibina pada tahun 1284 Masihi. Bimaristan ini sangat besar sehingga boleh menempatkan 8000 katil pesakit. Ia mempunyai bilangan staf yang ramai, serta lengkap dengan dewan pengajian, perpustakaan yang besar, pembantu pesakit lelaki dan wanita, dispensari, farmasi dan lain-lain. Ia dilengkapi juga dengan masjid bagi pesakit beragama Islam dan juga gereja bagi pesakit beragama Kristian.

Pesakit akan tinggal di hospital sehingga benar-benar sihat. Menariknya, pesakit dikira sudah sembuh sepenuhnya apabila dapat menghabiskan seekor ayam dalam hidangannya. Apabila dibenarkan untuk keluar, mereka juga diberi baju baru dan juga wang saku.

Hospital-hospital ini biasanya dibina di atas bukit di kawasan yang tinggi, atau berdekatan dengan sungai. Contohnya, Hospital Al-Adhudi telah dibina berdekatan Sungai Dejlah (Tigris). Air daripada sungai mengalir memasuki perkarangan hospital dan seterusnya mengalir kembali ke Sungai Tigris.

Sistem Bimaristan

Sistem bimaristan sangat kemas dan sistematik. Dilaporkan bahawa dewan hospital diasing mengikut jenis-jenis penyakit contohnya ada dewan yang dikhaskan untuk kecederaan luaran, untuk kecederaan dalaman, dan juga untuk proses kelahiran.

Bimaristan juga berfungsi sebagai tempat kajian dan juga pengajaran. Jika sekarang, bimaristan boleh dibayangkan seperti Hospital Universiti di Malaysia contohnya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan juga Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM). Para pelajar di situ turut mendapat latihan dan tugasan di hospital universiti dalam masa yang sama berkhidmat untuk masyarakat.

Ibnu Abi Usaybi’a pernah menceritakan di dalam bukunya ‘Uyun al-anba’ fi Tabaqat al-atibba’ bahawa Pemerintah ‘Adhud al-Dawla telah melakukan ujian saringan bagi seratus orang doktor dan hanya memilih 24 daripada mereka untuk bekerja di bimaristan.

Selain itu, ada juga pegawai khas yang ditugaskan oleh khalifah untuk memeriksa hospital bagi memastikan operasi hospital berjalan lancar. Tindakan ini diambil bagi memastikan bimaristan benar-benar berfungsi memberi rawatan yang terbaik kepada para pesakit.

Jenis-Jenis Bimaristan Yang Pernah Diwujudkan Sepanjang Pemerintahan Islam

1. Bimaristan Untuk Penyakit Kusta

Menurut Ibnu Al-Qifti, orang pertama yang menulis tentang penyakit kusta bernama Yuhana bin Masawayh. Kajian kepada penyakit ini mendapat perhatian beliau ekoran anjuran dalam Islam tentang rawatan penyakit berjangkit dengan cara mengasingkan (kuarantin) mereka daripada orang ramai yang sihat.

2. Bimaristan Untuk Penyakit Mental

Seperti hospital di zaman sekarang yang mempunyai jabatan psikiatri, bimaristan pada masa lampau juga mempunyai bahagian untuk rawatan penyakit mental. Tempat mereka biasanya dijaga dengan rapi dan diletakkan jeriji besi supaya pesakit-pesakit tidak bertindak secara agresif kepada para pesakit yang lain.

3. Bimaristan Jalanan

Menyedari keperluan para pedagang dan orang-orang yang mengembara untuk menunaikan haji, bimaristan jalanan juga diwujudkan bagi membantu pengembara yang sakit dan memerlukan rawatan. Golongan yang kaya akan memberi bantuan kewangan dengan membekalkan karavan yang berisi barang-barang perubatan bagi tujuan rawatan.

4. Bimaristan Bergerak

Bimaristan bergerak pula mungkin boleh disamakan dengan klinik bergerak pada masa sekarang. Doktor-doktor akan mengunjungi kawasan bandar, kampung dan kawasan pedalaman yang jauh dari pusat kota bagi membolehkan khidmat perubatan sampai kepada semua penduduk. Mereka akan tinggal di suatu kawasan buat beberapa ketika sebelum bergerak ke kawasan yang seterusnya.

5. Bimaristan Penjara

Pemerintahan Islam ketika itu turut memberi perhatian kepada keperluan perubatan para penghuni penjara, sama seperti pesakit di luar sana.

Hal ini terabadi dalam surat yang diutuskan oleh Issa Ibn Abi Al-Garrah (menteri bagi Khalifah Al-Muqtadir) kepada Sinan bin Thabit, seorang doktor yang sangat hebat dalam ilmu perubatan Arab.

“Aku berfikir tentang penghuni-penghuni penjara, yang terdedah kepada penyakit, berikutan bilangan mereka yang ramai dan keadaan yang sukar; mereka menghadapi kesukaran untuk berjumpa dengan doktor dan mendapatkan khidmat nasihat tentang penyakit mereka. Anda perlu menugaskan doktor-doktor untuk melawat mereka setiap hari. Doktor-doktor ini perlu membawa bersama mereka ubat dan dan semua perkara yang mereka perlukan untuk merawat dan menyembuhkan penyakit – dengan izinNya”

Adanya bimaristan atau pusat rawatan dengan sistem yang teratur ini telah menunjukkan bahawa pemerintahan Islam benar-benar mengutamakan keperluan rakyatnya. Perhatian diberikan .kepada asas keperluan utama manusia iaitu kesihatan dan nyawa.

Selain itu kita dapat mengetahui bahawa sistem perubatan yang disediakan pada waktu dahulu juga selari dengan apa yang diamalkan dalam dunia perubatan moden sekarang. Semoga kita dapat mengambil inspirasi daripada sejarah terdahulu untuk terus mengekalkan kualiti dalam apa jua cabang perkhidmatan untuk masyarakat.

Sumber: “The Origin of Bimaristans (Hospitals) in Islamic Medical History”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami