Hukum, Ibadah

Beza Pembahagian Daging Korban Sunat Dan Nazar

Oleh Natirah Azira  •  14 Aug 2019  •  4 min baca

Genap 13 Zulhijah hari ini, menandakan bahawa ibadah korban sempena sambutan Aidiladha juga akan berakhir pada hari ini. Mereka yang masih berniat untuk mengerjakan ibadah korban serta pihak-pihak yang menguruskan binatang korban dalam kuantiti yang banyak pasti mengambil peluang pada hari terakhir ini dengan sebaiknya.

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Surah al-Hajj: 28)

Bercakap mengenai ibadah korban, kita tidak akan lari daripada membincangkan perihal pembahagian daging korban. Dalam artikel kali ini, Tzkrh akan mengulas pula tentang pembahagian daging korban bagi tujuan yang berbeza iaitu korban sunat dan juga korban nazar (wajib).

Korban sunat adalah korban yang sangat dituntut, yang biasa dilakukan sempena menyambut Aidiladha, manakala korban nazar (wajib) pula berlaku disebabkan seseorang berkata:

“Aku bernazar untuk melakukan korban pada tahun ini”

“Wajib bagi diriku untuk berkorban pada tahun ini”

“Jika sakit anakku sembuh, maka aku akan melakukan korban pada tahun ini”

Nazar bermaksud berjanji kepada diri sendiri untuk melakukan suatu perkara kebaikan, iaitu apabila seseorang mewajibkan suatu perbuatan amalan ibadah kepada dirinya sendiri (yang pada asalnya tidak wajib ke atas dirinya).

Nazar wajib dilaksanakan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “(Di antara sifat orang-orang yang baik/taat ialah) mereka memenuhi nazar mereka…” (Surah al-Insan, 76:7).

Dari ‘Aisyah R.anha, bahawa Nabi SAW juga bersabda; “Sesiapa bernazar untuk mentaati Allah (yakni bernazar untuk melakukan suatu amalan ketaatan), hendaklah dia mentaati Allah (dengan melaksanakan nazarnya itu)” (Sahih al-Bukhari, no. 6696).

Cara Pembahagian Daging Binatang Korban

Korban Sunat

Sunat bagi orang yang berkorban untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korbannya.

Harus dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

Jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut. Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya – (Hadis riwayat Muslim – no. 1218)

Pembahagian daging korban juga boleh dilakukan dengan beberapa cara:

1. Sunat bagi orang yang berkorban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk dirinya sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin. Cara ini lebih afdal.

2. Orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, 1/3 lagi diagihkan kepada golongan fakir miskin, dan 1/3 selebihnya diperuntukkan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara mara atau jiran tetangga)

3. Cara yang afdal ialah menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripada bahagian daging sekadar mengambil berkat.

Mengambil sedikit bahagian daging korban untuk diri sendiri juga bertepatan dengan anjuran daripada Allah SWT sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Al-Hajj ayat 28.

“Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin” (Surah al-Hajj, 22:28)

Sheikh Muhammad Bin Ahmad al-Syathiri di dalam kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis pula mengeluarkan pendapat bahawa:

وَالأَفْضَلُ فِي الضَحِيَّةِ المَسْنُونَةِ : أَن يَتَصَدَّقَ بِأَكْثَرِهَا وَيَبْقَى لَهُ قَلِيلًا للبَرَكَةِ

Maksudnya: Adapun yang afdal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826)

Pembahagian Daging Bagi Korban Nazar

Berlainan pula bagi orang yang mengerjakan ibadah korban nazar (wajib) yang telah ditentukan, daging korban wajib disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk seseorang itu memakan sebahagian daripadanya (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, 485).

Kesimpulan

Perhatikanlah dengan sebaiknya niat yang dilakukan ketika ingin melakukan ibadah, kerana ia juga akan memberi kesan kepada pelaksanaan dan pengurusan contohnya dalam hal ibadah korban. Jika niat yang dilakukan adalah untuk melakukan nazar, maka sebaiknya dicatat perkara tersebut supaya tidak terlupa di kemudian hari. Wallahua’lam.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami