Hukum

Betulkah Tidak Boleh Menyebut Kalimat Kalau

Oleh Fieyzah Lee  •  29 Jul 2019  •  3 min baca

Apa yang anda akan ungkapkan jika ditimpa musibah atau berlaku perkara yang tidak diingini disebabkan oleh perbuatan anda sendiri? Adakah anda akan menyalahkan diri sendiri atau reda sahaja dengan ketentuan Ilahi dan terus bergerak ke hadapan dengan mengambil ia sebagai iktibar?

“Kalaulah aku tidak degil dan ikut sahaja nasihat ibuku, pasti perkara ini tidak akan berlaku.”

“Kalaulah aku belajar dengan bersungguh-sungguh, mesti aku sudah tercalon sebagai pelajar cemerlang.”

Dan bermcam-macam lagi kata ‘kalau’ yang pernah bermain di minda atau terungkap di bibir anda. Untuk menyesali perbuatan itu, sudah tiada guna, nasi sudah menjadi bubur. Apa yang boleh dilakukan adalah terus-menerus menyalahkan diri sendiri.

Masa dan perkara yang telah berjalan tidak boleh diputar semula, bahkan ia akan terus berlalu sama ada dalam kesedihan anda atau tidak. Ia tidak menunggu manusia untuk bangkit dari masalah sebaliknya manusia yang perlu mencuri masa untuk merawat diri sendiri.

Walau bagaimanapun, ada yang mempersoalkan mengenai kalimat ‘kalau’ ini, adakah dibolehkan menyebut kata kalau atau tidak?

Bahkan, ada yang mengatakan bahawa tidak elok menyebut kata kalau, ia seolah-olah menolak takdir yang telah Allah tetapkan untuk seseorang.

Jadi, apa hukum sebenar mengucapkan perkataan ‘kalau’? Adakah benar ia akan merosakkan akidah dan tidak mencapai keberkatan dalam hidup?

Menurut pendapat jumhur ulama’, hukum asal menyebut perkataan ‘kalau’ adalah harus jika tanpa niat yang menyimpang dari akidah.

Walau bagaimanapun, menurut pendapat beberapa ulama’ termasuk Imam Nawawi mengatakan bahawa, jika ungkapan tersebut adalah disebabkan oleh seseorang itu tidak dapat menerima takdir atau ketentuan yang telah ditetapkan, maka ia ada perkataan yang dilarang.

Imam Nawawi menyifatkan ia sebagai perkataan yang membuka pintu kepada syaitan jika dilafazkan kerana kekecewaan dan penyesalan terhadap kepentingan duniawi. (Rujuk Sharh al-Nawawi ‘ala muslim, 8/156).

Tambahnya lagi, jika ungkapan kalau itu sehingga menganggu kehidupannya, maka ia adalah ungkapan yang dilarang.

Hal ini adalah berdasarkan beberapa dalil yang telah disebut;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ كَفَرُوا وَقَالُوا لِإِخْوَانِهِمْ إِذَا ضَرَبُوا فِي الْأَرْضِ أَوْ كَانُوا غُزًّى لَّوْ كَانُوا عِندَنَا مَا مَاتُوا وَمَا قُتِلُوا لِيَجْعَلَ اللَّـهُ ذَٰلِكَ حَسْرَةً فِي قُلُوبِهِمْ ۗ وَاللَّـهُ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh.” (apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.” (Surah Al-Imran, 3:156)

Konklusi

Dalam kehidupan ini, tidak salah untuk bersedih dan melihat kembali di sebalik setiap sesuatu yang telah berlaku untuk dijadikan iktibar dan belajar darinya.

Namun, adalah lebih baik untuk mengungkapkan perkara yang baik-baik sahaja agar setiap kata-kata itu tidak memakan diri kita sendiri.

Ibnu Umar pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kamu memperbanyak perkataan tanpa ingat kepada Allah, kerana sesungguhnya, banyak perkataan tanpa ingat kepada Allah itu mengeraskan hati dan sesungguhnya orang yang paling dijauhi oleh Allah adalah hati yang keras.” (Hadis Riwayat Tarmizi, no. 2523)

Rujukan: Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami