Gaya Hidup, Sejarah

Bersyukur Atau Mengeluh Apabila Hujan – Apa Reaksi Nabi SAW

Oleh Fizah Lee  •  6 Mar 2020  •  3 min baca

Saidatina Aisyah meriwayatkan dan dicatat dalam sahih Bukhari dan Abu Daud bahawa ketika Nabi Muhammad SAW melihat awan mendung di langit, Baginda terus berjalan mundar-mandir dan keluar masuk dengan berubah wajahnya. Apabila turunnya hujan, Baginda terus berubah daripada wajah yang sugul kepada penuh kegembiraan.

Lalu, beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, orang ramai apabila melihat awan mendung, mereka gembira dengan harapan turunnya hujan. Tetapi aku melihat engkau lantas berubah wajah seperti tidak suka.”

Baginda SAW kemudian menjawab: “Aku tidak tahu, boleh jadi awan itu seperti yang dikatakan kaum ‘Ad – Maka, apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Al-Ahqaf, 46:24)

Melalui kisah ini, kita menyedari bahawa Baginda amat risau apabila melihat awan hitam yang berkepul-kepul kerana teringat akan kisah yang pernah terjadi pada zaman Nabi Hud AS. Awan hitam yang pernah menjadi azab kepada kaum yang ingkar akan ajaran yang disampaikan.

Namun apabila hujan turun, Baginda akan tersenyum lebar dan mengucapkan syukur kepada Allah atas rahmat yang diberikan dan bukannya azab.

Disebabkan itu kita sering diingatkan bahawa hujan yang turun pada hari ini ialah salah satu tanda rahmatNya kepada seluruh makhlukNya. Manusia juga diajar supaya bersyukur dengan kurniaan tuhan ini.

Walaupun baju di ampaian tidak sempat kering atau yang sedang membonceng motor terpaksa menghentikan perjalanan seketika disebabkan basah kuyup hujan, namun zahirkanlah rasa syukur sejenak tanpa mengeluh dan mencelanya.

Ambil masa untuk berdoa dan meminta sesuatu kepada Allah kerana diriwayatkan juga pada waktu inilah mudahnya dikabulkan doa. Paling kurang pun, berdoa supaya hujan yang turun ini sebagai kebaikan untuk anda serta orang sekeliling dan bukannya sebagai keburukan.

Jangan mencela dan mengeluh dengan turunnya hujan kerana hukumnya adalah haram. Mencela hujan sama dengan mencela pencipta hujan sendiri, iaitu Allah.

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى يُؤْذِينِي ابْنُ آدَمَ، يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ، بِيَدِي الأَمْرُ، أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Maksud: “Allah SWT berfirman: “Anak Adam menyakiti Aku. Dia mencela masa sedangkan Aku adalah masa. Di tanganKu ada segala urusan. Akulah yang membolak-balikkan siang dan juga malam.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 7491)

Apabila turunnya hujan, manusia perlu reda dan gembira dengan mendoakan agar ia menjadi salah satu rahmat yang bermanfaat kepada bumi dan penduduknya.

Hukum haram ini bukan sahaja apabila seseorang itu mencela hujan, tetapi sama sahaja dengan situasi mereka yang mencela cuaca panas atau musim-musim tertentu.

Tuntasnya, bersyukurlah dengan hujan yang turun serta ambil kesempatan untuk berdoa agar dikabulkan Allah.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami