Gaya Hidup

Bersedih Atas Kematian Jangan Sehingga Meratapinya

Oleh Fizah Lee  •  27 Feb 2020  •  3 min baca

Al-Qurtubi melalui tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran yang mengulas mengenai perihal kematian berkata bahawa ‘kematian’ itu adalah didahulukan berbanding perkataan ‘kehidupan’ kerana ia lebih dekat.

Asal kejadian manusia adalah daripada tiada kepada ada. Kemudian, akan dicabut kembali roh untuk pergi menghadap Ilahi dan dibangkitkan semula di alam akhirat.

Syarat untuk mati adalah bernyawa. Setiap yang bernafas dan mempunyai nyawa adalah layak ke atasnya untuk menghadapi kematian. Jika berlaku pemergian ke atas orang yang tersayang, terima hakikat dan doakan agar perjalannya di alam sana dilapangkan dan semoga rohnya dicucuri rahmat.

Bersedih dan menangis itu adalah fitrah yang akan dialami oleh setiap manusia. Apatah lagi jika mengalami kehilangan dan pemergian orang tersayang.

Namun, bersedih itu tidak boleh dilakukan secara berlebihan sehingga meratapi mayat. Ia boleh menyebabkan seseorang itu menyalahkan takdir dan tidak menerima kehilangan tersebut.

Meratapi mayat merupakan salah satu perbuatan dari zaman Jahiliah yang telah dihapuskan sejak kedatangan Islam. Golongan Jahiliah akan meratapi mayat dengan menangis semahu-mahunya sehingga terbatuk-batuk dan memukul-mukul dadanya.

Ada juga situasi di mana mereka tidak makan selama berhari-hari dan menyebabkan mereka jatuh sakit. Hal inilah yang menyebabkan hak kepada diri terabai dan melupakan tugas hakiki sebagai manusia.

أَرْبَعٌ فِي أُمَّتِي مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ، لَا يَتْرُكُونَهُنَّ: الْفَخْرُ فِي الْأَحْسَابِ، وَالطَّعْنُ فِي الْأَنْسَابِ، وَالْاسْتِسْقَاءُ بِالنُّجُومِ، وَالنِّيَاحَةُ وَقَالَ: النَّائِحَةُ إِذَا لَمْ تَتُبْ قَبْلَ مَوْتِهَا، تُقَامُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَعَلَيْهَا سِرْبَالٌ مِنْ قَطِرَانٍ، وَدِرْعٌ مِنْ جَرَبٍ

Maksud: “Ada empat perkara khas jahiliah yang masih melekat pada umatku dan mereka belum meninggalkannya: Membanggakan jasa (kelebihan atau kehebatan) nenek moyang, mencela nasab (garis keturunan), menisbahkan hujan yang disebabkan oleh binatang tertentu dan meratapi mayat.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 934)

Baginda SAW tidak melarang untuk umatnya bersedih, namun jangan dilakukan sehingga berlebihan dan mengikut perbuatan golongan jahiliah. Bahkan, Baginda juga pernah bersedih akibat kehilangan putera kesayangannya, iaitu Ibrahim. Namun, kesedihannya tidaklah sehingga mengganggu fungsi hidup.

Diriwayatkan daripada sahabat Anas bin Malik RA, beliau mengatakan: “Kami bersama Rasulullah SAW mendatangi Abu Saif Al-Qaiyn yang (isterinya) telah mengasuh dan menyusui Ibrahim (putera Nabi SAW). Lalu Rasulullah SAW mengambil Ibrahim dan menciumnya. Kemudian, setelah itu pada kesempatan yang lain kami mengunjunginya sedangkan Ibrahim telah meninggal.

Hal ini menyebabkan kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata. Lalu, berkatalah Abdurrahman bin Auf RA kepada beliau: “Mengapa anda menangis, wahai Rasulullah?”

Baginda SAW lalu menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, sesungguhnya ini adalah rahmat (tangisan kasih sayang). Kedua mata boleh mencucurkan air mata, hati boleh bersedih hanya kita tidaklah mengatakan kecuali apa yang diredai oleh Rabb kita. Dan kami dengan perpisahan ini wahai Ibrahim, pastilah bersedih.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1303)

Tuntasnya, kirimkanlah doa kepada insan-insan yang telah pergi supaya kehidupan mereka di alam sana dipermudahkan. Jangan meratapi mayat dan kematian mereka sehingga anda dikaburi dengan air mata dan tidak meneruskan kehidupan.

Ambil masa untuk memulihkan perasaan anda tanpa memaksa diri. Semoga perasaan kehilangan itu akan segera sembuh.

Rujukan:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami