Inspirasi

Berniat Meninggalkan Dosa Juga Diganjari Pahala

Oleh Fizah Lee  •  16 Apr 2020  •  3 min baca

Kita telah memasuki fasa terakhir bulan Syaaban. Tinggal lebih kurang sembilan hari lagi untuk kita menghadapi bulan yang ditunggu-tunggu, iaitu Ramadan.

Walaupun kita sedang berada dalam tempoh kuarantin, namun pastinya aura untuk menyambut Ramadan tetap ada dan dirasai oleh jiwa-jiwa setiap muslim.

Namun, pasti timbul rasa sedih kerana sedikit sebanyak nikmat Ramadan yang sebelum ini kita kecapi tidak akan dirasai lagi tahun ini.

Antaranya ialah tiada lagi solat sunat tarawih berjemaah di masjid, iftar (berbuka puasa) bersama sanak saudara dan kenalan begitu juga dengan aktiviti qiamullail yang tidak dapat diraikan bersama seperti Ramadan-Ramadan yang lalu.

Terkini, kita dikhabarkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama Arab Saudi, Dr Abdul Latif Al-Sheikh akan pengumuman solat tarawih secara berjemaah di masjid adalah tidak dibenarkan sepanjang Ramadan tahun ini.

Ekoran daripada COVID-19 ini, pastinya ramai di antara kita yang telah diketuk pintu hatinya untuk lebih menghargai apa yang ada di depan mata.

Jika sebelum ini kita memandang remeh akan solat tarawih di masjid, namun tahun ini kita pasti akan merindui suasana tersebut.

Jika sebelum ini juga kita mengambil ringan akan majlis berbuka puasa bersama ahli keluarga dan rakan taulan, namun tahun ini pastinya kita mengharapkan agar diberi lagi peluang untuk berkumpul bersama mereka.

Seperti kata-kata hikmah yang menyebut – “Hargai sesuatu sebelum ia hilang.”

Apapun yang berlaku dalam tahun ini, pastinya setiap daripada kita akan mengharapkan agar kebaikan dan perkara yang positif bakal menyusul.

Ramai yang sudah mula membuat persiapan untuk menghadapi Ramadan agar tidak terlepas daripada ganjaran-ganjaran yang dikurniakan Allah.

Walaupun kita sudah tidak dibenarkan berjemaah dan menyambut Ramadan seperti biasa, namun kita masih boleh meraikannya dengan cara yang luar biasa.

Bak kata orang, tahun ini apa yang kita ada hanyalah masa. Jadi, gunakanlah masa tersebut dengan sebaik mungkin.

Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menghidupkan Ramadan ini sama ada anda menyambutnya bersendirian di rumah sewa mahupun bersama keluarga di kampung, gunakanlah ia dengan baik.

Belum tentu kita akan diberi nafas dan ruang untuk bertemunya lagi di tahun hadapan. Sebagai langkah awal untuk meraikan kedatangan Ramadan, apa kata mulakan dengan mengubah gaya hidup dan niat anda hari-hari.

Kurangkan melakukan perkara yang mungkar. Walaupun ia kecil di mata ada, namun ia tetap dosa di sisi Allah. Setiap hari, apabila anda bangkit dari tidur, azamkan untuk tidak melakukan dosa.

Tahukah anda, dengan berazam sahaja anda sudah diganjari pahala apatah lagi jika ia diikuti dengan perbuatan yang baik.

Di dalam sebuah hadis qudsi ada menyebut bahawa Allah SWT telah berfirman:

Maksud: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka, barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sehingga 700 kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6491)

Ibnu Hajar Al-Asqalani telah mengulas hadis berkenaan – “Sesuatu keazaman itu telah menguatkan lagi niat bagi melakukan perbuatan tersebut. Misalnya, seseorang itu telah berkata: “Aku telah berazam untuk ini (melakukannya), iaitu bermakna; “Aku telah niat dengan tekad akannya” dan ia adalah lebih tinggi lagi kedudukannya daripada sekadar sesuatu lintasan dengan hati.” (Fathu al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/323)

Justeru, mulakan hari anda dengan berazam dan meniatkan perkara yang baik-baik serta tinggalkan perkara yang negatif.

Apabila anda meletakkan minda dan hati anda dengan azam yang jitu, pastinya badan anda akan memberi reaksi yang positif juga.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami