Tokoh

Bernafas Untuk Berjuang: Mengenang HAMKA

Oleh Syafiq Salim  •  5 Jul 2018  •  7 min baca

Haji Abdul Malik Bin Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA merupakan insan yang namanya telah tercatat sebagai antara tokoh besar dalam lipatan sejarah nusantara.

Dilahirkan pada 16 Februari 1908 bersamaan 13 Muharram 1326 di Ranah Minangkabau, Sumatera Barat.

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai ulama, lebih daripada itu beliau adalah seorang sasterawan, pejuang kemerdekaan, pemimpin dan pendidik.

Jadi amatlah rugi jika kita tidak mengetahui sejarah kehidupan Buya Hamka.

Zaman Kecil

Lahirnya ditanah yang terkenal dengan pemandangan yang indah dan suasana yang sentosa. Di Danau Maninjau yang luas terbentang, tempat yang indah dengan pemandangan padi yang menghijau.

Di situlah tempat Hamka bermain semasa beliau kecil dan disitulah tempat beliau menemani pakcik kesayangannya Engku Muaro menangkap ikan bersama-sama.

Hamka merupakan kanak-kanak yang nakal dan boleh dikatakan sangat nakal. Kerap kali beliau dimarahi oleh ibu dan ayahnya dek kerana sifatnya yang keras kepala.

Walaupun begitu, zaman kecilnya, Hamka seakan-akan telah menunjukkan jiwa bagaimana apabila beliau dewasa kelak.

Diceritakan suatu ketika apabila penduduk kampung bercerita di warung tentang hantu Induk Bala yang menyebabkan ramai dikalangan penduduk kampung terkena penyakit demam.

Hamka tidak percaya dan beliau sendiri telah menyamar sebagai Induk Bala dengan mengenakan pakaian berupa hantu lalu melalui kawasan warung tempat orang kampung bercerita tentang hantu itu.

Maka ada dikalangan mereka terpekik kerana takut akan hantu Induk Bala, hasil kenakalan Hamka. Maka kecohlah satu kampung dibuatnya kerana kejadian tersebut dan semakin banyak orang menyebut tentang hantu itu.

Hari berikutnya orang kampung mengetahui bahawa yang disangka hantu itu adalah Hamka sehinggakan ada dikalangan orang kampung berkata untuk membawa tombak dan parang untuk membunuh Induk Bala itu kerana marahnya kepada Hamka.

Akhirnya, atas kecerdikan beliau kepercayaan orang kampung terhadap kewujudan Induk Bala itu pun hilang. Alhamdulillah!

Dari segi pendidikan, Hamka hanya belajar sehingga Gred 2 sahaja. Selepas itu beliau dibawa ayahnya untuk belajar di Thawalib.

Ini menyebabkan beliau tidak suka untuk menghadiri pengajian di sana dan beliau lebih suka belajar dengan caranya sendiri dengan menghabiskan masanya di perpustakaan membaca buku pelbagai tema.

Bahan yang dibaca oleh beliau tentunya berlainan yang diajar di Thawalib yang menyebabkan ayahnya berkata;

“Adakah anda akan menjadi orang yang soleh atau menjadi seorang pencerita?”

Minat membacanya yang mendalam menyebabkan ruang lingkungan bacaan Hamka sangat luas. Daripada membaca manuskrip arab sehingga kepada falsafah Yunani purba. Maka tidak pelik jika kita dapati karya Hamka menyentuh pelbagai disiplin ilmu.

Semangat Perjuangan Ayahnya

Ayah Hamka, Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Rasul sangat mempengaruhi jiwa perjuangan Hamka.

Walaupun semasa kecil, ayahnya antara orang yang paling beliau tidak suka lantaran sikapnya yang tegas. Tetapi masa yang berjalan itu telah menukar persepsi Hamka terhadap keperibadian ayahnya yang berjiwa besar itu.

Dari kecil Hamka melihat dengan dekat apa yang dilakukan oleh ayahnya dalam masyarakat walaupun ketika itu beliau tidak tahu mengapa ayahnya sanggup mengorbankan masa dan dirinya demi membetulkan masyarakat walhal kebanyakan orang lain tidak berbuat apa-apa.

Tetapi ketika mana Hamka mulai dewasa, semangat ayahnya mula meresap ke dalam jiwanya sebagaimana beliau menulis dalam karyanya Ayahku:

“…sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum perjumpaan dimulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan (marah) melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya.”

Sebagai seorang anak kepada seorang pejuang, ayahnya telah membina landasan yang jelas kepada Hamka. Antara kalam yang sangat terkesan kepada Hamka dan ia merupakan wasiat teragung ayahnya:

“Di mana-mana, kebenaran hendaklah ditegakkan”

Dari Pena Ke Lapangan Masyarakat

Pada usianya menginjak 15 tahun, beliau lebih suka untuk mengembara di tempat orang sehinggakan antara gelaran Hamka adalah “si bujang jauh”.

Dengan minat yang mendalam ingin menuntut ilmu Islam serta bahasa Arab menyebabkan Hamka telah pergi ke Mekah walaupun tanpa memberikan ucapan selamat tinggal kepada keluarganya sendiri.

Selepas 7 bulan di Mekah, Hamka mengambil keputusan untuk pulang ke Indonesia. Dari sinilah Hamka telah menulis pelbagai karya yang menaikkan namanya antaranya Tengelamnya Kapal Ven Der Wijck.

Sehingga dikatakan ramai pembaca di Aceh sanggup menunggu di stesen kereta api untuk menjadi orang yang terawal membacanya.

Hamka juga mulai terjun ke dalam dunia politik negara. Nama-nama seperti Sukarno dan Bung Hatta antara tokoh yang bersama-sama Hamka berjuang bagi membebaskan Indonesia daripada cengkaman Belanda.

Parti Masyumi antara organisasi politik yang di sertai oleh Buya Hamka bagi mewujudkan sebuah negara yang berasaskan Islam.

Majalah dakwah seperti Pembela Islam, Merdeka, Menara, Pemandangan, Gema Islam, Pedoman Masyarakat dan Qathib al-Ummah antara saluran penulisan Buya Hamka bagi menyampaikan pemikirannya kepada masyarakat

Bahkan antara yang paling menonjol penglibatan Buya Hamka adalah beliau sangat berpengaruh dalam pertubuhan Muhammadiyah. Beliau telah melancarkan penentangan terhadap khurafat, bida’ah, tariqat songsang yang menular di Indonesia.

Sehinggakan beliau menerima penentangan yang hebat daripada sebilangan yang besar rakyat Indonesia bahkan di Malaysia sendiri. Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin menyatakan;

“Sesiapa yang membaca tulisan dan karya beliau (Hamka) akan terasa bahang semangat pembaharuan itu dalam jiwa Prof Hamka”

Pasang Surut Dalam Perjuangan

Pada masa beliau berjuang di tanah airnya, namanya mula menjadi sebutan dikalangan masyarakat antarabangsa sehinggakan karyanya ada disimpan di perpustakaan utama Amerika Syarikat.

Atas ketokohan serta jasanya terhadap dunia Islam, pada tahun 1959 beliau di jemput oleh Universiti Al-Azhar untuk menerima anugerah Doctor Honoris Causa. Buya Hamka merakamkan detik indah itu;

“Ijazah yang diberikan kepada saya itu ialah “Raqam I”, iaitu sayalah orang pertama yang memperolehi kehormatan itu semenjak Al-Azhar menciptakan peraturan itu…”

Nama Buya Hamka semakin menyinar bersama pengaruh yang besar. Tetapi kerjayaan itu diiringi sebuah pakatan yang cuba membunuh keperibadian Hamka. Maka dituduhnya Hamka sebagai penghianat negara. Kata Hamka;

Dalam keadaan tidak tahu apa kesalahan saya, dalam tengah hari letih berrpuasa, saya dijemput dan dicabut dengan segenap kekerasan dari ketenteraman saya dengan anak isteri, disisihkan dari masyarakat, dan dimasukkan ke tahanan. Setelah empat hari dalam tahanan, barulah saya diperiksa dengan tuduhan yang amat hebat dan ngeri, iaitu bahawa saya mengadakan rapat gelap di Tangerang pada 11 Oktober 1963. Yang dikatakan dalam rapat itu ialah hendak membunuh Menteri Agama H. Saifuddin Zuhri dan hendak mengadakan Coup d’etat (Kudeta). Untuk semua maksud ini, saya mendapat bantuan dari Tunku Abdul Rahman Putra, Pedana Menteri Malaysia, banyaknya empat juta dollar. Ertinya menurut tuduhan ini saya adalah seorang penghianat besar tanah air.”

Itulah adat orang berjuang! Walaupun pada kebanyakan manusia ia merupakan waktu yang kelam, tetapi dalam kegelapan itu beliau telah mencipta sesuatu yang sangat luar biasa.

Beliau dapat menyiapkan sebuah karya agung Tafsir Al-Azhar yang terkenal itu. Sehinggakan beliau menulis antara isi hatinya;

“Dari usia masih muda remaja sampai tua menjunjung uban, tidaklah mendatar sahaja jalan yang harus saya tempuh. Kerana, tahanan lebih dua tahun ini adalah menjadi salah satu mata rantai kalung keemasan yang ditatahkan pada leher sejarah hidup saya. Ia menjadi lebih indah kerana kezaliman dan fitnah ini baru menimpa saya setelah tanah air saya merdeka!”

Pelik tetapi itulah hakikatnya. Beliau adalah perjuang kemerdekaan tetapi dipenjarakan setelah mana negaranya memperolehi kemerdekaan.

Walaupun begitu ia merupakan detik-detik yang sangat terkesan dalam kehidupan Buya Hamka.

Nama Yang Sentiasa Bersinar

Setelah melalui perjuangan yang panjang dalam menegakkan agama yang sangat dicintainya. Jasad yang kian lama, kian tidak terdaya menampung saki-baki kekuatan diri untuk hidup.

Akhirnya pada hari Jumaat, 24 Julai 1981 jam 10.37 pagi dalam usia 73 tahun Buya Hamka meninggal dunia. Ia merupakan satu kehilangan yang besar bagi umat Islam secara keseluruhannya dan kepada umat Islam nusantara secara khususnya.

Beliau adalah bintang yang pada akhir hayatnya seperti pejuang yang meredah lautan dalam dan penyudahnya beliau mati terkaram.

Walaupun begitu, nama beliau menjadi sebutan orang di daratan malah semakin hari semakin menyinar bintangnya.

Hari ini kita dapat lihat karyanya semakin hari semakin kelihatan bekas tangannya. Sesungguhnya kematian Buya Hamka seperti mana sebuah syair yang berbunyi;

“Wahai anak Adam, ibumu telah melahirkan kamu dengan menangis sedangkan pada saat itu semua orang di sekitarmu tertawa bahagia.”

“Perbanyakkan amalan untuk dirimu supaya ketika orang-orang menangis pada saat kematiaanmu, kamu tertawa bahagia”

Sesungguhnya kami menagisi pemergianmu dan merindui kalam serta buah fikiranmu, sesungguhnya hidupmu di dunia ini bernafas untuk berjuang.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami