Hukum

Berkongsi, Dikira Mencuri Ke?

Oleh Natirah Azira  •  24 Jan 2019  •  4 min baca

Hak cipta dalam Islam disebut sebagai hak Al-Ibtikar (حق الابتكار) yang bermaksud hak yang dimiliki oleh seseorang apabila dia menghasilkan sesuatu buat pertama kali. Sesetengah ilmuwan juga menyebut hak ibtikar ini sebagai hak cipta, harta intelek atau ‘intellectual property’.

Isu yang biasa berlegar seputar ‘hak cipta’ ialah masalah menciplak atau biasa kita dengar dengan istilah ‘copy paste’, ‘plagiarise’ dan seumpamanya. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada mereka yang berada dalam dunia akademik atau khalayak umum.

Dalam hak Al-Ibtikar ini terkandung dua perkara yang penting iaitu hak ekonomi (haq al-iqtisadi) dan juga hak adab (haq al-adabi). Bermakna apabila suatu karya itu memiliki nilai wang apabila diguna, diterbit atau dijual, maka penghasil karya tersebut memiliki hak penuh ke atas karya tersebut.

Hak Al-Adabi pula boleh difahami sebagai hak moral – pencipta karya tersebut mempunyai hak untuk dihormati dan disebutkan namanya jika karya ciptaanya digunakan.

Islam telah lama menitik beratkan tentang hak-hak ini dalam perkembangan ilmu, seperti yang pernah dinukilkan oleh Imam Al-Qurthubi dalam muqaddimah tafsirnya:

“Saya mensyaratkan dalam kitab ini agar menyandarkan setiap pendapat kepada orang yang mengungkapkannya dan menyandarkan hadis kepada penyusunnya, kerana salah satu dari keberkatan ilmu adalah menyandarkan pendapat kepada orang yang mengungkapkannya”

Usamah Muhammad Usman Khalil dalam makalahnya menyebutkan bahawa hak cipta juga boleh dianggap sebagai hak kekayaan intelektual (al-milkiyah al-fiqriyyah) iaitu hak yang dimiliki kerana hasil dari kemampuan berfikir (dicatatkan dalam jurnal Analisis Konsep Hak Ibtikar oleh Febri Barokah). Ianya boleh terzahir dalam pelbagai bentuk seperti tulisan, lukisan, bunyian, atau apa sahaja yang boleh diekspresikan.

Adakah Karya Seni Dinilai Sebagai Harta Atau Tidak?

Islam sangat menitik beratkan penjagaan lima matlamat atau keutamaan dalam kehidupan manusia atau disebut sebagai maqasid syar’iyyah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta.

Harta menurut ulama Hanafiyyah adalah suatu yang boleh disimpan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ia dikira harta apabila berbentuk material yang dapat dilihat atau dikesan oleh pancaindera.

Namun jumhur ulama mengatakan bahawa harta tidak semestinya sesuatu yang bersifat material. Segala sesuatu yang mempunyai nilai dikira sebagai harta dan orang yang merosakkannya harus menggantikan kerugian dari kesilapan atau kerosakan yang telah dibuat.

Begitu juga menurut Imam Syafie, sesuatu itu dikira sebagai harta apabila ia mempunyai syarat-syarat ini:

– Mempunyai nilai ekonomi
– Boleh dijual-beli
– Mendatangkan kesan apabila dirosakkan atau diapa-apakan

Maka menurut hujah yang telah digariskan oleh para ulama inilah, harta ibtikar turut dinilai sebagai harta walaupun ia bukan dalam bentuk material. Apa-apa hasil pemikiran, hak cipta dan suatu karya yang sumbernya dari fikiran manusia juga bernilai harta dan sama kedudukannya dengan benda-benda lain seperti rumah, kereta dan wang.

Dalil Syara’ Mengenai Harta Intelek

1- Al-Quran

Semua bentuk harta termasuk harta intelek dipelihara oleh undang-undang syariat dan tidak boleh dicabuli oleh sesiapa.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya”Surah An-Nisa’ 4:29-30

2. Hadis

“Setiap Muslim ke atas Muslim yang lain diharamkan (daripada mencabuli) nyawanya, hartanya dan maruahnya” (Riwayat Imam Muslim)

3. Al-Masalih Al-Mursalah

Maslahah atau kebaikan yang terkandung dalam isu harta intelek pula menekankan keperluan hak untuk melindungi – ia juga sebahagian daripada usaha penghargaan kepada pengkarya serta mengelakkan pencabulan hak.

4. ‘Urf (Adat)

Hukum tentang hak cipta juga boleh disandarkan kepada ‘urf atau suatu adat kebiasaan di sesuatu tempat. Hak harta intelek telah diterima sebagai suatu peraturan dan juga suatu adat perniagaan dalam dunia semasa. Bahkan di Malaysia juga ia digariskan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

5. Sad al-zara’i (Mengelak Kemudaratan)

Berdasarkan hujah kelima ini, harta intelek yang yang diambil secara tidak patut boleh menyebabkan kemudaratan. Ia boleh menyebabkan berlakunya penganiayaan kepada pemilik harta intelek tersebut malah jika ianya melebar kepada umum dan melibatkan hasil ciptaan dalam bidang sains, teknologi, dan kesenian, secara tidak langsung kepentingan organisasi, masyarakat dan negara boleh terjejas.

Kesimpulan

Terlalu banyak hasil ciptaan yang tersebar dalam dunia teknologi sekarang terutamanya dalam bentuk tulisan. Sekalipun ianya tidak didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia, setiap individu perlu memiliki kesedaran untuk menjaga hak sesama manusia.

Usaha setiap individu dalam berhempas pulas mengerah idea dan keringat untuk menghasilkan sesuatu karya wajar dihormati. Jika ia bertujuan untuk dikongsikan kepada umum supaya lebih ramai yang mendapat manfaat, maka perlulah diletakkan kredit kepada pencipta asal atau lebih baik meminta izin sebelum berkongsi.

Rujukan:
1. Analisis Konsep Hak Ibtikar Dalam Hak Dan Kepemilikan Islam
2. Harta Intelek Menurut Syariat Islam
3. Hak Cipta Perspektif Hukum Islam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami