Ibadah, Inspirasi

Beriman Kepada Malaikat Membantu Menambah Keimanan Kepada Allah

Oleh Fizah Lee  •  17 Jul 2020  •  2 min baca

Salah satu rukun iman yang wajib dipercayai ialah beriman kepada malaikat. Mengapa kita perlu beriman kepada malaikat sedangkan ia juga adalah makhluk ciptaan Allah seperti manusia dan jin? Yang membezakan ialah keimanannya kepada Allah.

Malaikat ialah makhluk yang diciptakan dari cahaya. Imannya sentiasa konsisten, tidak turun dan tidak naik. Berbeza dengan iman manusia yang ada naik turunnya. Tugas malaikat ialah melakukan apa sahaja yang Allah suruh dan yang paling penting ialah untuk mencatat dan melihat amalan manusia sepanjang di muka bumi.

Namun, mengapa kita perlu beriman dengan malaikat? Apabila seseorang itu beriman, maksudnya ialah dia mempercayai bahawa malaikat itu wujud dan sedang melakukan tugasnya yang sentiasa memerhatikan anak-anak Adam.

Bukan itu sahaja, malaikat akan menunjukkan buku amalan tersebut kepada Allah SWT sebagai bukti dan hisab di hari akhirat nanti. Merekalah yang akan menjadi saksi kepada setiap perbuatan kita, sama ada yang kecil atau yang besar.

Walaupun mereka itu mahkluk yang ghaib, namun mempercayai bahawa ia wujud itu adalah salah satu kewajipan. Disebabkan itu, apabila anda merasa sedang keseorangan dan tiada yang melihat anda, maka ingatlah bahawa malaikat itu ada bersama anda.

Jika ingin melakukan dosa kerana fikir tiada manusia yang menjadi saksi, ingatlah bahawa malaikat itu sentiasa berada di kiri kanan anda. Sekurang-kurangnya itu akan menjadi salah satu cara untuk anda mengelakkan diri daripada terus melakukan dosa.

Dengan percaya kepada ketaatan malaikat juga dapat membantu menghilangkan rasa sombong dan tinggi diri seseorang manusia apabila berbangga dengan kebaikan yang dilakukan.

Kita melihat bahawa malaikat itu tidak pernah ingkar, bahkan sentiasa patuh dengan arahan Allah. Apabila ada tugas yang diberikan Allah, malaikat tidak pernah menangguhkannya, tetapi terus melakukannya.

Ibnu Katsir berkata – “Ketika ada perintah dari Allah pada malaikat, mereka langsung segera melakukannya. Mereka tidak menundanya walau sekejap masa pun. Mereka mampu melakukannya bukan tidak mampu menjalankannya.” (Tafsir Al-Quran Al-Azhim, 7:322)

Disebabkan itu kita perlu belajar daripada malaikat. Jangan suka menangguh perkara kebaikan terutamanya ibadah wajib yang telah diperintahkan untuk dilakukan.

Kita tidak boleh menjadi seperti malaikat kerana mereka itu tidak mempunyai nafsu untuk melakukan perkara lain melainkan dengan mentaati perintah Allah. Sedangkan manusia memerlukan tidur, makan, nafsu untuk berkasih sayang dan sebagainya.

Namun kita boleh melatih diri untuk sentiasa ingat bahawa malaikat itu sentiasa ada untuk mencatat setiap perkara baik dan buruk yang kita lakukan. Oleh itu, percaya akan kewujudan malaikat merupakan perkara yang boleh membantu menambahkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami