Gaya Hidup

Bergurau Jangan Sampai Melanggar Adab Yang Digariskan

Oleh Fizah Lee  •  23 Jul 2020  •  3 min baca

Ada pepatah Arab yang menyebut – “Berikanlah bicaramu itu dengan sedikit gurauan, sekadar diberikan pada makanan itu garamnya yang cukup.”

Ia menyebut bahawa dalam kehidupan ini bukanlah perlu serius sepanjang masa tanpa ada sedikit manisan dan gurauan.

Tetapi, serikanlah hidup anda dengan gurauan dan jenaka. Namun, perlu berhati-hati agar perkara tersebut tidak berlebihan dan menimbulkan mudarat kepada diri sendiri serta orang sekeliling.

Kalau kita melihat kepada kehidupan dan sejarah Muhammad SAW juga, Baginda dilihat sebagai seorang yang pandai bergurau dengan tidak melebih-lebih. Itulah yang perlu diambil sebagai pengajaran.

Daripada Al-Hasan RA berkata: “Seorang wanita tua bertemu dengan Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.” Maka Baginda menjawab: “Wahai Umm Fulan, Sesungguhnya syurga itu tidak masuk ke dalamnya orang tua.” Wanita itu lantas berpaling dan menangis lalu Baginda SAW meminta kepada para sahabat untuk memberitahu kepada wanita tersebut: “Kalian beritahulah wanita itu bahawa dia tidak akan masuk ke dalam dalam keadaan tua kerana Allah telah berkata:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” (Surah Al-Waqiah, 56: 35-37), ( Hadis Riwayat al-Tirmidhi, no. 241)

Antara adab dan cara bergurau yang diajar oleh Islam ialah;

#1 – Tidak Menjatuhkan Maruah Seseorang

Bergurau itu janganlah sehingga menjatuhkan air muka sehingga menyebabkan seseorang itu malu dan hilang keyakinan diri.

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merenda-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain.” (Surah Al-Hujurat, 49:11)

#2 – Tidak Menipu

Walaupun ia sekadar gurauan, namun menipu dalam berjenaka adalah dilarang. Hal ini kerana, Islam mengajar kita untuk berlaku jujur dalam setiap keadaan.

Daripada Bahz bin Hakim (bin Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi) berkata, ayahku menceritakan kepadaku, daripada datukku yang berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda – “Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya!” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, no. 2315)

#3 – Tidak Mempermainkan Agama

Jangan menggunakan nama agama untuk kepentingan jenaka anda. Sama ada ia adalah perkara yang kecil atau besar, jangan dibuat main-main.

Mafhum: “(Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).” (Surah Al-A’raf, 7:51)

Kesimpulan

Islam tidak marah kita bergelak ketawa, bergurau senda dan mengusik manja orang sekeliling kita. Kadang-kadang itulah yang boleh membantu menaikkan seri dalam kehidupan dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Namun, dalam bergurau jangan sehingga mengguris hati orang lain atau menimbulkan mudarat. Disebabkan itu, kita digariskan panduan untuk bergurau senda agar ia tidak merosakkan keharmonian.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami