Gaya Hidup

Bercinta Dengan Watak Narsistik Dan Kesannya Dalam Perhubungan

Oleh Saifuddin Hamizan  •  18 Oct 2019  •  6 min baca

Semua orang dalam dunia ini tentu mahukan hubungan romantik percintaan. Ini kerana ia adalah satu dari keperluan manusia yang perlu dipenuhi sebagaimana dalam ‘teori piramid keperluan’ oleh ahli psikologi, Abraham Maslow. Keperluan cinta, rasa dihargai dan memiliki orang yang istimewa terletak di bawah keperluan psikologi bagi setiap manusia.

Uniknya manusia, kita adalah makhluk yang istimewa kerana memerlukan segala bentuk keperluan yang lengkap. Ia bermula dari keperluan asas seperti makan minum sehinggalah keperluan makna kehidupan yang lebih tinggi.

Cuma kadangkala kita tidak sedar, acap kali dalam mengejar perhubungan cinta yang diperlukan, kita terperangkap ke dalam jenis hubungan yang toksik dan merimaskan.

Dalam banyak-banyak jenis perhubungan toksik, saya yakin ramai yang ada pengalaman bertemu jenis ‘narsistik’ ini berbanding bertemu dengan psikopat, sosiopat, machaviliansm dan sebagainya.

Ciri personaliti narsistik sangat mendominasi keadaan sekeliling dan bukan setakat dalam hubungan romantik, malah juga terdapat dalam hubungan di tempat kerja, keluarga dan rakan taulan.

Salah satu ciri narsistik yang biasa ditonjolkan seperti rasa ‘entitlement’ iaitu ingin merasa dirinya betul dan diterima segala ideanya walaupun merepek dan zalim (berat sebelah). Jika sebelum berkahwin, mungkin ada unsur permaksaan kepada bakal isteri untuk mengikut kehendak, gaya, cara dan keinginan diri sendiri.

Sedangkan hal ini sendiri amatlah bertentangan dengan syarak iaitu Allah SWT berfirman :

وعَاشِرُوْهُنَّ بِالمَعْرُوْف
“Dan berbincanglah dengan mereka (isteri-isteri kalian) dengan cara yang makruf” (Surah An Nisaa’ 4:19)

Nabi SAW bersabda pula dalam sebuah hadis:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
“Sebaik-baik kalian adalah yang baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku” (Riwayat Ibn Majah, no. 1977 dan Riwayat al-Tirmidhi, no. 3895)

Dalam banyak peristiwa sirah Nabi SAW, baginda seorang yang begitu bertoleransi dengan para isterinya. Contoh menarik yang boleh dilihat ialah ketika kisah perjanjian Hudaibiah.

Ketika para sahabat ada sedikit konflik komunikasi dengan baginda, isteri baginda Ummu Salamah mencadangkan baginda untuk mencukur rambut (tahalul) kerana tidak jadi mengerjakan umrah kerana ditahan oleh pasukan musuh Islam di kota mekah.

Lalu para sahabat yang lain pada asalnya tidak mengendahkan suruhan baginda ada dikalangan mereka mula menyusul ikut apa yang baginda lakukan. Rasulullah mengambil kira suara isterinya.

Ini menunjukkan Islam sangat menuntut pasangan untuk saling bertoleransi, berbincang dan bertukar-tukar pandangan kerana disitu adanya konsep kerjasama sebagai sebuah pasukan. Bukannya ‘ownership’ (pemilikan) namun ‘relationship’ (perhubungan).

Apa Itu Narsistik?

Narsistik adalah salah satu terma psikologi yang mana diberi nama saintifiknya ialah Narcissism Personality Disorder (NPD) dan kaedah perawatannya telah dimasukkan ke dalam buku DSM-5 (Diagnostic and Statistical Mental Disorder – 5 Edition) yang hanya boleh dipraktikkan oleh psikiatri dan psikologi klinikal sahaja.

Untuk mengatakan seseorang itu memiliki NPD, bukanlah berada di tangan orang biasa yang tiada kelayakan profesional. Ia hanya dapat didiagnosis serta ditentukan oleh doktor pengamal yang bertauliah sahaja setelah diteliti dengan ujian tertentu.

Namun sebagai orang awam kita boleh mengesan beberapa ciri-ciri asas seseorang yang mempunyai personaliti narsistik. Sekalipun seseorang itu ada memiliki ciri-ciri asas narsistik, dia belum mencapai penyakit NPD sehinggalah disahkan sendiri oleh pengamal yang bertauliah.

Adakah NPD ini masalah mental? Sebelum ianya disahkan NPD dan masih peringkat symptom sahaja ia masih dianggap masalah tingkah laku sahaja. Masih boleh dikawal dengan menjalani sesi terapi kaunseling/psikoterapi dan sebagainya.

Ciri-Ciri Pasangan Yang Ada Simptom Narsistik

Menurut laman sesawang ilmiah Psychology Today ada dijelaskan beberapa ciri yang perlu kita beri perhatian iaitu:

1. Rasa kemegahan yang melampau dan merasakan dirinya sangat penting.

2. Rasa begitu asyik dengan diri sendiri seperti merasakan dirinya kacak/cantik, berjaya, berkuasa, bijaksana dan segala yang berkait dengan diri sendiri.

3. Mempercayai bahawa dirinya layak untuk dilayan oleh orang-orang yang elit dan berada di kedudukan istimewa serta dilayan istimewa oleh orang lain walaupun tanpa apa-apa pencapaian.

4. Perlukan puji-pujian dari orang lain.

5. Ingin diberi perhatian tinggi dan diberi keutamaan berbanding orang lain (special treatment).

6. Eksploitasi dan memanipulasi orang lain untuk kepentingan diri sendiri.

7. Lemah dalam memahami orang lain (tidak empati).

8. Berasa iri hati dengan orang lain secara negatif.

9. Bersikap angkuh terhadap orang lain.

Awas sekiranya ada tanda-tanda ini ada dalam pasangan anda!

1. Perhatikan adakah dia berpakaian cantik dan kemas untuk meraih pujian.

Seorang yang narsistik sangat suka melakukan tindakan ‘social validation’ iaitu meraih pandangan orang terhadap diri. Bagi dia itu adalah keperluan yang perlu dia dapatkan, jika tidak dia tidak akan merasa puas. Sebab itu ada kajian yang menyatakan ada perkaitan antara orang narsistik dan kegemaran berswafoto melampau-lampau demi mendapatkan pujian di sosial media.

2. Perhatikan bagaimana cara dia bercakap dengan kita atau orang lain (adakah dia gemar berjanji dan gunakan kata-kata helah untuk mendapat sokongan).

Mereka amat licik menyusun patah perkataan dan berucap depan sesiapa sahaja dan gemar melontarkan kata-kata yang memukau dan suka berjanji tetapi tidak ditunaikan.

Ada satu kajian yang dijalankan oleh Nicholas Holtzman yang pernah diterbitkan oleh Journal of Research in Personality. Sejumlah orang yang terpilih dalam kajiannya itu dipasangkan satu perakam kecil di poket mereka secara rawak tanpa diketahui, pengkaji mendapati orang narsistik lebih banyak menggunakan laras gaya bahasa yang memukau, suka berjanji walau tidak ditepati dan pandai mempengaruhi orang lain.

3. Lihat Bagaimana Si Dia Tampilkan Diri Di Hadapan Orang Lain (Public Space)

Narsistik sukakan validation (tarikan dari orang lain) supaya dirinya berasa lebih yakin lalu dia akan berketerampilan sebagai seorang charming guy (lelaki kacak dan menarik) atau seorang yang begitu nampak berpengaruh di mata orang lain.

Mereka sangat menjaga status diri supaya orang tidak nampak cacat-cela yang ada pada dirinya. Segalanya nampak sempurna, kadangkala penampilan dirinya lebih penting dari orang lain tidak kira keadaan apapun.

Biasanya yang mendominasi tingkah laku sebegini adalah jantina lelaki berbanding dengan perempuan. Mereka ini kadangkala dikalangan pemimpin organisasi, syarikat atau ahli politik. Jadi bagi sesiapa yang bercinta dengan orang elit ini perlu mengambil perhatian dengan teliti.

Kesan Bersama Dengan Pasangan Narsistik

Menurut video bersiri yang dibuat oleh seorang ahli Psikologi Klinikal bernama Dr Ramani Durvasula, apa yang saya dapat simpulkan ialah apabila kita banyak bersama dengan pasangan narsistik, mereka akan menyebabkan kita kehilangan banyak tenaga emosi (exhausted), rasa letih melibatkan mental, emosi dan fizikal (burnout), kekeliruan dan kebimbangan yang melampau (anxiety), dan boleh jadi seorang yang depression (kemurungan). Hal ini terjadi kerana seluruh hidup adalah semata-mata untuk memenuhi cita rasa dan keperluan dia yang melampau-lampau.

Kadangkala apabila sudah melakukan yang terbaik pun tetap pada kaca matanya kita yang salah, teruk dan tak berguna.

Maka lebih baik keluar sahaja dari hubungan sebegini seandainya anda baru berada di fasa permulaan dalam perhubungan. Jika anda sudah berkahwin, sebaiknya rujuk terus pada ahli psikiatri dan pakar psikologi seandainya perbuatan yang dilakukan sudah melampau dan tidak dapat dibendung lagi. Kini banyak jenis terapi tingkah laku yang ada disediakan oleh pakar bagi merawat masalah mental dan personaliti.

Rujukan :
https://www.psychologytoday.com/intl/conditions/narcissistic-personality-disorder
https://www.psycom.net/personality-disorders/narcissistic/
https://arizona.pure.elsevier.com/en/publications/sounds-like-a-narcissist-behavioral-manifestations-of-narcissism-
https://www.goalcast.com/2018/09/17/spot-a-narcissist-in-5-minutes-less/
https://www.youtube.com/channel/UC9Qixc77KhCo88E5muxUjmA


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis kemudian sambung ke peringkat Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Bakal menyambung ijazah dalam bidang kaunseling pendidikan. Kini menjawat pekerjaan sebagai guru agama (KAFA) dan penulis separuh masa.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami