Oleh Natirah Azira • 1 Mar 2019 • 2 min baca
Amalan membuka pintu masjid untuk dikunjungi oleh orang ramai telah lama diamalkan di United Kingdom. Namun pada hari khusus yang dinamakan Hari Mengunjungi Masjid (Visit My Mosque Day) ini, beratus masjid akan menjalankan hari terbuka secara serentak sejauh utara Inverness hinggalah ke Portmouth di bahagian Selatan.
Penganjur bagi program ini, Muslim Council of Britain mengatakan bahawa mengikut maklumat yang diperoleh pada tahun lepas, 90 peratus rakyat Britain belum pernah menjejakkan kaki ke dalam masjid.
Usaha ini bertujuan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman masuk ke dalam tempat suci umat Islam dalam masa yang sama dapat menjelaskan kekeliruan ada.
Pada tahun lepas, antara pihak yang meluangkan masa berkunjung ke acara terbuka masjid tersebut termasuklah Perdana Menteri United Kingdom, Theresa May, Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn dan juga Datuk Bandar London, Sadiq Khan.
Salah seorang pengunjung yang bernama Cath mengatakan bahawa suaminya tidak membenarkan dia berkunjung ke masjid kerana bimbang ada pengganas di dalam masjid. Namun, apabila beliau tetap bertegas untuk datang dan masuk ke masjid, beliau terkejut dan kagum dengan keindahan masjid dan orang-orang yang ada di dalamnya.
Ketika program ini dimulakan pada tahun 2015, dilaporkan hanya sebanyak 20 buah masjid yang turut serta. Namun dianggarkan pada anjuran kali kelima pada tahun ini, sebanyak 250 masjid akan menyertainya, iaitu 100 buah lebih banyak daripada tahun lepas.
Masjid Timur London, salah sebuah masjid yang turut serta pada tahun lepas menerima lebih kurang 700 orang pengunjung. Diharapkan lebih ramai yang akan berkunjung pada tahun ini.
“Kami berbesar hati membuka pintu kepada khalayak ramai bertepatan dengan acara Visit My Mosque yang dianjurkan oleh Muslim Council of Britain (MCB),” kata Dilowar Khan, Pengarah Perhubungan di Masjid Timur London.
Tambah beliau lagi, “Kami mengadakan hari terbuka dan pameran berkenaan Islam di mana pengunjung boleh melawat masjid dan kawasan sekitar serta melihat secara langsung bagaimana orang Islam solat”
Acara ini sangat bermanfaat dan dapat memberi pendedahan kepada orang ramai secara langsung tentang keindahan dan kebenaran Islam. Semoga acara sebegini mampu diteruskan pada masa akan datang.
Sumber rujukan:
Artikel ini telah diterjemahkan dan diolah semula daripada artikel asal di laman Ilmfeed.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.