Ibadah

Berapakah Ucapan Istighfar Rasulullah Dalam Sehari

Oleh Natirah Azira  •  11 Aug 2020  •  3 min baca

Dalam kehidupan yang kita jalani sehari-hari, ada masa kita tidak menyedari bilakah kita tersilap melakukan dosa-dosa kecil, contohnya silap sangka kepada orang, tiba-tiba berasa sombong mahupun termarah secara tidak sengaja.

Inilah sebabnya mengapa kalimah istighfar atau memohon keampunan kepada Allah perlu dilazimi dan tidak seharusnya ditinggalkan sebagai seorang Muslim. Kita tidak menyedari, apakah kesalahan yang dilakukan. Maka istighfar perlu dijadikan ucapan yang lazim dibibir sebagaimana ucapan-ucapan yang lain.

Mengapa?

Kerana Istighfar dapat melembutkan hati dan menjadikan kita sentiasa berwaspada dengan dosa-dosa kecil. Ia adalah cara mengingatkan diri untuk lebih berhati-hati serta menggambarkan komitmen kita yang ingin terus menghapuskan dosa dengan istighfar berbanding menangguhkannya dan mencari masa yang khusus untuk melakukan.

Maka bagaimana Rasulullah SAW melazimi istighfar setiap hari?

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya setiap hari lebih daripada 70 kali”. (Riwayat al-Bukhari, no.6307)

Malah dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa baginda beristighfar setiap hari sebanyak 100 kali.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّى أَتُوبُ فِى الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ

“Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristigfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepadaNya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR. Muslim)

Secara kasarnya, dapat kita ketahui bahawa Rasulullah SAW mengucapkan istighfar dalam jumlah lebih daripada 70 hingga 100 kali dalam sehari. Selain itu, baginda juga melazimi istighfar pada waktu pagi sebanyak 100 kali.

Rasulullah SAW juga bersabda,

مَا أَصْبَحْتُ غَدَاةً قَطٌّ إِلاَّ اِسْتَغْفَرْتُ اللهَ مِائَةَ مَرَّةٍ

“Tidaklah aku berada di pagi hari (antara terbit fajar hingga terbit matahari) kecuali aku beristigfar pada Allah sebanyak 100 kali.” (HR. An Nasa’i. Disahihkan oleh Syaikh Al Albani di Silsilah Ash Shohihah, no. 1600)

Bentuk-bentuk ucapan istighfar memohon taubat juga pelbagai.

Boleh sahaja mengucapkan Istighfar yang ringkas seperti,

“Astaghfirullahal’azim,
Allazi Lailahaillahuawal Hayyul Qayyum,
Wa Atuubu Ilaih”

(Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup, berdiri dengan sendirinya, dan aku memohon keampunan daripadaNya”

Selain itu, istighfar yang lebih panjang yang disebut sebagai penghulu istighfar juga boleh dibaca.

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

(Allahumma anta robbi, la ilaha illa anta, kholaqtani, wa ana ‘abduka, wa ana ‘ala ‘ahdika, wa wa’dika ma-statho’tu, a’udzubika min sharri ma sona’tu, abuu-u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu-u laka bizanbi, faghfirli, fa innahu la yaghfiruz-zunuuba illa anta)

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hambaMu. Aku di atas perjanjianMu dan janjiMu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepadaMu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. (Riwayat al-Bukhari, no.6306)

Contohilah baginda dalam beramal kerana itulah merupakan sebaik-baik cara. Jika ingin mengucapkan istighfar hanya selepas solat terasa lama, anda boleh selitkan ucapan istighfar pada bila-bila masa – ketika melakukan kerja, ketika berehat sebelum menunaikan solat Zohor, ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja dan sebagainya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami