Sejarah

Berapa Bilangan Sebenar Ashaabul Kahfi

Oleh Fizah Lee  •  9 Oct 2020  •  3 min baca

Setiap hari Jumaat atau tibanya hari Khamis malam Jumaat, pasti kita akan menerima pesanan daripada sahabat mahupun ahli keluarga yang memperingatkan kita untuk membaca surah Al-Kahfi.

Antara salah satu kelebihan membacanya adalah dapat melindungi diri daripada fitnah Dajjal. Bukan itu sahaja, bahkan ia juga boleh memberi perlindungan daripada fitnah-fitnah dunia serta akhirat.

Melalui sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksud: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1342)

Disebabkan itu kita dianjurkan bukan sahaja untuk mengamalkannya setiap kali hari Jumaat bahkan jika mampu, hafallah 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir daripada surah ini.

Kisah Ashabul Kahfi

Mengapa surah ini sinonim dengan perlepasan daripada fitnah? Hal ini kerana, kalau kita lihat ada sebuah kisah yang paling masyhur mengenai Ashabul Kahfi yang disebut melalui surah ini.

Ia terjadi apabila para pemuda yang beriman ini ingin menyelamatkan diri dan iman mereka daripada ancaman yang ada. Diriwayatkan bahawa raja mereka pada waktu itu sangat kuat dan berpegang teguh dengan penyembahan berhala.

Disebabkan itu, mereka mengambil keputusan untuk bersembunyi dan melarikan diri sehinggalah mereka membuat keputusan untuk berehat sebentar di dalam gua.

Namun, sejenak yang mereka rasakan sebenarnya memakan masa hampir 309 tahun.

وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّـهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا

Mafhum: “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya tuhan kamu melimpahkan rahmatNya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna.” (Surah Al-Jahfi, 18:16)

Berapa Ramai Pemuda Al-Kahfi?

Dalam beberapa riwayat yang disebutkan, jumlah pemuda ini adalah termasuk dengan haiwan ternakan yang mereka bawa, iaitu keldai dan ada juga yang menyebut anjing.

Dan ulama berbahas mengenai jumlah mereka melalui surah kalam Allah, iaitu;

Mafhum: “(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka.” Dan setengahnya pula berkata: “Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka.” Secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata; “Bilangan mereka tujuh orang dan yang kelapannya ialah anjing mereka.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit.” (Surah Al-Kahfi, 18:22)

Berdasarkan ayat ini, terdapat beberapa pandangan ulama, iaitu ada yang menyebutkan tiga pemuda bersama seekor anjing, lima pemuda dan seekor anjing serta pendapat terakhir ialah tujuh orang bersama seekor anjing.

Dan pendapat yang dipersetujui oleh jumhur ialah yang ketiga, iaitu bilangan mereka seramai tujuh orang bersama dengan seekor anjing.

Oleh itu, disimpulkan di sini bahawa bilangan mereka adalah seramai 8 ahli termasuk dengan haiwan yang dibawa, iaitu anjing.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami