Inspirasi

Beramal Sebelum Datang Fitnah – Pagi Beriman Dan Petang Kufur

Oleh Natirah Azira  •  2 Oct 2020  •  3 min baca

Kita kerap merasakan bahawa kita masih punya banyak masa untuk melakukan kebaikan dan amal soleh. Kata yang kerap kita sebut adalah “Nantilah”.

Hakikatnya tidak begitu. Ini kerana ujian yang dihadapi dalam kehidupan terutama ke atas agama Islam sendiri semakin lama semakin bersimpang siur dan berbelit-belit seperti benang yang kusut.

Ada masanya sehingga kita tidak dapat membezakan lagi yang mana salah dan yang mana betul, apa puncanya dan mana hujungnya. Orang yang jahil agama menjadi ‘ketua’ yang mengajak orang lain mengikutnya tanpa sedar, dan orang biasa yang tidak memiliki ilmu pula mengikut tanpa usul periksa.

Kerana itulah, kita sentiasa digesa melakukan amal soleh setiap kali ada peluang dan ruang, di saat ujian-ujian sebegini masih tidak memberi kesan kepada diri. Rasulullah SAW berpesan,

بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا


“Proaktif lah beramal, sebelum tibanya fitnah yang datang bagaikan potongan malam gelap gelita. Di mana ada yang bangkit pagi hari beriman, lalu tiba waktu senja dia kufur. Atau sebaliknya, dia beriman di senja dan bangkit pagi keesokannya dalam keadaan kufur. Malah dia menjual agamanya untuk keuntungan sedikit di dunia.” (HR. Muslim)

Di sebalik hadis ini, ada beberapa perkara yang boleh kita pelajari;

Pertama, sesuatu itu dikira amal soleh apabila memenuhi dua tuntutan iaitu ikhlas kerana Allah dan kedua apabila mengikut cara (sunnah) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Kedua, fitnah diibaratkan seperti malam yang gelap gelita kerana fitnah tersebut tidak dapat dilihat. Orang yang ditimpa fitnah ini tidak dapat melihat kebenaran, seperti berjalan di malam yang gelita. Mereka tidak tahu ke mana arah yang perlu dituju.

Selain itu, fitnah ini boleh terjadi kerana racun pemikiran yang berleluasa atau kerana nafsu dan syahwat sendiri.

Ia menyebabkan seseorang itu pada paginya masih beriman, namun tiba petang, sudah hilang iman di hati dan ingkar dengan perintah dan larangan Allah, atau pada petangnya dia beriman, tetapi tiba sahaja waktu pagi dia berubah menjadi hamba yang ingkar. Imannya mudah sahaja berubah-ubah dalam tempoh yang singkat.

Malah, dia berani menukar agamanya dengan perkara dunia, seperti harta, kuasa, kedudukan bahkan wanita. Pada masa sekarang, ramai yang menyebutnya sebagai perbuatan ‘menunggang agama’.

Contoh mudah, seseorang yang sanggup menggadaikan prinsip berniaga dengan cara yang halal semata-mata untuk mendapatkan keuntungan yang banyak. Dia tidak kisah lagi cara yang digunakan atau sumber yang diperoleh halal atau haram.

Inilah fitnah-fitnah yang kita takuti yang tidak mustahil akan menimpa diri sendiri. Justeru, bersegeralah dalam melakukan amal kebaikan selagi masih ada ruang, kelapangan dan kemudahan. Dalam masa sama, usah berhenti daripada terus mencari ilmu agama daripada orang-orang yang arif dan sumber-sumber yang dipercayai.

Allah Taala berfirman,

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Berlumba-lumbalah dalam kebaikan.(Surah Al Baqarah 2:148)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami