Gaya Hidup, Hukum

Bentuk-bentuk Rasuah Yang Baru Dalam Urusan Perniagaan

Oleh Natirah Azira  •  1 Jun 2020  •  4 min baca

Rasuah adalah hal yang haram dan jelas dilarang dalam Islam. Jika dahulu kita dipertontonkan di kaca televisyen bahawa rasuah berbentuk duit diberi di dalam sampul surat, atau hadiah ‘penghargaan’, namun hakikatnya jalan rasuah ada bermacam cara.

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, seorang yang sangat berpengalaman dalam memberikan khidmat nasihat syariah berkaitan muamalat dan perniagaan, telah mengupas dengan jelas jenis-jenis rasuah yang ada apabila pihak audit mendedahkan penyelewengan yang pernah berlaku dalam kementerian tertentu pada tahun 2007 (Laporan akhbar New Straits Times pada 11 September 2007).

Contohnya:

– Buku-buku yang sepatutnya berharga RM417 menjadi RM10,700.
– Set lengkap komputer meja (dektop) berharga RM174,811 menjadi RM3.06 juta.
– Dua kren yang sepatutnya berharga RM2.98 juta menjadi RM5.72 juta.

Bagi memudahkan lagi para pembaca untuk memahami bentuk-bentuk rasuah yang banyak berlaku dalam industri pekerjaan seperti dalam sektor kerajaan, swasta, NGO, persatuan, sekolah, parti politik dan lain-lain organisasi, berikut contoh yang disenaraikan oleh Ustaz Zaharuddin.

#1- Rasuah Dalam Memilih Kontraktor

Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk sesuatu tender, melihat kepentingan yang akan diperoleh apabila memilih syarikat tertentu.

Contohnya antara empat syarikat yang menghantar quotation tender, satu syarikat dipilih kerana menjanjikan imbuhan ‘ikhlas’.

Hukum: Ia adalah haram dan rasuah dalam Islam melibatkan orang yang memberi dana menerima.

#2- Mencipta Quotation Sendiri

Pegawai atau kumpulan pegawai yang diberi kuasa memilih kontraktor telah sepakat untuk memberikan kepada satu syarikat yang mereka kenali. Namun, pemilihan tersebut dibuat bukan kerana kualiti dan harganya tetapi kerana sebab lain. Disebabkan oleh prosedur syarikat yang memerlukan ‘quotation’ yang terendah, maka pegawai ini mencipta beberapa ‘quotation’ dari syarikat yang tidak wujud bagi menunjukkan bukti.

Hukum: Haram kerana menipu.

#3- Menaikkan Harga

Pegawai diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah. Apabila beliau berjaya mendapatkan pembekal dengan harga RM2000 tetapi ‘menaikkannya’ kepada RM2500 lalu baki RM500 diambil.

Hukum: Perbuatan ini disepakati ulama adalah haram.

#4- Menang Tender Bersyarat

Pegawai diminta oleh majikan untuk mencari kontraktor untuk mengubah suai pejabat. Pegawai telah memperkenalkan Syarikat B kepada majikannya, kerana dia telah mempunyai perjanjian ‘di sebalik tabir’ dengan pihak Syarikat B iaitu memberinya izin melabur wang peribadinya dalam Syarikat B dengan kadar keuntungan ‘kononnya’ mengikut Islam. Padahal jika tiada peluang melabur itu, sudah pasti si pegawai tidak akan memperkenalkan Syarikat B itu.

Hukum: Tindakan sebegini adalah haram dalam Islam dan ia termasuk dalam rasuah bentuk baru yang berselindung di sebalik aktiviti pelaburan Islam.

#5- Tuntutan Palsu

Pegawai membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu, tetapi berpakat dengan pembekal atau stesen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza daripada jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikatnya dengan harga berlipat kali ganda.

Hukum: Amalan ini adalah haram menurut Islam kerana berlaku penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit yang bernilai palsu itu.

#6- Resit Ciptaan

Pegawai membeli barang untuk kegunaan syarikat dari sebuah kedai, dan kedai tersebut tidak mahu bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Untuk mendapatkan keuntungan, pihak pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cop palsu.

Hukum: Ia haram kerana ada penipuan.

#7- Ambil Untung Sendiri

Pegawai diperuntukkan “bajet maksima” sebanyak RM5,000 oleh pihak syarikat untuk membeli barang keperluan. Pegawai berjaya mencari barang tersebut di pasaran dengan harga RM4,000 sahaja. Bagi mendapatkan manfaat, si pegawai berpakat dengan penjual agar ditulis harga RM5,000 dalam invois dan baki RM1,000 diambilnya.

Hukum: Ia haram kerana menipu. Namun, jika pegawai tersebut telah berterus terang dengan majikan untuk memohon sebarang insentif atas kejayaannya yang berjaya mengurangkan kos syarikat kerana berjaya mencari barang lebih murah, majikan harus memberikannya imbuhan, jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat. Atau boleh juga majikan membayar dalam bentuk bonus atau kenaikan gaji apabila sampai waktunya.

Demikian contoh-contoh rasuah jenis baharu yang dijelaskan oleh beliau yang telah kami perolehi daripada laman web addeen.my.

Sebenarnya prinsip yang ditetapkan dalam Islam mudah sahaja – usah mengambil harta yang bukan kepunyaan diri sendiri ditambah-tambah lagi dengan jalan yang batil. Setiap muslim perlu memahami bahawa jalan yang digunakan bagi mengambil harta yang bukan hak diri itu adalah haram.

Nabi SAW juga pernah mencela orang Yahudi kerana menipu dan membuat helah apabila dilarang memakan daging babi dan lain-lain. Bahkan mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijual. Wallahua’lam.

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah Al-Baqarah 2:188)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami