Inspirasi

Benarkah Seburuk-buruk Manusia Adalah Sebaik-baik Jin

Oleh Natirah Azira  •  16 Jul 2020  •  3 min baca

Manusia dan jin adalah dua jenis makhluk yang sering disebut dalam Al-Quran, yang ditaklifkan dan dipertanggungjawabkan dengan amanah, serta akan melalui proses hisab di akhirat kelak. Mempercayai bahawa adanya perkara-perkara ghaib seperti jin dan malaikat adalah tanda keimanan.

Sungguhpun begitu, tidak banyak yang kita ketahui tentang dunia jin, melainkan melalui pengkhabaran yang disebutkan dalam Al-Quran serta riwayat-riwayat yang sahih daripada Nabi SAW.

Antara kisah yang masyhur adalah tentang jin yang masuk Islam setelah mendengar bacaan Al-Quran oleh baginda SAW. Selain itu, kita mengetahui bahawa golongan jin dicipta daripada api dan mampu melihat manusia sedangkan manusia tidak dapat melihat mereka.

“Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah Al-A’raf, 7:27)

Namun, benarkah kata-kata seperti – seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin, dalam kata lain jin yang paling baik adalah seperti manusia yang paling buruk?

Jin Dan Manusia Mendapat Balasan Yang Sama

Bangsa jin juga diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat sama seperti manusia, iaitu beribadah kepada Allah serta mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah.

Sekiranya golongan jin mentaati apa yang disuruh, maka Allah juga akan redha kepada mereka. Sekiranya mereka melakukan dosa dan kemaksiatan kepada Allah, maka balasan hukuman dan azab juga menanti mereka.

Penilaian Allah itu adil dan saksama, sesuai dengan apa yang dilakukan.

“…sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan…” (Surah Al-Jinn, 72:12)

Adakah Manusia Lebih Mulia Daripada Jin

Manusia adalah makhluk yang diberikan kelebihan akal fikiran, diberikan juga pelbagai nikmat di muka bumi untuk digunakan dengan sebaiknya. Dengannya, manusia mampu mereka cipta berbagai perkara, berfikir secara kreatif dan sesuai dengan keperluan hidup.

Imam Qurtubi menyebut bahawa manusia dimuliakan kerana diberikan akal. Selain itu, manusia juga mulia kerana Nabi dan rasul juga diutus daripada kalangan manusia dan bukan jin, serta diberikan pula kitab sebagai panduan dalam beragama.

Walau bagaimanapun, kemulian manusia ini bukan bersifat mutlak. Jika manusia menggunakan nikmat yang diperoleh ini ke arah kebaikan dan bertakwa dengan Allah, maka mereka boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat. Namun jika digunakan ke arah keburukan dan kebinasaan, maka mereka lebih buruk daripada makhluk-makhluk yang lain.

Ringkasnya, jin juga seperti manusia. Ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang beriman dan ada yang kafir. Manusia dan jin, kedua-dua golongan ini adalah hamba Allah, justeru tidak akan dibezakan dalam hal balasan dan ganjaran daripada Allah SWT.

Tingkatan ibadah hambaNya adalah sama sahaja di sisi Allah. Justeru, kenyataan bahawa “seburuk-buruk manusia adalah sebaik-baik jin” adalah tidak benar dan bercanggah dengan apa yang telah dibincangkan di atas. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami