Inspirasi

Benarkah Kita Telah Jatuh Cinta?

Oleh Saifuddin Hamizan  •  10 Oct 2019  •  6 min baca

Saya teringat sebuah pepatah dari seorang pakar perhubungan yang bernama Susan Winter. Kata beliau “infatuation lives in illusion, love can survive reality” yang bermaksud cinta yang bersifat sekilas pandang hanya hidup di atas ilusi semata-mata sedangkan cinta yang sebenar boleh menempuh alam realiti.

Bilakah kita kali pertama jatuh cinta? Cinta semasa di bangku sekolah dahulu kita kira sebagai cinta monyet bukan? Kalau kita muhasabah dan renung kembali, saya yakin, kebanyakan dari kita semua akan berkata bahawa itu semua hanyalah fantasi dan main-main sahaja. Namun ada juga jodoh yang berpanjangan sehingga ke jinjang pelamin.

Namun ketika kita sedang berada dalam situasi tersebut kita sukar untuk kenal pasti sama ada ianya realiti atau fantasi.

Pengalaman sebegini bukan sahaja dialami oleh anak muda remaja, malah orang dewasa turut ada yang merasainya. Maka perkara ini bukanlah jarang berlaku bahkan hampir berlaku pada kebanyakan orang.

Cuma kita semua ada tahap kefahaman tentang cinta yang berbeza-beza dan itulah yang membezakan kemampuan seseorang dalam mengenal pasti adakah sesuatu itu layak dilabelkan sebagai cinta atau sekadar fantasi fikiran semata.

Bila bercakap tentang cinta dan ilusi (infatuation) ini mengingatkan saya lagi tentang ayat al-Quran berkenaan dengan pasangan hidup iaitu :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجاً لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا

“Dan di antara tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan bagimu isteri-isteri dari jenismu sendiri agar kamu merasa tenteram denganya.” (Surah Ar Ruum 30:21)

Dalam sebuah hadis Nabi saw pula ada bersabda :

وان نظر إليها سرته
“Jika memandangnya, membuat suami berasa senang.” (HR. Abu Dawud. Al Hakim berkata bahawa sanad hadis ini sahih)

Islam menitik beratkan soal pemilihan pasangan yang bakal hidup dengan kita selama-lamanya menerusi hadis Nabi saw ini juga :

أنظرت إليها قال لا قال فاذهب فانظر إليها فإن في أعين الأنصار شيئا

“Sudahkah engkau melihatnya?” Sahabat tersebut berkata, “Belum.” Beliau lalu bersabda, “Pergilah kepadanya dan lihatlah ia, sebab pada mata orang-orang Anshar terdapat sesuatu.” (HR. Muslim)

Pada pendapat saya sendiri, prinsip “unzhur ilayha” (lihatlah/bertemulah dia) boleh diluaskan kepada aspek psikologinya sebagai berkenalan secara rapat atau berkawan untuk menilai sama ada si dia itu benar-benar serius mencintai kita kerana diri kita secara asas atau dia cuma memperalatkan kita demi memenuhi sebahagian keperluan kepentingannya sendiri sahaja.

Maka asas dalam memilih pasangan hidup salah satunya mestilah mententeramkan, berasa cenderung yang kuat sebagaimana dalam ayat quran di atas. Bukan semata-mata kerana keluarga suruh kahwin, kawan sudah berkahwin, masyarakat kecam dan sebagainya.

Budaya ‘escapism‘ (selamatkan diri) dari ancaman, kritikan dan cemuhan sesebuah masyarakat telah banyak menyumbang lebih banyak lagi kerosakan dalam perkahwinan pada zaman moden.

Kerana ramai yang berkahwin ketika usia mudanya itu hanyalah demi memenuhi sebahagian syarat penerimaan sesebuah masyarakat atau ahli keluarganya. Dia sendiri tidak menggunakan prinsip islam sebagai bimbingan asas dalam membuat sesuatu keputusan hidup.

Hal ini kadangkala cukup meresahkan kita semua kerana budaya inilah yang semakin menaikkan lagi graf statistik perceraian di Malaysia. Kesan perceraian tentulah menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang kurang seimbang dan sihat secara mentalnya.

Titik temu dalam permasalahan ini ialah kerana tidak ada ilmu yang cukup mengenai perbezaan dalam membezakan cinta dan hubungan yang toksik. Kalau kita baca statistik perceraian yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Sumber Wanita, Keluarga Dan Masyarakat mendapati bahawa punca paling besar ialah “tiada persefahaman” yang boleh dikaitkan juga dengan aspek sekufu dalam Islam.

Walhal sebelum berkahwin lagi, kita patut tekankan mengenai aspek sekufu pasangan yang kita hendak berkahwin. Namun acapkali anak muda hendak berkahwin masih ramai segelintir dari masyarakat yang percaya bahawa kewangan itu paling penting.

Jadinya anak muda yang hendak berkahwin terlampau fokuskan pada belanjawan majlis perkahwinan berbanding membina persedian daripada sudut ilmu contohnya ilmu komunikasi, pengurusan stres, kesihatan jasmani dan mental serta agama dan nilai murni yang lain.

Kewangan memang penting untuk menjaga kestabilan dalam memelihara keperluan fizikal seperti makan minum, tempat tinggal dan pakaian. Namun keperluan emosi dan nilai kemanusiaan lain juga perlu dititik beratkan – bukan pentingkan satu aspek dan tinggalkan sebahagian yang lain.

Apa Beza Cinta Dan Hubungan Ilusi (Infatuation)

Seorang ahli terapi dan ahli sosiologi psikologi yang bernama Dr Terri Orbuch, pensyarah di Universiti Oakland ada membuat kajian mengenai perbezaan di antara cinta dengan hubungan ilusi.

Memandangkan beliau seorang yang bertauliah dan berkelayakan untuk bercakap tentang interpersonaliti (ilmu tingkah laku manusia) maka saya petik kesimpulan kajiannya tentang ‘Beza Cinta Dan Hubungan Ilusi’ seperti berikut:

1. Cinta Sebenar Berpaksi Pada Hubungan Yang Mendalam Dan Kukuh

Sebagai contoh apabila kita rapat dengan si dia, kita mahu dia masuk ke dalam inner circle (kelompok kenalan rapat) kita seperti ahli keluarga dan kawan baik kita. Kita mahu dia diterima dalam kalangan orang-orang yang penting buat kita dan si dia juga melakukan hal yang sama.

2. Lebih Banyak Menggunakan Kata Ganti Diri Seperti “Kita” Berbanding “Saya”

Bila dua orang saling mencintai kita akan saling bergerak seragam dan seiring pada setiap masa. Kita juga selalu menghabiskan masa melakukan sesuatu yang bermanfaat secara bersama dan tidak pentingkan diri.

Contohnya hujung minggu bila ada waktu yang terluang, kita bertanya pada si dia tentu si dia akan berbincang dengan kita semula. Namun bagi cinta yang ilusi si dia akan lebih banyak bergerak secara solo dan banyak pentingkan diri sendiri contohnya tidak berbincang dan tidak menghiraukan pendapat yang diberi.

3. Hubungan Kita Dan Dia Seperti Cermin Atau Kaca Lutsinar

Bila kita saling mencintai secara telus dan jujur, kita tidak lagi menyimpan terlalu banyak rahsia. Kita jadi selesa bercerita dan terbuka dengan si dia tentang kelebihan dan kekurangan kita. Saling berterus terang dan disitu adanya cinta setulus hati.

Sebaliknya, dalam perhubungan yang bersifat ilusi (sementara), perbualan selalunya banyak berkisar tentang hobi, minat dan sedikit pengenalan diri dan belum mencapai tahap yang mendalam lagi. Banyak perkara yang tidak mahu kita kongsikan, kerana bimbang dia tidak lagi berminat. Sebaliknya cinta yang sebenar, aspek kelemahan dirinya seperti traumanya, zaman kecilnya, kekurangan diri dan sebagainya dalam pengetahuan kita kerana adanya perasaan saling mempercayai.

4. Saling Mempengaruhi

Bilamana ada sesuatu yang hendak dilakukan seperti berpindah dari tempat kerja, hendak melancong, berubat atau apa sahaja yang memerlukan sebuah keputusan maka kita akan terlebih dahulu merujuk dan berbincang sebelum melakukan apa-apa keputusan. Kita sama-sama menganggap satu sama lain sebagai orang penting dalam hidup, bukannya terus membuat keputusan berseorangan dan mengendahkan seorang yang lain.

Cuba pejamkan mata sebentar dan bertanyakan pada diri sendiri, adakah si dia yang sedang kita kenal ini ada ciri-ciri seorang yang seperti di atas? Adakah si dia masuk ke dalam hidup kita atas sebab yang kuat? Atau kita dan dia saling menjalin hubungan di atas faktor kesepian, takut ancaman luar dan bosan? Mudah sahaja untuk dapatkan jawapan yang tepat. Jujurlah pada diri sendiri dan terima jawapan walaupun kadangkala menyakitkan hati.

Rujukan :
Lust or love?


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis kemudian sambung ke peringkat Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Bakal menyambung ijazah dalam bidang kaunseling pendidikan. Kini menjawat pekerjaan sebagai guru agama (KAFA) dan penulis separuh masa.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami